Home » , » Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negeri Kelantan (PAC) Perlu Segera Siasat

Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negeri Kelantan (PAC) Perlu Segera Siasat

Written By Wadah Baru on Rabu, 23 September 2015 | 2:20 PTG

Oleh HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS

1. Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negeri Kelantan (PAC) perlu segera membuat siasatan terhadap beberapa pendedahan serius daripada salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu dalam sebuah akhbar perdana baru-baru ini.

2. Ia termasuk pendedahan berkenaan projek Bandar Baru Dabong yang didakwa terbengkalai. Projek itu sepatutnya menyiapkan 48 unit rumah teres kos sederhana rendah, 196 unit rumah teres kos sederhana, 56 unit rumah berkembar, 106 unit banglow dan 20 unit rumah kedai.

3. Turut dipersoalkan adalah kegagalan mengutip RM50 juta untuk dana rumah mampu milik rakyat Kelantan dan kemerosotan keuntungan syarikat yang diamanahkan untuk menjanakan dana itu melalui kawasan konsensinya seluas 20,000 ekar iaitu Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK).

4. Parti Amanah Negara (AMANAH) pada dasarnya, tidak berhasrat mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan ini. Namun apabila pendedahan demi pendedahan dibuat secara terbuka termasuk di media perdana, maka ia telah mengundang persoalan dan persepsi yang tidak baik di kalangan masyarakat terhadap kerajaan negeri.

5. Umum maklum bahawa Kerajaan Negeri Kelantan antara negeri yang direkodkan sebagai negeri 'bersih rasuah' di sepanjang pemerintahan bekas Menteri Besar Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

6. Sekalipun pelbagai perancangan jahat cuba dibuat oleh pihak tertentu untuk memburuk-burukkan pentadbiran Tok Guru sepanjang pimpinannya, namun ia ternyata gagal.

7. Oleh itu, demi menjaga nama baik dan atas kepentingan rakyat Kelantan keseluruhannya, Parti Amanah Negara merasakan Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negeri Kelantan (PAC) perlu segera membuat siasatan.


HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS
Naib Presiden
Parti Amanah Negara
22 September 2015

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger