Home » , » Pakatan Harapan gempur, PAS biar tersungkur

Pakatan Harapan gempur, PAS biar tersungkur

Written By Wadah Baru on Rabu, 23 September 2015 | 1:13 PG

Oleh Kamal Ariff

Ketidakhadiran PAS dalam persidangan meja bulat pembangkang di Subang Jaya pagi tadi dilihat hanya memencilkan parti Islam itu dalam situasi politik tanah air menjelang musim Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pakatan Harapan yang dibentuk secara rasmi hari ini merupakan gabungan baru membabitkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) tanpa kehadiran PAS selepas berderet pengkhianatan dilakukan.

Kenyataan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan partinya "tidak boleh bertolak-ansur" dengan tindakan bekas ahli yang "menikam dari belakang" dan "keluar parti lalu menubuhkan parti baharu" (Amanah) hanya akan menjerat survival PAS untuk terus relevan di mata rakyat.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pula mendakwa persidangan berkenaan dirancang secara tergesa-gesa dengan mengitar semula alasan sama konon pihaknya "belum mengadakan perbincangan dalaman". Sikap berdolak-dalik PAS dapat dinilai apabila Takiyudin yang juga Ketua Sekretariat Tetap hudud Kelantan itu menganggap notis pemberitahuan mengenai pertemuan tersebut "terlalu pendek".

Bukan sekali alasan berkaitan tempoh waktu ini digunakan bahkan 'modus operandi' mengelak seperti itulah yang membawa kepada pelbagai kemelut dalam PAS sehingga hayat Pakatan Rakyat berakhir.

Tiada kesungguhan untuk PAS menyelesaikan masalahnya. Paling bermasalah apabila presidennya, Datuk Seri Hadi Awang membawa politik angkuh, dialah sahaja ahli syurga menyemai politik kebencian dan marah-marah padahal Islam itu ramah-tamah.

PAS tidak ubah mahu menjadi kera sumbang dalam lapangan politik yang makin berdepan dengan cabaran antarabangsa ketika kelemahan Presiden Umno, Najib Razak sudah sampai tahap begitu nazak termasuk sedang disiasat Badan kehakiman Amerika Syarikat (AS) berhubung kes pembelian hartanah di sana.

Selepas menumbangkan golongan yang dipanggil Jebon dalam muktamar PAS yang lalu, parti itu menarik tangan untuk berkerjasama dengan Amanah dan DAP. Ya. Biarkan PAS dengan rasa ujub riaknya. Kita lihat nanti siapa tersungkur di pintu neraka!

Walhal, rekod rasmi PRU13 lalu membentangkan kepada kita pencapaian PAS dalam kerusi Parlimen paling renda berbanding PKR dan DAP.

Pada ketika bersama-sama dalam Pakatan Rakyat pun, PAS hanya mampu meraih sokongan 14.78% undi untuk turut sama menyumbang sebanyak 50.87% undi Pakatan Rakyat, jadi bagaimana prestasi PAS pada PRU14 nanti?

Apapun, pelawaan PKR sebelum ini untuk melihat PAS dapat bersama dalam PR2.0 yang hanya disambut dengan nada angkuh di pihak parti yang semakin meminjam perangai kumpulan militan Isis itu diharap sudah tertutup secara rasmi hari ini dengan tertubuhnya Pakatan Harapan.

Tiada tempat dalam "perang" politik pasca skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ini untuk mereka yang sukar bekerjasama, bodoh sombong dan khianat. Ini masa untuk Pakatan Harapan menggempur biarkan saja PAS tersungkur.

Rakyat meletakkan harapan tinggi ke atas blok pembangkang yang mempunyai kesungguhan politik tinggi untuk memerangi kebobrokan pentadbiran kerajaan Umno-BN.

Penekanan kenyataan media bersama antara Presiden PKR, Ketua Parlimen DAP dan Presiden Amanah hari ini iaitu menjadi "negara yang adil, inklusif, berdaya saing, berkebajikan dan berpaksikan keluhuran undang-undang" pastinya disambut oleh majoriti rakyat yang sekian lama mendambakan perubahan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger