Home » , » Laporan Palsu Naib Ketua Pemuda Umno

Laporan Palsu Naib Ketua Pemuda Umno

Written By Wadah Baru on Jumaat, 5 Ogos 2016 | 2:55 PTG


1. Otai Reformasi Kedah mengikuti rapat isu laporan polis yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Saudara Khairul Azwan Harun mengenai konspirasi peringkat tertinggi untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri pada 26 Julai 2016 Repot No: CHOWKIT/005870/2016.

2. Laporan polis tersebut mendakwa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dipercayai terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Datuk Seri Najib dan kerajaan Malaysia yang sah.

3. Ketiga-tiga mereka disyaki memberi maklumat sulit kepada agensi - agensi asing termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat, tanpa kebenaran dan didakwa memalsukan maklumat untuk mencapai agenda mereka.

4. Walaubagaimanapun melalui pengumuman pada 2 Ogos 2016, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata laporan Khairul Azwan itu berdasarkan andaian dan tidak memerlukan siasatan lanjut. Beliau juga dilaporkan berkata Khairul Azwan tidak akan disiasat kerana membuat laporan palsu.

5. Oleh kerana dalam laporan polisnya, Khairul Azwan mengatakan bahawa laporan polisnya dibuat dengan asas, namun tiada bukti dikemukakan, maka laporan polis tersebut dibuat berdasarkan maklumat palsu.

6. Maka, pada hari ini, kami, Otai Reformasi Kedah 1998 dan Amanah Kawasan Merbok, Amanah Kawasan Sungai Petani dan Amanah Kawasan Jerai tampil menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan keadilan dan kebebasan dan demi mempertahankan maruah dan integriti institusi-institusi utama pentadbiran negara yang pernah diterajui oleh ketiga-tiga Tan Sri dengan membuat laporan polis yang bertujuan agar pihak Polis diRaja Malaysia menyiasat Khairul Azwan kerana telah membuat laporan palsu yang merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan termasuk seksyen 182 dan 194 Kanun Keseksaan.

7. Kami menegaskan bahawa pihak polis hendaklah menjalankan siasatan segera secara bebas dan adil dan tidak memilih bulu atau 'double standard' kerana tindakan ini mencemari prinsip kedaulatan dan keluhuran undang-undang, integriti dan kredibiliti pihak polis. ‪#‎dakwanaibketuapemudaumno‬

Otai Reformasi Kedah 1998
& Parti Amanah Negara
5 Ogos 2016

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger