Home » , » Pendedah skandal 1MDB ditahan, tetapi Jho Low masih dibiar bebas

Pendedah skandal 1MDB ditahan, tetapi Jho Low masih dibiar bebas

Written By Wadah Baru on Selasa, 15 November 2016 | 10:42 PG

KUALA LUMPUR,  Seseorang individu tidak patut dikenakan sabitan jenayah dan hukuman penjara hanya kerana berani mendedahkan penyelewengan dana kerajaan seperti apa yang terjadi pada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Ia kerana mereka yang terlibat dalam salahlaku melibatkan wang rakyat di negara ini masih dibiarkan bebas tanpa sebarang hukuman, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Di Malaysia, sabitan jenayah pertama kita (berkaitan 1MDB) bukannya untuk menghukum mereka yang terlibat dalam skandal kleptokrasi itu, tetapi menghukum individu yang berani menegakkan kebenaran berkaitan 1MDB.

“Bandingkan bagaimana kerajaan Najib ‘melayan’ Rafizi dengan Jho Low, yang didakwa sebagai ‘pengawal dan penasihat 1MDB’ dalam perbicaraan di Singapura, atau juga dikenali sebagai dalang 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura menyatakan Jho Low merupakan orang penting bagi meneruskan siasatan mereka dalam skandal milik Kementerian Kewangan, 1MDB.

Ahli perniagaan tersebut turut dinamakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat sebagai penerima wang berjumlah hampir US$3.5 bilion, yang dipercayai diseleweng dari 1MDB melalui sistem kewangan negara itu.

“Tetapi Rafizi, yang mahu mempertahankan kepentingan negara dengan mendedahkan skandal kleptokrasi 1MDB akan ke penjara dan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

“Padahal Jho Low masih tidak ditahan oleh pihak berkuasa tempatan atau antarabangsa. Malah beliau terus menerima layanan ‘karpet merah’ sebagai orang kepercayaan Perdana Menteri,” ujarnya, kesal.
Rafizi yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana didapati bersalah memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1MDB pada Mac lalu.

Beliau menghadapi dua pertuduhan iaitu didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 laporan itu, dan mengedarkan dokumen sulit tanpa kebenaran, masing-masing tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Adakah satu-satunya penyelesaian kepada ketidakadilan terhadap Rafizi ini adalah melalui peti undi pada pilihan raya ke-14 nanti, di mana rakyat harus memilih halatuju Malaysia sama ada ke arah demokrasi atau kleptokrasi?” soal Kit Siang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger