Home » , » Sekolah Agama Rakyat Pulau Pinang terima peruntukan tambahan RM1.75 juta

Sekolah Agama Rakyat Pulau Pinang terima peruntukan tambahan RM1.75 juta

Written By Wadah Baru on Selasa, 15 November 2016 | 10:43 PG

PENANTI, : Kerajaan Negeri Pulau Pinang semalam menyampaikan sumbangan bernilai RM1.75 juta sebagai peruntukan tambahan kepada 178 Sekolah Agama Rakyat (SAR) pelbagai kategori di negeri itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, sumbangan kali kelapan itu adalah untuk menghargai jasa 1,427 guru serta barisan pengurusan pondok pengajian agama terbabit dalam membantu kerajaan negeri untuk memartabatkan Islam di Pulau Mutiara berkenaan.

“Ia (RM1.75 juta) adalah tambahan pada apa yang telah pun diperuntukkan (RM1.75 juta).

“Tentulah saya berasa kesal dengan sesetengah pihak yang mengatakan kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) hanya memberikan sebanyak RM1.75 juta sahaja dalam setahun.

“Sebenarnya, sejak 2009, Kerajaan Negeri melalui Jabatan (Hal Ehwal) Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah memberikan sebanyak RM45 juta, dan, ini tidak termasuk tanah yang diberikan secara percuma untuk pembangunan sekolah agama rakyat.

“Bantuan tambahan (RM1.75 juta) ini tidak pernah dilakukan oleh Kerajaan negeri (era Umno) sebelum ini, sama juga bantu (RM1.75 juta) dan ‘bonus (raya)’ untuk guru-guru sekolah agama rakyat yang kita (Kerajaan Negeri) bagi kebelakangan ini.

“Sebagai kerajaan negeri yang terbuka, kami (Pakatan Harapan) rela diperbetulkan, sama seperti ajaran Islam yang menuntut taubat jika salah,” ucapnya dalam Majlis Perasmian Bangunan Baru SAR Maahad At-Tarbiah Guar Jering dekat sini.

Turut berucap, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim serta Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mencadangkan supaya model Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) diterapkan di semua jenis institusi pengajian agama Islam di negeri itu.

“Selain buat kuliah agama, buat juga kuliah sains dan teknologi kerana kalau kita lihat zaman keemasan Islam, ilmuan Islam banyak menyumbang pada dunia sains dan teknologi.

“Tanpa ilmu nombor dan algebra yang disumbangkan oleh ilmuan Islam (Al-Khawarizmi), ilmu matematik, sains dan komputer yang menggunakan algebra tidak wujud.

“Bagi kami, sesiapa yang mendalami pendidikan Islam, ia adalah penegak pada keamanan,” ujarnya sambil menolak dakyah Islamofobia oleh pihak tertentu di peringkat global.

Mengikut pecahan sumbangan, rekod peruntukan tambahan RM1.75 juta Kerajaan Negeri kepada 178 buah SAR pada petang tadi adalah seperti berikut:

● 106 buah SAR – Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA – Integrasi) sebanyak RM453,800;
● Tujuh buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) sebanyak RM539,800;
● Tujuh buah Sekolah Rendah Agama Rakyat sebanyak RM382,020;
● 11 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebanyak RM264,500;
● 27 buah Maahad Tahfiz Al-Quran sebanyak RM177,200;
● Enam buah Pondok Pengajian Islam sebanyak RM60,000; dan
● 14 buah Tadika Islam (TADIS) sebanyak RM22,680

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger