Home » , » Menuntut kembali negara kita melalui Bersih 5

Menuntut kembali negara kita melalui Bersih 5

Written By Wadah Baru on Selasa, 15 November 2016 | 10:47 PG

Oleh Zairil Khir Johari 



Salah satu keunikan negara kita adalah jangka hayat panjang rejim pemerintah yang tidak pernah sekalipun kalah dalam pilihan raya umum sejak merdeka enam dekad yang lalu. Walau bagaimanapun, rekod unggul ini tiada kaitan dengan prestasi atau populariti. Sebaliknya, ia dicapai atas kemampuan luar biasa kerajaan untuk terus memastikan peraturan permainan diatur untuk memihak mereka.
Buktinya jelas apabila kita meneliti strategi persempadanan semula kawasan pilihan raya yang telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun. Malah, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri pernah mengakui bahawa semakan sempadan pilihan raya sering dijalankan dengan matlamat untuk memastikan keputusan politik yang memihak kepada parti pemerintah.

Hasil daripada itu, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum yang lepas dengan 60 peratus kerusi parlimen walaupun hanya mendapat 47 peratus undi popular, manakala gabungan pembangkang hanya memenangi 40 peratus kerusi meskipun menerima 51 peratus undi. Jelas sekali, kehendak pengundi tidak dicerminkan pada keputusan pilihan raya. Dengan cadangan persempadanan semula yang baru diumumkan oleh SPR, adalah jelas bahawa kehendak pengundi bukanlah keutamaan kerana agihan pengundi akan bertambah tidak sekata.

Mengabaikan Perlembagaan

Peruntukan perlembagaan pun tampaknya diabaikan oleh SPR. Secara khusus, subseksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa:
“bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya;”

Implikasi utama daripada peruntukan ini adalah bahawa saiz kerusi dalam sesebuah negeri sepatutnya sedapat mungkin lebih kurang sama antara satu sama lain, dengan kaveat yang membenarkan perwakilan yang lebih berdasarkan saiz kawasan. Dalam erti kata lain, kawasan yang besar dari segi geografi dibolehkan mempunyai pengundi lebih kecil berbanding kawasan bandar yang padat, namun had perbezaannya kini tidak jelas berikutan pindaan Perlembagaan pada tahun 1973 yang mengeluarkan klausa yang menentukan bahawa sesebuah kawasan luar bandar boleh memiliki separuh daripada pemilih sesebuah kawasan bandar. Sungguhpun begitu, adalah munasabah untuk menganggap bahawa perbezaan bilangan pemilih antara mana-mana dua kerusi di dalam sesebuah negeri tidak patut melebihi dua atau tiga kali ganda, ataupun lebih lagi seperti yang berlaku kini.

Namun, nampaknya SPR sama sekali tidak menghiraukannya. Satu contoh ketara adalah kes kawasan dewan undangan negeri Paya Terubong dan Air Putih di Pulau Pinang. Bilangan pemilih Paya Terubong telah meningkat kepada 41,707 pengundi sementara Air Putih berkurang kepada 12,752 pengundi. Perbezaan 3.3 kali ganda ini amat menghairankan, khususnya apabila kedua-dua kerusi ini adalah jiran secara geografi.

Di peringkat kawasan parlimen pula, dua kawasan dari daerah yang sama, iaitu Bukit Gelugor dan Tanjong, juga memperlihatkan pengagihan pengundi yang sangat tidak sekata. Dengan 84,755 pengundi, Bukit Gelugor adalah kawasan parlimen terbesar di Pulau Pinang manakala Tanjong adalah yang paling kecil dengan hanya 50,324. Ini bermakna beza bilangan pemilih antara Bukit Gelugor dan Tanjong adalah 1.68 kali ganda. Dalam kes ini, sepertimana dalam kes Paya Terubong dan Air Putih juga, jurang yang begitu mencolok tidak sepatutnya timbul kerana alasan bagi membolehkan perbezaan bilangan pemilih tidak terpakai kerana ia semuanya melibatkan kerusi di kawasan bandar yang tidak mempunyai masalah logistik. 

Mengalihkan tiang gol

Jelas sekali, kegagalan untuk melakar semula sempadan bagi menyeimbangkan saiz kawasan pilihan raya adalah pengabaian tugas oleh SPR. Pun begitu, sementara impak politik bagi kes-kes pembahagian pengundi yang tidak sekata di Pulau Pinang mungkin boleh dikatakan tidak cukup signifikan untuk memberi kesan kepada neraca politik di negeri itu, pencabulan subseksyen 2(c) yang turut berlaku di Selangor sudah tentu akan mengakibatkan kesan yang mendalam.

Cadangan persempadanan semula yang diumumkan untuk Selangor amat drastik dan terang-terangan direka untuk mencapai matlamat politik pemerintah kerajaan pusat. Berdasarkan perubahan yang dicadangkan, beberapa kerusi parlimen yang dikuasai pembangkang telah diperbesarkan dengan memasuki daerah-daerah mengundi yang cenderung kepada pembangkang bagi membentuk kubu kuat pembangkang yang amat besar. Hal ini juga bermaksud bahawa kerusi jiran akan kehilangan penyokong pro-pembangkang mereka.

Ambil sebagai contoh kawasan parlimen Petaling Jaya Utara yang dimenangi pembangkang dengan majoriti besar bagi dua penggal berturut-turut. Berdasarkan persempadanan semula yang terbaru ini, saiznya hampir digandakan daripada 85,401 pengundi kepada 150,439. Ini dilakukan dengan menyerap keseluruhan kawasan dewan undangan negeri Bukit Lanjan, lantas mengecilkan saiz kawasan parlimen Subang yang kehilangan Bukit Lanjan serta sebahagian besar penyokong pembangkang. Dalam erti kata lain, sementara pembangkang bakal mengekalkan Petaling Jaya Utara (atau nama baru yang dicadangkan, Damansara) dengan majoriti yang lebih besar, Subang (atau nama barunya Sungai Buloh) akan menjadi jauh lebih mudah untuk ditawan BN. Trend yang sama juga boleh dilihat di kawasan-kawasan pembangkang lain seperti Serdang dan Klang, yang kedua-duanya bakal bertambah saiz dan majoriti sementara jiran-jiran mereka, Hulu Langat dan Kapar, bakal menjadi lebih sukar untuk dikekalkan pembangkang.

Matlamat yang ingin dicapai daripada persempadanan semula kawasan ini amat jelas. Analisa berdasarkan pola pengundian pilihan raya umum ketiga belas mendapati bahawa pihak pembangkang akan kehilangan tujuh kerusi di negeri Selangor, sementara lapan lagi kerusi akan menjadi marginal. Justeru, sekiranya cadangan ini diwartakan, BN akan mencatat kemenangan sebelum kempen pilihan raya bermula.

Satu orang, satu undi, tiada nilai

Senario ini juga mengakibatkan ketidaksaksamaan dalam nilai undi, kerana pengundi di kawasan pilihan raya yang sangat besar akan jauh kurang diwakili berbanding mereka di kawasan-kawasan yang kecil. Di Selangor, umpamanya, kerusi Damansara (Petaling Jaya Utara) dengan pengundi seramai 150,439 adalah empat kali ganda kerusi Sabak Bernam dengan 37,126 pengundi. Ini bermakna bahawa pengundi Sabak Bernam mempunyai nilai undi empat kali lebih daripada pengundi di Petaling Jaya Utara. Keadaan ini sama sekali tidak wajar dan tidak boleh diterima menurut Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa saiz antara kerusi seharusnya “lebih kurang sama”.
Akibat daripada pembahagian pengundi yang tidak sekata ini, kira-kira satu setengah juta pengundi atau 13.5 peratus daripada 11.3 juta pengundi berdaftar di Malaysia akan kurang diwakili ataupun mengalami keadaan under-representation secara ketara kerana mereka merupakan pengundi dalam 13 kerusi “maha besar” yang mempunyai bilangan pengundi lebih daripada seratus ribu. Kerusi-kerusi ini, yakni Damansara (150,439), Bangi (146,1680), Klang (141,275), Petaling Jaya (129,363), Subang (128,330), Gelang Patah (112,081), Kota Raja (121,126), Pasir Gudang (108,156), Kota Melaka (105,067), Kuala Terengganu (101,875), Sungai Petani (101,829), Tumpat (101,318) dan Kapar (100,456), adalah jauh lebih besar berbanding saiz purata kawasan parlimen di semenanjung, iaitu sekitar 68,814 pengundi. Mungkin tidak begitu kebetulan, 12 daripada 13 kerusi ini merupakan kerusi yang dikuasai pembangkang. Tidakkah ini seakan-akan merompak nilai undi penyokong pembangkang?

Tidak bertindak itu bukan satu pilihan

Terdapat banyak lagi contoh yang boleh dipetik untuk membuktikan bahawa persempadanan semula yang dicadangkan adalah tidak lebih daripada skim penipuan pilihan raya secara besar-besaran yang bertujuan bukan sahaja untuk mencuri kerusi daripada pembangkang tetapi juga untuk merampas hak dan nilai undi berjuta-juta pengundi.

Dalam keadaan begini, tidak bertindak itu bukan satu pilihan. Setiap rakyat Malaysia yang percaya kepada masa depan demokrasi negara ini perlu menegaskan hak mereka untuk menolak cadangan persempadanan semula ini. Bantahan rasmi perlu difailkan oleh semua pihak yang berkepentingan. 

Dengan kerjasama Bersih 2.0 dan badan-badan aktivis lain, kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang telah pun mengemukakan petisyen bantahan terhadap SPR. Wakil rakyat dan kumpulan-kumpulan pengundi juga telah digerakkan di kedua-dua negeri tersebut dan juga di seluruh negara. Jika bantahan ini tersekat atau ditolak, maka semakan kehakiman harus dirujuk.

Walau bagaimanapun, proses rasmi dan tindakan undang-undang sudah tentu sukar berjaya apabila institusi awam negara nyata tidak bersikap berkecuali. Dalam hal ini, tidak ada yang lebih kuat dan lebih berkesan sebagai alat bantahan daripada suara kolektif orang ramai yang berarak secara aman di jalan raya.

Jangan kita lupa, “tsunami politik” pada tahun 2008 sebahagian besarnya adalah akibat daripada perhimpunan Bersih pertama pada tahun 2007 serta demonstrasi Hindraf tidak lama selepasnya. 

Malah, adalah jelas keputusan pilihan raya umum 2013 telah didorong oleh semangat orang ramai berikutan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 yang berjaya menyatukan imaginasi rakyat seluruh negara. 

Kerajaan sendiri tidak mampu mengabaikan puluhan ribu rakyat Malaysia yang berdepan gas pemedih mata dan meriam air untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil. Hasilnya, beberapa pembaharuan pilihan raya telah dilaksanakan, termasuk penggunaan dakwat kekal untuk memastikan pengundian berganda tidak berlaku.

Tahun lalu, perhimpunan Bersih 4 menyaksikan setengah juta orang berkumpul di Kuala Lumpur dalam amalan kebebasan berhimpun terbesar yang pernah dilihat di negara ini. Namun perjuangan masih belum berakhir. Cadangan persempadanan semula terkini membuktikan bahawa sang penguasa semakin terdesak dan sanggup menggunakan apa-apa cara, busuk atau adil, untuk memastikan kelangsungan pemerintahan mereka.

Maka, adakah kita akan duduk berdiam dan membolehkan mereka untuk mencuri masa depan kita sebagaimana yang mereka telah lakukan terhadap cukai kita? Atau adakah kita akan sekali lagi berdiri teguh untuk mempertahankan hak kita?

Datanglah 19 November ini, marilah kita menuntut kembali negara kita melalui Bersih 5. – 

*Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera meran

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger