Oleh Rahmat Haron
Adakah benar tuduhan, datang hadir menunjuk perasaan ke perhimpunan
Bersih 4 menjadikan kita orang yang mementingkan diri sendiri (selfish)?
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, sudahpun membalas
dakwaan tersebut dengan penegasan perhimpunan itu bertujuan untuk
mendesak penambahbaikan ke arah sebuah kerajaan dan sistem pilihanraya
yang lebih adil, menghapuskan amalan rasuah serta tuntutan menyelamatkan
ekonomi negara.
Mementingkan diri sendiri dapat membawa maksud,
menyintai orang lain itu suatu kebaikan, manakala menyayangi diri
sendiri itu pula suatu kejahatan.
Ianya suatu pengertian yang
dicipta penguasa dalam doktrin kekuasaan negara yang terpusat
(autoritarianisme) sebagai perkakas kawalan untuk menekan kespontanan,
kesemulajadian dan pertumbuhan diri seseorang individu.
Slogan selfish
autoritarianisme menuntut pengorbanan, penyerahan diri individu
semutlaknya (ke tahap tertentu secara membuta-tuli kepada kekuasaan
negara).
Dengan episod pemecatan Timbalan Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin, perkembangan politik di Malaysia masa kini tambah
menarik, tetapi cukup berbahaya dan boleh mendarurat.
Awalnya,
saya melihat ia hanyalah pengulangan peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim,
hampir dua dekad yang lalu. Tetapi sebagaimana yang disebut ramai
penganalisa politik, ketika itu, saudara Anwar bukan sahaja dipecat
daripada jawatan dalam kerajaan sebagai timbalan perdana menteri malah
jawatannya sebagai timbalan presiden parti Umno juga.
Namun
demikian, Muhyiddin mendapat sokongan jitu ‘bangsa Johor’. Selepas
Muhyiddin dipecat, Sultan Johor Sultan Ibrahim Mahmud Iskandar memanggil
Muhyiddin menghadap ke istana. Muhyiddin masih lagi Timbalan Presiden
Umno.
Kita dapat memerhatikan arus kemarahan rakyat terhadap
dasar-dasar pemerintahan, skandal-skandal rasuah, pecah amanah serta
penyelewengan kuasa semakin membesar menjadi gelora ombak dan gelombang.
Ungkapan-ungkapan ketidakpuasan hati rakyat dapat dikesan berlambakan beredar dalam kitaran maklumat media sosial dan Internet.
Tinjauan
terbaru menunjukkan pengguna Internet tidak percaya kepada perdana
menteri dan kerajaan. Tidak ada lagi yang dapat disembunyikan daripada
skandal kewangan 1MDB.
Daripada laporan media berwibawa seperti Wall Street Journal, Sarawak Report, The Edge,
desakan mantan Perdana Menteri, ulasan putera raja, keluhan golongan
bangsawan dan korporat, kicauan artis-artis selebriti arus perdana
seperti Siti Nurhaliza dan Amy Search, sehinggalah kepada pendedahan
yang dibuat tokoh-tokoh utama pembangkang serta tuntutan masyarakat
madani sejak dahulu lagi.
Dalam konteks kepentingan diri (self interest) suatu
jalinan kesepaduan rakyat Malaysia telahpun tumbuh atas bantuan isu
skandal kewangan syarikat 1MDB. Misalnya campur tangan pentadbiran Najib
terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun dalam
pasukan polis dan pihak-pihak berkuasa yang terlibat menyiasat 1MDB
telah menghasilkan solidariti rakyat terhadap institusi-institusi
penting kerajaan ini.
Najib tidak akan semudahnya melepaskan
jawatannya. Tidak dalam masa yang terdekat ini. Terlalu banyak
kepentingan diri yang terpaksa dilucutkan. Pemecatan Muhyiddin daripada
pentadbiran kerajaan menunjukkan kedegilan atau barangkali menurut
kehendak hati Rosmah Mansor, inilah keteguhan semangat juang anak Bugis.
Tetapi
bagaimana kita mengukur sokongan pihak yang mahukan Najib Razak
melepaskan jawatan dan skandal 1MDB disiasat seadil-adilnya? Adakah
cukup dengan melihat sebanyak mana komen-komen dan kritikan yang dibuat?
Di sinilah BERSIH 4 amat mustahak sebagai referendum rakyat.
Aturan
kekuasaan warisan kolonial yang dibangunkan Umno selama lebih separuh
abad kemerdekaan negara ini (58 tahun) menjadikan kedudukan jawatan
presiden Umno dan perdana menteri sebagai pusat kuasa pada martabat
teratas darjat yang paling tinggi di Malaysia. Pemerintahan Dr Mahathir
selama 22 tahun memperkuat akar autoritarianisme tersebut, sehinggakan
dirujuk sebagai Mahathirisme.
Namun, meski dilihat sinis Dr.
Mahathir kini mula berikhtiar memadamkan satu demi satu struktur
autoritarianisme yang memakai namanya itu. Apa yang diperlihatkan beliau
sekarang, barangkali hanyalah taktik politik semata-mata.
Jikalau di zaman pemerintahannya, sering diungkapkan demonstrasi bukan budaya kita, kini pendirian itu telah bertukar.
Jikalau
di zaman pentadbiran Dr Mahathir, tiada kebebasan bersuara dan media
asing dituduh cemburu, kini suara beliau dipetik dengan nada positif
dalam laporan-laporan media utama antarabangsa dan media alternatif
dalam negeri.
Sekali air bah, sekali pasir berubah. Kita
mengalu-alukan perubahan ke arah keadaan yang lebih baik, untuk diri
sendiri, keluarga, tetangga, masyarakat, negara dan untuk kesejagatan hak-hak semua manusia. Kita tidak lupa masa lalu, tetapi kita memandang ke hadapan dengan berlapang dada.
Malangnya
terdapat segelintir kumpulan anak muda yang sudah berubah arah,
menentang perhimpunan Bersih. Apapun motivasi mereka, raikanlah
demokrasi. Kata bidalan lama, patah tumbuh, hilang berganti.
Inilah
reformasi, tidak sempurna. Pada sudut tertentu masih banyak sisi-sisi
gelapnya dan perlu waktu serta usaha berterusan untuk dicerahkan. Ia
mengajak kita bergerak ke arah kesempurnaan, meski ia hanyalah harapan.
Tetapi
harapan itulah yang menghidupkan kita untuk masih bernafas di bumi ini.
Apatah lagi di kala nilai tukaran ringgit berbanding wang asing semakin
jatuh merudum. Saat menulis artikel ini, ringgit telah melepasi tahap
RM4 berbanding 1 dolar Amerika Syarikat.
Pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu baru-baru ini memberikan amarannya,
“negara kita ini sudah berada dalam keadaan paling ‘darurat’. Darurat
ekonomi, darurat rasuah, darurat penyalahgunaan kuasa, darurat
penyelewengan ini perlu dihentikan.”
Bekas tahanan ISA yang mesra
dipanggil Abang Mat itu juga turut menyeru,“rakyat perlu bersatu untuk
perbetulkan keadaan ini melalui protes himpunan bantah secara aman
terhadap pemerintahan Najib.”
Kembali kepada persoalan mementingkan diri sendiri (selfish). Menurut kupasan ahli falsafah Erich Fromm, “menjadi orang yang selfish
bermakna dia hanya berminat kepada dirinya sendiri, mahukan segalanya
untuk dirinya, tidak mendapat nikmat memberi tetapi hanya mengambil.
Sudut
pandangannya terhadap dunia luar cuma melihat apa yang dapat
diperolehinya; dia tidak berminat dalam keperluan-keperluan orang lain,
serta turut tidak menghormati integriti dan maruah orang lain.”
Tuntutan-tuntutan BERSIH, GHB, pembangkang dan masyarakat madani lainnya memperlihatkan sikap self love
(cinta diri); makna kata keupayaan mereka menyintai diri sendiri secara
produktif itulah yang memberdayakan mereka menyintai kekasihnya,
mengasihi sesama manusia, menyayangi penghidupan tanah air dan alam
semesta.
Demi Cinta, keranamu Malaysia, kita jumpa 29-30 Ogos ini, di Dataran Merdeka.
RAHMAT HARON seorang seniman outsider.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan