Home » , » Cas wad pesakit kelas satu dan dua naik Januari 2017

Cas wad pesakit kelas satu dan dua naik Januari 2017

Written By Wadah Baru on Selasa, 15 November 2016 | 10:51 PG

Caj baharu perkhidmatan wad pesakit kelas satu dan dua di hospital kerajaan akan dinaikkan berkuat kuasa 1 Januari 2017, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Bagaimanapun, katanya, kadar kenaikan caj tersebut masih belum diputuskan.

Beliau berkata setakat ini hanya 1.6 peratus sahaja jumlah pesakit dijangka terlibat dengan kenaikan caj tersebut manakala 98.4 peratus lagi akan dibiayai melalui subsidi penuh.

"Jumlah pesakit dalam, pada setiap tahun, adalah 2 juta dan daripada jumlah itu, 32,000 orang adalah pesakit kelas satu dan dua.

"Mereka di kelas satu dan dua sememangnya membayar caj perkhidmatan.

Walaupun ada kenaikan, jumlah subsidi yang diberi masih lagi besar," katanya pada sidang akhbar, di Kuala Lumpur semalam.

Dr Subramaniam berkata tumpuan utama Kementerian Kesihatan (KKM) adalah terhadap kumpulan berpendapatan rendah dan memastikan mereka tidak dikenakan bayaran.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar tempatan hari ini yang mendedahkan bahawa caj perkhidmatan wad bagi pesakit di kelas satu dan dua akan dinaikkan 50 peratus.

Dalam pada itu, mengulas maklumat terkini berkenaan siasatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Dr Subramaniam berkata KKM akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat konsesi yang dipercayai cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Menurutnya KKM telah mengenakan penalti sebanyak RM55 juta terhadap lima syarikat konsesi dari April 2015 hingga Ogos 2016.

"Kita tidak kenakan denda sebaliknya kementerian akan mengurangkan bayaran kontrak kepada syarikat konsesi yang gagal memenuhi terma perkhidmatan mengikut perjanjian kontrak.

"Selain itu, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibuat jika wujud unsur penipuan atau jenayah di kalangan syarikat konsesi," katanya.

Dr Subramaniam berkata KKM turut menempatkan pegawai pemantau di 148 hospital kerajaan di seluruh negara bagi memastikan kerja-kerja perkhidmatan dan penyelenggaraan dijalankan mengikut piawaian.

"Langkah ini bertujuan untuk menghantar mesej kepada rakyat bahawa KKM serius dalam usaha menangani masalah ini (kebakaran di HSA) agar tidak berulang lagi.
"Kita mahu rakyat Malaysia mempunyai keyakinan yang besar terhadap
perkhidmatan hospital-hospital kerajaan," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger