Beberapa anggota Parlimen hari ini mahu kerajaan mengenakan hukuman
berat termasuk sebatan kepada peniaga atau individu yang mengambil
kesempatan terhadap barangan bersubsidi seperti minyak masak.
Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) berkata tindakan tidak
bertanggungjawab menyorok dan menyeludup barangan bersubsidi merupakan
suatu jenayah amat berat sehingga menyebabkan masalah kepada rakyat
khususnya golongan miskin yang memerlukan barangan berkenaan.
"Jika jumlah barangan disorok besar, saya cadangkan supaya mereka
dikenakan sebatan, ia setimpal kerana ia sangat menyusahkan golongan
miskin yang sepatutnya dapat barangan bersubsidi," katanya.
Hasan berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU)
Perbekalan 2017 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada persidangan Dewan
Rakyat di sini, hari ini.
Senada dengan Hasan, Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang
mahu kerajaan membatalkan lesen peniaga terbabit sebagai pengajaran
kepada peniaga lain.
"Tangkap mereka, tarik terus lesen. Jangan bagi lesen lagi, banyak
lagi orang lain mahu berniaga, untuk apa kita beri peluang kepada mereka
ini," katanya.
Sementara itu, G. Manivannan (PKR-Kapar) berkata sudah tiba masanya
kerajaan memperkenalkan suatu akta yang membolehkan hukuman setimpal
dikenakan kepada peniaga berkenaan.
Ketika sesi penggulungan RUU Perbekalan 2017 kementerian tersebut,
menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata KPDNKK akan melihat
cadangan tersebut secara keseluruhan bagi mencari keputusan terbaik
dalam menangani isu itu.
"Ketika ini kita lihat secara keseluruhan bukan hanya pada satu akta sahaja agar kita dapat perbaiki akta lain," katanya.
Pada masa sama, Hamzah menegaskan kuota minyak masak bersubsidi atau
paket satu kilogram lebih daripada mencukupi berbanding anggaran
kegunaan yang diperlukan 30 juta rakyat negara ini.
Beliau berkata penggunaan yang dianggarkan adalah 36,000 metrik tan
sebulan, namun kerajaan mengeluarkan lebih 50,000 metrik tan untuk
tempoh tersebut.
"Saya akui stok minyak masak tidak cukup apabila sesetengah pengguna
membuat pembelian panik dengan membeli minyak masak lebih daripada
keperluan malah ada pembekal mula menyimpan stok," katanya.
Mengenai dakwaan kualiti minyak masak bersubsidi dalam bungkusan
plastik tidak berkualiti, Hamzah berkata minyak tersebut adalah terjamin
dan bukan minyak terpakai yang dikitar semula seperti dakwaan
sesetengah pihak.
Hamzah turut menafikan dakwaan bahawa harga gas petroleum cecair (LPG) akan dinaikkan sebanyak RM7 setong mulai tahun depan.
"Kerajaan tidak pernah terfikir untuk bagaimana nak uruskan harga
naik atau turun tetapi orang ramai dah berkata seolah-olah harga dah
naik," katanya
Sebat peniaga, individu ambil kesempatan barangan bersubsidi
Written By Wadah Baru on Selasa, 15 November 2016 | 10:53 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan