Home » » Resolusi Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah 2015

Resolusi Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah 2015

Written By Wadah Baru on Selasa, 18 Ogos 2015 | 2:41 PTG

Berikut adalah resolusi Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah 2015 (NUNJI15) yang bersidang di Shah Alam, Selangor pada Sabtu 15 Ogos 2015.
——
Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah 2015 (NUNJI15) yang bersidang hari ini, Sabtu 15 Ogos 2015, bersamaan 30 Syawal 1436H, di Shah Alam, Selangor, yang disertai oleh 500 perwakilan dan peserta, dan dikongsi kelilmuannya dari ilmuan dan ulamak Islam dalam dan luar negara memperakui bahawa keperluan memasakkan dan membumikan risalah Rahmatan Lil Alamin memerlukan usaha berterusan bersama dengan semua pihak dalam satu pendekatan inklusif.

Meyakini betapa besarnya amanah Islam dalam memenuhi kehendak perubahan politik semasa, dan kegagalan kerangka politik penindasan, dan kegagalan pentadbiran kerajaan yang telus dan bertanggungjawab, maka NUNJI’15 mengusulkan beberapa ketetapan resolusi untuk diambil ketetapan selanjutnya;

1. Meningkatkan tahap keberkesanan politik Islam melalui proses demokrasi dan pendemokrasian dalam kerangka kedaulatan undang-undang negara dan Perlembagaan Negara.

2. Memantapkan dan memperkukuhkan usaha secara berterusan dan gigih untuk menggali semula, dan memunggah semula khazanah Siyasah Syariyyah sebagai panduan berpolitik dan bernegara, dengan mengambil kira suasana / kondisi dan keperluan setempat bagi menelurkan FIQH SIYASAH ACUAN MALAYSIA.

3. Memperkukuhkan dan memperjuangkan konsep Muwathonah berpandukan kepada memenuhi HAK, dan membela sebarang pencabulan HAK, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara berpandukan kepada ketetapan Siayah Syariyyah.

4. Memperjuangkan bahawa Syariat Islam perlu dipersembahkan dalam mafhum menyeluruh mengikut kebijaksanaan pendekatan dan tidak terhad kepada menyamakan Syariat dengan hanya Hudud semata-mata.

5. Menetapkan dan memperjuangkan bahawa satu dasar Islam yang memantulkan penghayatan makna Rahmatan Lil Alamin diterjemahkan melalui wujudnya sebuah Negara Madani melalui dasar Keterangkuman dan kepimpinan yang Beramanah kepada rakyat yang berbagai kaum dan agama di Malaysia.

6. Meyakini dan menghayati bahawa kepelbagaian Jamaah tidak boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan budaya permusuhan dan budaya takfiri tetapi hendaklah diurus melalui adab perbezaan yang ditetapkan.

7. Meyakini bahawa dasar Islam Rahmatan Lil Alamin hendaklah diterjemahkan dalam amalan politik pemuafakatan dengan semua pihak yang berkongsi cita-cita yang sama dan beriltizam dengan persetujuan yang dibuat bersama.

8. Bersetuju sebulat suara untuk mengasaskan sebuah parti politik baru berpandukan kepada maqasid dan siyasah syariyah sebagai salah satu cara bagi mencapai ketetapan-ketetapan di atas.

Bagi mencapai matlamat resolusi yang dipersetujui, NUNJI’15 menyeru semua pihak untuk meneruskan usaha Islah pemikiran dan Islah organisasi dan kemudian mengembelingkan tenaga bersama untuk menjayakan ketetapan-ketetapan yang dibuat.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger