Oleh Syed Ibrahim Syed Noh
Sementara rakyat sedang terus menjerit kenaikan harga barang dan kos
sara hidup, Datuk Seri Najib kini sedang giat menglipur lara perwakilan
persidangan Umno Bahagian tentang kehebatan tadbir urus dan ekonomi
negara serta keburukan pembangkang khususnya Pakatan Harapan
(PH). Meskipun mesej oleh Datuk Seri Najib Abdul Razak ditujukan kepada
perwakilan Umno namun ternyata liputan media secara meluas bertujuan
supaya mesej itu sampai ke seluruh pelusuk rumah di bandar dan desa.
Di Parit, Perak, Datuk Seri Najib menegaskan bahawa pemimpin UMNO perlu
sentiasa memberikan harapan dan keyakinan bagi pembangunan rakyat,
bukannya memainkan elemen ketakutan seperti yang dilakukan pembangkang.
Menurutnya, permainan “politic of fear” hanya digunakan oleh pihak yang
tidak mempunyai kuasa dan bertujuan menumbangkan pemimpin di tampuk
pemerintahan.
Tetapi keesokannya di Kuala Lipis, Pahang, beliau
menggunakan elemen ketakutan dengan mengatakan bahawa menukar kerajaan
boleh mendatangkan bala dan bencana. Malah katanya rakyat seharusnya
mengambil iktibar daripada peristiwa kebangkitan rakyat atau Arab
Springs yang menyaksikan banyak negara Timur Tengah seperti Iraq
bergolak.
Dua mesej yang bertentangan oleh Datuk Seri Najib
tersebut sudah cukup untuk membuktikan yang Umno BN tidak yakin untuk
kekal menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Umno BN sedang
terdesak untuk terus berkuasa dan cemas dengan kebangkitan pembangkang.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang Parlimen
Malaysia merangkap Presiden PH dalam kenyataannya pada 25 Julai, telah
dengan tegas mencadangkan agar Datuk Seri Najib tidak memperlekeh
kekuatan dan iltizam PH dalam membina Malaysia yang lebih baik, dan
sebaliknya beliau perlu mengumumkan bahawa beliau bersedia menerima
kehendak rakyat dan memastikan peralihan kuasa yang baik sekiranya PH
memenangi PRU14 nanti.
Pada pendapat saya, lama kelamaan rakyat
akan bertambah muak dengan pendekatan seloka penglipur lara tetapi
sombong dan hipokrit Umno BN.
Kalau benar utamakan rakyat, yakin
dengan sokongan, apa perlu ditakut-takutkan rakyat dengan bencana dan
mudarat jika PH berjaya mengambilalih Putrajaya?
Kalau benar
yakin dengan kekuatan sendiri, apa perlu menuding kepada peranan tokoh
lama, mengkambinghitamkan orang, mengaburi dan melindungi pelbagai
skandal besar yang berlanjutan tanpa penyelesaian segera?
Kalau
benar ekonomi negara baik berdasarkan laporan agensi-agensi
antarabangsa, mengapa kadar inflasi dan pengangguran tinggi, tidak
rendah seperti yang dikatakan Datuk Seri Najib dalam Invest KL 2017
baru-baru ini?
Kadar inflasi mendadak naik sehingga 4.3 peratus
pada suku pertama tahun ini (tahun lepas 2.1 peratus). Antara indeks
barangan makanan yang mencatatkan kenaikan ketara dalam bulan Mac 2017
berbanding tempoh yang sama tahun lepas ialah minyak masak (+48.5
peratus). Ini dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Mengapa
laporan ini tidak dipetik oleh Datuk Seri Najib?
Kadar
pengangguran telah naik sebanyak 12 peratus tahun lepas. Di kalangan
belia, kadarnya 10.7 peratus, lebih tinggi daripada tahun lepas (10.2
peratus), malah di kalangan lulusan universiti, kadar pengangguran lebih
tinggi pada 15.3 peratus jika dibandingkan dengan mereka yang tanpa
kelulusan tinggi iaitu 9.8 peratus. Laporan ini merupakan penerbitan
oleh Bank Negara Malaysia untuk Laporan Tahunan 2016. Mengapa laporan
ini juga tidak dipetik oleh Datuk Seri Najib?
Mengapa Speaker
Parlimen tolak 30 soalan berkenaan 1MDB sedangkan Datuk Seri Najib
sendiri boleh pula jawab semasa Invest KL 2017 bahawa kerajaan mengambil
serius tentang kepincangan dalam tata kelola 1MDB dan telah mengarahkan
siasatan terbesar dalam sejarah negara?
Amat pelik, bangga
dengan tindakan yang diambil tetapi bersembunyi di belakang Speaker
daripada menjawab soalan wakil rakyat. Banyak perkara bercanggah antara
ucapan dan perbuatan Datuk Seri Najib dan pemimpin Umno BN dalam isu
skandal 1MDB.
Di samping itu, rakyat masih tertanya-tanya kenapa
hutang negara terus bertambah walaupun cukai GST telah dikutip dan
banyak subsidi telah dihapuskan? Kenapa harga barang seperti ikan
kembung naik sehingga lebih RM20 sekilo? Kenapa tambang pengangkutan
awam meningkat? Kenapa harga barang tetap naik walaupun dikatakan akan
turun apabila ada GST dan apabila harga minyak turun?
Kenapa
kadar kenaikan gaji tetap rendah di mana tahun lepas, gaji hanya
meningkat kurang dari satu peratus atau RM17 manakala lebih separuh
daripada pekerja di Malaysia hanya memperolehi gaji kurang daripada
RM2,000 sebulan? Kenapa matawang negara masih rendah berbanding dollar
Amerika, malah antara yang terendah di rantau ini?
Hakikatnya,
tumpuan utama perlu diberikan kepada meleraikan kekusutan dan kemelut
ekonomi yang dihadapi rakyat. Apakah dasar kerajaan dalam memastikan
harga barang tidak naik? Apakah langkah kerajaan dalam memastikan kos
sara hidup dapat dikawal dan seimbang dengan kemajuan negara? Apakah
polisi kerajaan terhadap sumber tenaga kerja dan penggajian?
Kerajaan parti pemerintah ada amanah yang perlu ditunaikan iaitu membela
nasib rakyat Malaysia secara menyeluruh, bukan secara sekerat-sekerat
atau mi segera, apatah lagi hanya mencari peluang merompak wang rakyat.
Anwar Ibrahim dalam kenyataannya pada 30 Julai telah menjelaskan azam
PH. Katanya, “Muafakat inklusif PH memuktamadkan prinsip asas perjuangan
ke arah negara demokratik, adil dan saksama. Dasarnya tidak samar
melalui retorik umum, tetapi menggagaskan tonggak negara hukum dengan
memulihkan kewibawaan dan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), badan
kehakiman, penguatkuasaan dan menghindari kerakusan, amalan rasuah,
kronisme dan kleptokrasi”.
“Dasar ekonomi negara perlu menjurus
kepada pemacuan pertumbuhan dan jaminan pengagihan adil dan peduli
rakyat. Kita menolak dasar ekonomi pemerintah Umno-BN yang memelihara
kepentingan kelompok kecil mahakaya dan mendera rakyat melalui sistem
percukaian dan GST; lesen dan kenaikan harga barang”, jelasnya lagi.
Menurut Anwar, PH lebih jelas dan tegas dalam usaha mendaulatkan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa ilmu sambil menggalakkan penguasaan bahasa
Inggeris dan bahasa ibunda. Malah katanya, memartabatkan kedudukan Islam
harus disertai nilai dan etika luhur; tidak hanya pada lambang tetapi
membiakkan rasuah dan kezaliman.
Sedang kita memandang ke hadapan
dan memberikan harapan buat rakyat, kita tidak boleh berdiam diri
terhadap penyelewengan dan kepincangan di hadapan mata.
Penglipur
lara akan terus bersandiwara tetapi kecurangan, rompakan dan skandal
demi skandal angkara parti pemerintah merupakan kisah benar yang sudah
lama terlanjur, dibiarkan malah diselindungi. Ia merupakan satu
pengkhianatan kepada majoriti besar melayu bumiputera, peneroka, petani,
pesawah, peniaga kecil dan rakyat marhaen. Justeru, amat wajar
dibanteras dengan kewibawaan, keadilan dan kebenaran, bukan ketakutan
dan ancaman.
Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat
Pakatan Harapan
#BinaSemulaNegara
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
BalasPadam