Oleh
MENGAPA sejak lebih 40 tahun lalu, sukar bagi pembangkang untuk
menewaskan Barisan Nasional (BN)? Apakah kesaktian BN, jika ada, yang
menyebabkan ia kekal sebagai kerajaan Malaysia hingga ke hari ini? Dan
apa pula senjata ampuh untuk menentangnya?
Dengan meletak ke tepi seketika isu demokrasi Malaysia yang pincang
dan kemerosotan hak asasi, undang-undang yang menyebelahi kerajaan
memerintah, kawalan media, serta program berasaskan satu kaum dan agama,
tulisan ini akan hanya menumpukan kepada faktor politik semata-mata
tanpa mengambil kira tekanan dan penindasan yang dihadapi pembangkang.
Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 merupakan platform pertama pembangkang
pelbagai aliran bersatu untuk membentuk gabungan menentang BN. Namun, ia
gagal apabila pengundi memilih untuk kekal bersama BN pimpinan Dr
Mahathir.
Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan
timbalan presiden Umno serta ditangkap pada 1998 dan kemudiannya
dipenjarakan. Ia mencetuskan gelombang kebangkitan orang Melayu. Bagi
kebanyakan mereka, Anwar adalah idola pengganti Dr Mahathir.
Namun, pada PRU1999, percubaan untuk menjatuhkan Mahathir dan BN
sekali lagi gagal. Walaupun banyak undi Melayu berubah kepada
pembangkang, undi kaum lain, khususnya Cina, kekal bersama BN.
PRU2008 pula diadakan dalam keadaan tiada sebarang gabungan antara
pembangkang. Keputusannya mengejutkan apabila Abdullah Ahmad Badawi yang
memegang teraju kepimpinan negara sejak persaraan Dr Mahathir pada 2003
kehilangan majoriti dua pertiga Parlimen serta kalah di lima negeri.
Pada PRU2013, BN di bawah pentadbiran Najib Razak mengekalkan
kemenangan tetapi tanpa banyak perubahan. Malah undi popular Pakatan
Rakyat meningkat menjadi 53% tetapi persempadanan kawasan pilihanraya
membolehkan BN menguasai lebih banyak kerusi. BN tetap kekal sebagai
kerajaan.
Mengapa begitu?
Dalam hal ini, ia melibatkan faktor Dr Mahathir. Sejak 1990
pembangkang gagal membuat sebarang impak kerana aura Dr Mahathir sebagai
ketua kerajaan yang dilihat majoriti pengundi sebagai pemimpin yang
layak memimpin mereka. Maksud “aura” di sini merupakan kecekapan beliau
menggunakan muslihat politik, strategi dan taktik yang bercampur bersih
dan kotor, serta penggunaan aparatus negara.
Contohnya pada PRU1990, walaupun Tengku Razaleigh Hamzah memimpin
Semangat 46 bersama separuh bekas pemimpin kanan Umno, beliau gagal
kerana mereka adalah “pembangkang”, dan bukannya “kerajaan”.
Maksudnya pengundi Melayu khususnya mahu parti Umno yang menjadi
kerajaan kerana diajar sejak Merdeka bahawa “hanya kerajaan dapat
menjamin masa depan rakyat”. Pembangkang pula dilihat sebagai pihak yang
“jahat dan tidak bertanggungjawab”.
Sejak PRU1990 (malah sebenarnya lebih awal, sejak PRU1982), Mahathir
sebagai perdana menteri berjaya memomokkan pembangkang sebagai kumpulan
yang mahu memecahbelahkan perpaduan Melayu serta boleh menjejaskan hidup
serta masa depan orang Melayu. Mudah sahaja alasan ini diterima kerana
Dr Mahathir dan Umno menjadi teraju kepimpinan BN.
Oleh itu sukar pembangkang menang kerana mereka tetap dilihat sebagai
“pembangkang” oleh majoriti orang Melayu, dan bukan sebagai “kerajaan
yang menanti”.
Kini menjelang PRU14, Najib cuba meneruskan skrip lama Dr Mahathir
untuk menakutkan orang Melayu agar terus bersama Umno dan BN. Namun,
keadaan sudah berubah.
Perbezaan paling ketara hari ini ialah yang menjadi kepala
pembangkang adalah Dr Mahathir sendiri, seorang pemimpin yang masih
dikagumi orang Melayu. Kini beliau menerajui sebuah parti Melayu yang
mahu menggantikan Umno, iaitu Bersatu. Ia bergabung dengan Pakatan
Harapan untuk menubuhkan kerajaan baru.
Maksudnya orang Melayu kini melihat Dr Mahathir menawarkan alternatif
untuk menolak Umno. Jika dahulu, semua yang melawan Dr Mahathir adalah
orang nombor dua atau tiga di bawah beliau.
Yang melawan guru semuanya
kalah. Kini beliau sebagai mantan nombor satu bangkit melawan Najib. Ia
seperti guru menentang anak muridnya yang melanggar sumpah setia.
Dalam keadaan sebegini, Najib pula memilih jalan untuk mengutuk,
menghina dan memperlekehkan Dr Mahathir. Sedangkan Dr Mahathir masih
dilihat oleh kebanyakan orang Melayu sebagai tokoh besar yang membuka
peluang kepada mereka memasuki arena perniagaan yang tidak pernah
dimimpikan sebelum dekad 1980-an.
Memang benar cara Dr Mahathir turut melahirkan kronisme, sistem
ekonomi limpahan kapitalis, sikap mediokriti dan pelbagai kelemahan
dalam pentadbiran. Namun beliau juga menjadi kebanggaan rakyat Malaysia
dengan program pembangunan serta mercu tanda yang dikenali dunia.
Suka atau tidak, Dr Mahathir masih mempunyai aura yang digeruni
lawannya. Malah, tindakan dangkal perkauman seperti membangkitkan
keturunan kaum datuknya menjadikan lebih ramai rakyat Malaysia termasuk
orang Melayu tampil membela Dr Mahathir.
Beliau kini bersama musuh lama politiknya – Anwar Ibrahim, Dr Wan
Azizah Ismail, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu – bersatu tenaga untuk
menumbangkan BN bagi menubuhkan kerajaan baru.
Berbeza dengan keadaan dahulu di mana orang bawahan Dr Mahathir yang
cuba menjatuhkannya, kini beliau sendiri menerajui gelombang politik
Melayu yang melawan Najib.
Malah, jika benar Dr Mahathir yang melahirkan pemimpin seperti Najib,
biar beliau sendiri yang menyelesaikan masalah yang diciptanya itu.
Dr Mahathir masih mempunyai aura yang digeruni lawannya.
Written By Wadah Baru on Jumaat, 4 Ogos 2017 | 12:23 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan