PETALING JAYA: Aktivis pelajar Adam Adli menyifatkan cadangan
kerajaan untuk meringankan beban peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) dengan memberi mereka diskaun dan melanjutkan
tempoh pembayaran balik, sebagai bukan 1 langkah yang praktikal.
Bercakap kepada FMT, Adam berkata kedua-dua langkah itu tidak
bermakna di bawah keadaan ekonomi semasa kerana diskaun hanya akan
diberi kepada mereka yang mampu menyelesaikan hutang mereka sekali gus.
Dalam pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
mengumumkan diskaun 20% bagi mereka yang sepenuhnya menyelesaikan
pinjaman PTPTN mereka.
Mereka yang menyelesaikan 50% akan diberi diskaun 10% iaitu kadar
yang sama diberikan kepada mereka yang memilih untuk membayar potongan
gaji atau debit langsung.
Najib juga mengumumkan tempoh tangguh bagi penyelesaian pinjaman yang
akan dilanjutkan sehingga 12 bulan selepas tamat pengajian. Tempoh
lanjutan semasa adalah enam bulan.
Menurut Adam, keadaan ekonomi semasa menjadikan mustahil bagi
kebanyakan graduan mempunyai dana yang cukup untuk menyelesaikan hutang
mereka atau untuk memulakan pembayaran walaupun selepas setahun mendapat
kerja pertama mereka.
Beliau berkata kerajaan perlu menyediakan penyelesaian yang lebih menyeluruh bagi menangani keberhutangan pelajar.
Adam yang sedang mengikuti pengajian undang-undang di sebuah
universiti swasta juga berkata, PTPTN menjadi beban kepada kerajaan dan
harus dimansuhkan.
Oleh itu kata beliau, sudah tiba masa bagi kerajaan memberi pendidikan percuma kepada rakyat.
Malah beliau juga menyangkal bantahan pihak tertentu bahawa pendidikan percuma akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan.
Sebaliknya menurut beliau, terdapat cukup sumber kewangan untuk tujuan tersebut.
“Ini tentang bagaimana kita memperuntukkan wang itu,” katanya.
“Dari pemahaman saya, kita terlalu banyak menghabiskan sumber
kewangan untuk perkara yang kita tidak perlukan, seperti dana berlebihan
yang disalurkan ke pejabat perdana menteri.”
Seorang lagi aktivis pelajar, Asheeq Ali Sethi Alivi dari Universiti
Kebangsaan Malaysia juga berkata, sukar bagi graduan baharu untuk
menyelesaikan hutang PTPTN mereka walaupun dengan diskaun dan lanjutan
jangka panjang.
“Dengan peningkatan kos sara hidup, terutamanya di Kuala Lumpur,
pembayaran balik pinjaman PTPTN hampir mustahil bagi graduan dengan gaji
bulanan RM2,500,” katanya.
“Daripada pinjaman, kerajaan perlu menawarkan lebih banyak biasiswa
dan peluang untuk pendidikan. Ramai yang berhijrah keluar dari negara
ini kerana peluang pendidikan yang kurang baik di Malaysia dan sebagai
hasilnya negara kita kini kurang pakar dalam banyak bidang.”
Penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata beliau meragui yang
kemudahan diskaun dan lanjutan tempoh pembayaran akan membantu dengan
ketara.
“Ini terutamanya apabila pengangguran di kalangan pelajar masih tinggi,” katanya.
Insentif Bajet 2018 tak mampu selesai isu PTPTN, kata aktivis
Written By Wadah Baru on Ahad, 29 Oktober 2017 | 3:48 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan