Oleh A Shukur Harun
Mohamad
Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu sekali lagi menjadi perhatian
umum terutama
media apabila muncul isu beliau perlu membayar ganti rugi
berjumlah RM200,000 kepada bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Omar.
Tokoh politik veteran itu akan diisytiharkan muflis jika tidak membayar jumlah tersebut kepada Wan Ahmad.
Isu ini dengan segera menarik perhatian umum di mana serentak itu para
simpatisan, generasi tua dan muda, khususnya daripada “rakan Mat Sabu” –
seluruh negara – dengan segera melancarkan tabung derma untuk membantu
presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ini melunaskan bayaran tersebut.
Untuk menyelaraskan urusan pungutan derma ini, Amanah di mana beliau
menjadi presidennya, meminta pihak melancarkan “Tabung Solidariti Mat
Sabu” berurusan dengan Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur bagi
mengelakkan sebarang pertikaian.
Kini hampir semua program Amanah di seluruh negara melancarkan pungutan
derma tersebut dan sambutan sangat menggalakkan, menggambarkan tokoh
politik yang satu ini menjadi kesayangan rakyat.
Mat Sabu sangat istiqamah dengan perjuangan, membela rakyat, demokrasi, keadilan dan kebebasan. Inilah tag-linenya selama ini.
Kehidupannya sangat luar biasa, menjelajah ke seluruh negara untuk
menemui rakyat siang dan malam di mana saja, tanpa penat. Beliau biasa
naik mahkamah turun mahkamah, dibuang daerah 2 tahun di Kuala Pilah juga
ditahan di bawah ISA.
Tenaga dan namanya digerakkan untuk mengumpul pelbagai dana parti
lamanya. Undang saja Mat Sabu berceramah maka orang akan ramai datang
dan menderma.
Arahkan sajalah beliau ke mana saja dan tugas apapun diberi akan
dilakukannya dengan sungguh-sungguh siang dan malam, walau di tengah
hujan dan guruh petir. Demikianlah perjuangan tokoh yang satu ini.
Keringat dan penat lelahnya benar-benar untuk rakyat.
Ketika beliau dikalahkan sebagai timbalan presiden PAS dalam muktamar
parti itu di Kuala Selangor tahun lalu bersama rakan progresifnya,
beliau masih tetap tenang dan senyum lebar, melambai tangan kepada
perwakilan, yang menyokong dan menolaknya.
Beliau tetap berdiri di pentas itu. Wajahnya tetap meriah dan matanya
tetap bersinar, senyumnya lebar. Ia kemudian duduk sementara dengan
rakan-rakannya, mendengar dengan tenang keputusan pemilihan selanjutnya.
Hinggalah selesai baru beliau beredar bersama rakannya.
Wajah itu, wajah orang yang tidak merasa kehilangan apa-apa. Namun
tentu terlalu sulit untuk menduga apa yang ada di lubuk hatinya.
Namun sikap ceria timbalan presiden yang dikalahkan itu – di antara
kerusi di pentas muktamar itu – menjadi citra baru mengenai politik
Malaysia, khususnya gerakan Islam di negara ini.
Kalah menang akhirnya tidak selamanya ditentukan siapa yang kehilangan.
Di sinilah Mat Sabu, justeru dalam kekalahannya meneguhkan lagi
perjuangannya untuk membela rakyat dan kebebasan serta keadilan bersama
rakannya yang lain.
Beliau memang tidak terkalahkan. Beliau bukan harimau sarkas yang
sentiasa dalam kurungan dan hanya keluar sangkarnya apabila diarahkan
oleh tuannya untuk menjadi bahan tontonan. Beliau adalah jeneral perang
yang sentiasa di front line perjuangan. Ini status yang dimilikinya
selama ini.
Dalam beberapa bulan ini beberapa kali saya bertemu dengannya dan
isteri, Normah Alwi di beberapa program Amanah dan majlis lain. Dia
tetap senyum dan ceria, wajah yang sentiasa optimis akan kemenangan
perjuangan rakyat.
Beliau baru pulang dari mengerjakan umrah di Tanah Suci, kemudian ke
Sabah dan Sarawak, pergi pula ke beberapa negeri di Semenanjung untuk
menghadiri pelbagai program Amanah dan Pakatan Harapan hampir setiap
hari, menghadiri pelbagai perhimpunan rakyat di mana saja. Justeru,
beliau dan rakyat adalah sinonim, berpisah tiada.
Mat Sabu tetap berdiri di pentas seperti biasa, di mana saja, dengan
gaya pidatonya yang tersendiri, yang kadang-kadang lucu, kadang-kadang
mengejutkan. Beliau tetapi berdiri sebagai soldadu utama dengan segala
keberanian dan ketabahannya.
Kepimpinannya diterima rakyat pelbagai kaum, generasi lama dan baru, di
kota dan di desa. Nelayan Kuala Kedah mendakapnya ketika beliau berada
di kampung itu dan kaum Tionghua serta India juga menyambutnya dengan
meriah apabila beliau berada di Subang Jaya dan Petaling Jaya. Beliau
ternyata diterima di mana-mana.
Pengkritik tidak berupaya mengalahkannya dengan apa hujahpun, kerana
beliau tokoh yang berjuang siang dan malam, memiliki ketabahan, sabar
dan stamina yang kuat.
Beliau kini memimpin parti Amanah, sebuah parti politik berakar
tunjangkan Islam, yang baru berumur sekitar 6 bulan tetapi menyerlah
sebagai parti politik masa depan negara ini.
Mat Sabu memimpin parti berbilang kaum ini, di samping beberapa
agamawan progresif seperti Ahmad Awang, Abd Ghani Shamsudin, Hasanudin
Yunus, Dr Hassan Baharom dan ramai lagi.
Amanah, menerima baik Mat Sabu sebagai pemimpin utamanya, walaupun beliau bukan seorang ulama dalam pengertian biasa.
Justeru, Amanah berpegang kepada petunjuk dalam Islam yag syarat utama
menjadi pemimpin ialah mesti mempunyai keupayaan dan amanah. Beliau
dilihat mempunyai keupayaan ini.
Oleh itu, ternyata wujud keharmonian antara saf kepimpinan Amanah dan
pendukungnya. Saya yakin Mat Sabu selesa dan gembira dengan suasana yang
wujud dalam Amanah ini.
Lebih-lebih lagi parti itu menyediakan ruang kebebasan yang luas untuk
berwacana, menerima pelbagai pandangan dalam suasana akhlak Islam.
Kini para sahabatnya, yang bersimpati dengan perjuangannya, serta
mereka yang sedar akan perjuangan menegakkan keadilan dan demokrasi
sedang menggerakkan usaha melancarkan tabung derma untuknya.
Ternyata Mat Sabu tidak keseorangan di tengah perjuangan ini. Rakyat bersamanya, menyebabkan ia berdiri dengan penuh yakin
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan