Oleh Raja Bahrin Shah
Seorang ibu tidak berkemampuan di Kuala Lumpur terpaksa mencuri satu paket Milo kerana anaknya
sangat berkeinginan minuman tersebut.Di atas aduan polis oleh pasar
raya berkenaan, ibu itu dipenjarakan dan didenda RM200.
Sebagai seorang ibu atau ayah kita amat bersimpati atas tragedi tersebut walaupun perbuatan itu salah.
Di
Kuala Terengganu pula seorang peniaga kecil, yang juga seorang ayah,
di stesen bas, juga ditahan dan di lokap kerana dikatakan cuba
menghalang pihak berkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menjalankan
tugas.
“Kesalahan” beliau ialah kerana cuba menghalang pihak
berkuasa merampas kain rentang peniaga-peniaga kecil stesen bas yang
membantah arahan pihak berkuasa berpindah dengan notis yang pendek
kerana projek pengubahsuaian berbelas bilion ringgit.
Kedua-dua kes ini ialah contoh tragedi yang menimpa masyarakat kita
yang semakin dihimpit tekanan, kenaikan kos sara hidup yang berterusan.
Cukai barang dan perkhidmatan (GST), kejatuhan ringgit, kenaikan sewa
dan harga barangan serta kejatuhan jualan perniagaan serta peluang
pekerjaan adalah faktor menyebabkan kesengsaraan ini semua.
Kisah ibu mencuri Milo banyak dilaporkan media. Oleh itu, saya memilih
untuk menceritakan kes ayah yang ditahan di lokap kerana cuba membela
nasib beratus peniaga kecil.
Para peniaga di stesen bas
membantah perintah keluar disebabkan keadaan ekonomi penjualan semasa
mereka yang sedang rugi dan bermasalah, tiada tempat peniagaan
alternatif sesuai, kenaikan berlipat kali ganda lesen perniagaan oleh
majlis baru-baru ini, notis yang terlalu singkat dan kenaikan sewa yang
tinggi selepas siap ubah suai.
Ini semua mereka akan alami
semasa dalam suasana ekonomi negara dan dunia yang diramal akan menjadi
bertambah lembap pada 2016 ini.
Di sini saya sebagai wakil
rakyat ahli Parlimen Kuala Terengganu menyoal pihak kerajaan dan pihak
berkuasa, apakah peranan utama mereka menjaga kebajikan dan membela
nasib rakyat terutamanya golongan kurang mampu dan miskin ini?
Peniaga kecil dan kedai runcit banyak rugi diasak oleh pembinaan pasar
raya seperti Mydin, Giant dan sebagainya walaupun garis panduan
kelulusan mereka tidak mengikut panduan bilangan penduduk sebenarnya.
Tahun lepas pula, peniaga pasar malam dan pasar minggu diarah pindah
dari tapak asal biasa mereka dan mengakibatkan penambahan kejatuhan lagi
pendapatan.
Tapak perniagaan mereka sering diubah tanpa penambahan kemudahan asas seperti tandas disediakan.
Tahun lepas juga peniaga dan penjaja bergerak motosikal diasak dan
dirampas barang perniagaan mereka secara agresif sehingga berlaku
insiden seorang peniaga dikasari beberapa pihak penguat kuasa di Pantai
Batu Buruk di mana laporan polis dibuat.
Di mana pembelaan ke
atas peniaga kecil Melayu kita oleh pihak kerajaan dan berkuasa
terutamanya dalam waktu ekonomi yang serba mengancam ini ?
Kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil sikap lebih realistik
mengambil kira kemampuan rakyat sebenarnya. Adakah kebajikan rakyat
diutamakan atau imej kerajaan segala-galanya ?
Kenapa stesen bas perlu diubahsuai dengan harga RM14 juta dan dikatakan naik kosnya kepada RM43 juta ?
Pusat perniagaan bersebelahan stesen bas sehingga hari ini selepas
lebih 10 tahun masih belum dibuka, Pusat Paya Bunga Square masih banyak
kosong dan rumah kedai di Ladang Tok Pelam masih kosong.
Yang pasti untung ialah kontraktor dan yang pasti menanggung kos adalah pembayar cukai rakyat semua.
Pembangunan untuk siapa kalau peniaga tempatan yang banyak merana dan rugi.
Kerajaan perlu berhenti berbelanja sesuka hati mengikut nafsu dan mengerah rakyat untuk membayar dengan pelbagai cukai.
Dua kisah ayah dan ibu yang dipenjarakan dengan “kesalahan” begitu kecil amat menyayat hati.
Mereka bertindak membela anak tanggungan mereka dan punca mata
pencarian mereka bersama rakan peniaga kecil yang tertekan dan
tertindas.
Kontraktor besar dan pemaju terus mengaut keuntungan
lumayan tanpa gangguan. Aduan pelanggaran syarat pembangunan oleh
pemaju tidak ada tindakan yang tegas oleh Majlis Bandaraya Kuala
Terengganu.
Aduan ke atas pemaju Pangsapuri Mewah di Jalan
Sultan Omar yang menyebabkan keretakan rumah-rumah berhampiran dan
kerosakan jalan awam tiada tindakan tegas diambil.
Pembinaan
Ruang Perniagaan dan pasar di atas longkang besar JPS di Cabang Tiga
yang jelas melanggar peraturan pembangunan dan Jabatan Alam Sekitar
tidak ada tindakan diambil baik di peringkat negeri atau persekutuan
selepas saya beberapa kali menimbul isu ini hingga ke Parlimen.
Peraturan dan undang-undang untuk siapa sebenarnya?
Adakah ia hanya sesuai dilaksanakan kepada pencuri paket Milo dan pembela peniaga kecil di stesen bas?
Adakah pemaju besar dan kontraktor kebal daripada segala tindakan kerana status serta kedudukan mereka?
Ini sudah pasti terjawab di mahkamah Allah dan mungkin dijawab pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.
Yang mengambil Milo berharga beberapa ringgit dipenjarakan sementara yang menyeleweng berbilion ringgit tidak pun didakwa!.
Sehingga itu, kita terus menghadapi keadaan seperti "hidup di antara dua darjat" yang diamalkan pihak berkuasa hari ini.
* Penulis adalah ahli Parlimen, Kuala Terengganu.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan