Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak baru sahaja melabuhkan tirai dengan menyaksikan BN kekal mencengkam kekuasaannya, dalam masa yang sama pembangkang gagal menyinar apabila hanya memperoleh hanya 10 kerusi sahaja.
Parti Amanah Negara (Amanah) gagal menyinar dalam pilihan raya tersebut, dengan beberapa alasan dan faktornya tersendiri. Parti yang berusaha 7 bulan ini gagal mendapat tempat di hati pengundi Sarawak, berkemungkinan rakyat bumi kenyalang masih belum mengenali dengan lebih baik disamping beberapa kekurangan yang berlaku dalam kalangan pakatan pembangkang.
Kini tertumpu kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar selepas kedua-dua wakil rakyat kawasan tersebut terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak. Sudah pasti PRK ini lebih panas dan menjadi perhatian seluruh dunia.
Ramai yang berpandangan, keputusan PRN Sarawak tidak ‘menjiwai’ mood sebenar rakyat Malaysia yang sedang mendendam rasa kecewa terhadap kepimpinan negara yang diketuai oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Maka PRK di dua parlimen ini adalah platform untuk menilai survival politik Malaysia.
Rakyat mahu melihat adakah Deklarasi Rakyat dan Gerakan Selamatkan Malaysia yang diketuai oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mempunyai momentumnya tersendiri. Kebobrokan kerajaan ketika ini sangat dirasai oleh seluruh rakyat namun sokongan rakyat khususnya orang Melayu belum lagi teruji.
Di pihak pembangkang kini lebih ‘meriah’ setelah munculnya Amanah seterusnya wujudnya Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat. Pas pula bertindak ego untuk tidak menyertai blok pakatan pembangkang sebaliknya mewujudkan blok ketiga.
Semua ini belum teruji dengan sebenar-benarnya, maka PRK kali ini sangat mencabar dan penting bagi pembangkang mahupun kerajaan untuk menilai prestasi dan penemerimaan rakyat terhadap mereka.
Pakatan Harapan masih berteka-teki adakah akan turut serta mahupun tidak. Jika mengikut perkiraan, Amanah berperanan menggantikan tempat Pas di dalam pakatan maka secara automatik kedua-dua kerusi tersebut sepatutnya ditandingi oleh Amanah. Namun Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyatakan keputusan bertanding atau tidak akan diumumkan 15 Mei ini.
Ramai yang mempersoalkan adakah Amanah wajar untuk bertanding di kerusi ini kerana Pas sudah bertegas untuk meletakkan calon. Kononnya, Amanah akan jadi pengacau kepada Pas untuk menjatuhkan BN. Naib Pengerusi Amanah Perak, Dr Muhaimin Sulam berpandangan, Amanah perlu berkorban di Kuala Kangsar dengan tidak meletakkan calon.
Adakah cadangan ini wajar? Saya menyambut baik cadangan tersebut, namun saya turut berpandangan PRK Kuala Kangsar adalah sangat penting bagi Amanah dalam mempersiapkan kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Amanah dan Pakatan Harapan perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan tiga penjuru pada PRU14 ini jika Pas masih kekalkan pendiriannya untuk tidak bersama dalam pakatan pembangkang.
Pilihan raya ini adalah medan paling sesuai untuk mewajahkan kemungkinan yang akan berlaku pada PRU14 nanti, Amanah dan Pakatan Harapan boleh membuat persediaan awal dengan menjadikan keputusan PRK ini sebagai rujukan. BN pula mahu membuktikan sokongan rakyat terhadap mereka masih kuat walaupun kerajaan dipalit dengan pelbagai skandal. Manakala Pas mahu membuktikan bahawasanya mereka kuat dan tidak terjejas sokongannya biarpun tidak berada dalam pakatan pembangkang.
Tidak salah untuk menjadikan PRK ini sebagai uji kaji memandangkan tempoh PRU14 hanya kira-kira dua tahun sahaja daripada sekarang. Maka, bagi saya penyertaan Amanah dalam PRK ini sangat penting untuk memperkanalkan parti Islam baharu ini dan Pakatan Harapan kepada masyarakat.
Namun Pakatan Harapan perlu tampil dengan lebih berintegriti dan berkeyakinan dalam PRK kali ini. Pimpinan ketiga-tiga parti iaitu KeAdilan, Amanah dan DAP perlu bergerak seiringan untuk menzahirkan kesungguhan serta kesepaduan jitu dalam mendapatkan keyakinan masyarakat.
Ayuh! Suburkan Demokrasi Malaysia! Selamatkan Malaysia!
Muhamad Faeez Azahar adalah Penolong Setiausaha Pemuda AMANAH Negeri Pera
setuju ...elok amanah bertanding ... semenanjung Len Dari Sarawak ..biar 3 penjuru ... xmengacau ... now is the time to test the ground ... pas Kat semenanjung da history ... klo pas menang dlm 2 penjuru pun xde bezanye dgn president yg mcm tu ...
BalasPadam