Home » » Isu pertindihan kerusi: Tiga senario menuju PRU14

Isu pertindihan kerusi: Tiga senario menuju PRU14

Written By Wadah Baru on Rabu, 11 Mei 2016 | 12:54 PTG

Oleh Badan pemikir KPRU
 
Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) 2016 telah menyaksikan sebanyak 26 pertandingan tiga penjuru, 12 pertandingan empat penjuru dan lima pertandingan lima penjuru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Jumlah kerusi melibatkan pertandingan tiga penjuru dan ke atas adalah sebanyak 43, bersamaan dengan 52.44 peratus daripada jumlah kerusi DUN Sarawak sebanyak 82.

Pertandingan tiga penjuru dan ke atas semasa PRN Sarawak adalah sesuatu yang lumrah buat orang Sarawak.

Kerana itu, biarpun pertandingan tiga penjuru dan ke atas melibatkan calon BN Sarawak, calon Bebas, calon PKR dan calon DAP di enam kawasan DUN Sarawak, hangat dipertikaikan oleh orang Semenanjung, namun impak kontroversi tersebut tidak begitu besar buat orang Sarawak.

Bagaimanapun, pertindihan kerusi melibatkan PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mungkin berlaku pada dua pilihan raya kecil di Semenanjung atau pertindihan yang mungkin juga melibatkan PKR dan DAP dalam pilihan raya umum Ke-14 (PRU14), akan menjadi satu isu, khususnya di kalangan pengundi Semenanjung yang mahukan pertandingan satu lawan satu, menjadi realiti.

Bayangkan apa yang akan berlaku apabila tiba PRU14 nanti, wujud pertandingan tiga penjuru, sama ada melibatkan PAS dan AMANAH atau PKR dan DAP? Pasti peratusan mengundi akan jatuh merudum sehingga mempengaruhi keputusan semasa hari pengundian.

Apakah penyelesaian kepada masalah pertindihan kerusi antara parti-parti pembangkang? Terdapat tiga senario:
Senario pertama: Parti-parti pembangkang teruskan dengan cara rundingan sedia ada yang menyaksikan peristiwa seperti pengumuman unilateral mengejutkan parti oposisi yang lain.

Dalam konteks ini, prinsip satu lawan satu mungkin dihormati untuk sebahagian besar kerusi tetapi sebilangan kerusi tertentu akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru.

Meneliti perkembangan politik semasa pasca PRU13 sehinggalah PRN Sarawak 2016, maka kebarangkalian senario pertama berlaku semasa PRU14 adalah yang tertinggi.

Senario kedua: Sistem pilihan raya sedia ada, yakni sistem pengundian 'First-Past-The-Post (FPTP)' hanya memenangkan satu-satunya calon yang memperolehi undian tertinggi, biarpun dengan kelebihan satu undi berbanding dua calon yang lain dalam pertandingan tiga penjuru.

Kecacatan sistem FPTP ini mendorong parti-parti pembangkang untuk bersatu berdepan dengan BN secara satu lawan satu bagi meningkatkan peluang kemenangan.

Dalam konteks ini, peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu signifikan, malah menyerlah selepas pemenjaraan beliau dan seterusnya Pakatan Rakyat berkecai.

Apa yang berlaku kemudian dan sehingga hari ini membangkitkan dua persoalan penting, iaitu sama ada kita ubah sistem FPTP atau kita keluarkan Anwar Ibrahim daripada penjara?

Mengapa? Kerana dua persoalan ini saling berkait, satu daripadanya berkait rapat dengan sistem dan satu lagi berkait rapat dengan aktor.

Dalam sistem yang menyediakan suasana persaingan yang lebih adil, peranan aktor dalam hal ini tidak begitu menonjol kerana sistem memberi ruang yang lebih adil dari segi peratusan kebarangkalian perwakilan kepada semua parti pembangkang.

Tetapi dalam sistem yang cacat, peranan aktor seperti Anwar yang mampu menyatukan semua parti pembangkang utama dan memastikan pertandingan satu lawan satu semasa pilihan raya menjadi penting sekali.

Malangnya Anwar berada di penjara dan kecacatan sistem sedia ada begitu menonjol. Dalam konteks di mana pihak pembangkang tidak mampu mengeluarkan Anwar daripada penjara, maka sistem sedia ada harus diubah.

Jika sistem FPTP dapat diubah dan digantikan dengan sistem pengundian 'Proportional Representation (PR)' di mana kerusi akan diagihkan kepada parti-parti bertanding berdasarkan peratus undian yang diperolehi, seperti yang diamalkan di Indonesia, Rusia, Itali, Belanda dan sebagainya, maka dalam keadaan di mana wujud pertandingan tiga penjuru sepertimana yang berlaku semasa PRN Sarawak 2016, maka PKR dan DAP akan dapat bersaing antara satu sama lain secara lebih adil.

Di bawah sistem pengundian PR – sekiranya tiada mana-mana parti mampu memenangi lebih daripada 50 peratus kerusi, maka parti yang berlainan perlu berunding supaya menubuhkan kerajaan bersatu atau coalition government.

Sekiranya sistem pengundian alternatif (alternative voting atau AV) diamalkan, seperti di Australia, maka para pengundi bolehlah mengundi calon-calon mereka dengan meletakkan kedudukan (ranking) bagi setiap calon.
Misalnya jika PKR dan DAP menandingi kerusi yang sama, penyokong PKR bolehlah memilih calon DAP sebagai “pilihan kedua” dan penyokong DAP bolehlah memilih calon PKR sebagai “pilihan kedua”.

Dengan sistem ini, sekiranya tiada mana-mana calon mendapat undian melebihi 50 peratus, maka calon yang terendah dalam undian akan disingkirkan, dan undiannya akan diagihkan semula kepada calon-calon yang lain mengikut pilihan alternatif pengundinya.

Proses ini mesti diulang selagi belum ada calon mengutip 50 peratus - sistem AV ini sememangnya adalah untuk memastikan bahawa pemenang mampu mewakili suara majoriti kawasannya.

Ataupun sistem yang mencampurkan atau menggabungkan sistem yang berlainan - contohnya campuran antara PR dan FPTP di Jerman dan New Zealand; atau gabungan selari (parallel voting) antara PR dan FPTP seperti di Thailand, Taiwan, dan Korea Selatan - diamalkan supaya setiap parti mampu menggunakan kekuatan masing-masing untuk bersaing supaya meraikan undi dan hanya bekerjasama selepas pilihanraya untuk menubuhkan kerajaan.

Tetapi nampaknya ini tidak akan berlaku selagi BN masih memerintah, kerana sistem FPTP sedia ada jelas menguntungkan mana-mana parti yang mendominasi pemerintahan persekutuan, terutamanya mereka dapat melakukan 'gerrymandering' (melukis sempadan kawasan pilihanraya yang pelik supaya menguntungkan pihak sendiri) dan 'malapportionment' (ketidakseimbangan bilangan pengundi bagi kawasan yang berlainan).

Pertambahan 11 kerusi baru DUN Sarawak dan keputusan kerusi-kerusi ini yang memihak kepada parti pemerintah, merupakan satu lagi bukti bagaimana sistem sedia ada menguntungkan pihak pemerintah.

Senario ketiga: Dalam keadaan di mana sistem FTPT tidak dapat diubah dan Anwar di penjara, bagi mengelakkan senario pertama yang berlaku di Sarawak daripada berulang semasa PRU14, maka rombakan semula gabungan parti-parti pembangkang harus dilakukan di mana tujuannya jelas untuk memastikan pertandingan satu lawan satu secara menyeluruh, menjadi realiti semasa PRU14.

Dalam hal ini, tawaran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali kepada PAS sejurus selepas mengetahui keputusan PRN Sarawak 2016, tepat pada masanya. Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar juga menyatakan pendirian menyeru PAS supaya menyambut pelawaan Azmin dan kembali menyertai satu pakatan pembangkang bersama PKR, DAP dan AMANAH.

PRN Sarawak ini membuktikan bahawa PKR dan DAP telah gagal bersatu menghadapi kecacatan sistem pengundian FPTP. Begitu juga PAS dan AMANAH. Setiap parti politik pembangkang mempunyai kepentingan masing-masing dan mereka saling bersaing.

Dalam konteks kecacatan sistem sedia ada, persaingan sesama mereka akan menjurus kepada pertandingan tiga penjuru yang menghampakan rakyat yang berhasrat mengundi pembangkang dan membawa perubahan.

Justeru, tanpa meneliti tiga senario ini secara mendalam dan mengambil satu tindakan politik yang rasional, maka badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menjangkakan, PRU14 bakal menyaksikan kegagalan teruk pihak pembangkang dalam menuju ke arah perubahan rejim pemerintah.

Nota: Dikeluarkan oleh Ooi Heng, pengarah eksekutif badan pemikir
Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger