Oleh: Shazni Munir Mohd Ithnin
18 Januari 2016 menjadi titik tolak kesungguhan AMANAH melakukan kerja susah dan jarang diteroka orang-orang politik di luar musim bencana. Pembinaan fasa pertama "Rumah Peduli Rakyat" telah dijayakan pada tarikh tersebut secara gotong-royong. Bersaiz sederhana (26x16), rumah untuk fakir miskin kampung ini merupakan langkah nekad Pemuda AMANAH memastikan rakyat khususnya di kawasan-kawasan jauh daripada tumpuan awam, keluar daripada keperitan hidup di pondok-pondok buruk kepada rumah 2 bilik dengan tandas, ruang tamu dan dapur lengkap.
Bermula tanpa sebarang dana awal, pasukan "Rumah Peduli Rakyat" telah naik ke tangga pejabat-pejabat besar, berjumpa dengan segenap warga korporat dan dermawan berpoket tebal bagi meyakinkan mereka bahawa komuniti susah ini perlu dibela dan dibantu. Kerja-kerja ini bukan mudah lantaran pasukan ini bukan kontraktor kroni yang boleh menjanjikan 'persen-persen bawah meja' sebagai imbuhan balas. Modal yang ada hanyalah kertas kerja lengkap dan ya, air liur. Di samping cita-cita besar mahu rumah pertama rakyat ini terealisasi.
Setelah berhempas-pulas beberapa bulan, modal keseluruhan berjumlah RM11,000 untuk pembinaan rumah ini cukup sepenuhnya dan lokasi pertama yang dipilih terletak di daerah Sik - Kg. Baru Seri Dacing. Di sini tinggal sebuah keluarga Melayu dengan kehidupan teramat daif di rumah kecil persis sebuah pondok. Kecil, uzur dan hanya menunggu hari untuk menyembah bumi. Ya, pondok usang yang jauh lebih 'sakit' daripada rumah kongsi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diupah membina projek-projek berskala besar.
Ketika keluarga ini membuka mulut perihal perjuangan hidup mereka, kami benar-benar tergamam dan kehilangan kata-kata. Sedih, geram, dan marah silih berganti. Bercampur-baur. Kehidupan mereka penuh dengan cercaan dan penghinaan orang-orang yang merasakan mereka umpama parasit yang menyusahkan. Dihalau itu biasa bagi mereka. Makhluk-makhluk politik usah dikira. Daripada bermulut manis hingga bermulut longkang, semuanya telah mereka 'hadap'. Dalam hati terdetik, "Allah, mengapa begitu sadis masyarakat ini? Bagaimana manusia-manusia ini sampai hati bermain-main dengan rakyat sesusah ini?"
Televisyen, peti ais, bekalan elektrik dan segala macam keperluan normal dalam kehidupan terasa begitu asing. Usahkan keperluan-keperluan itu, nasi yang mahu disuap ke mulut anak-anak juga bercatu dan ada hari-hari yang tidak bernasi. Lauk-pauk seperti ayam atau ikan boleh dikira sebelah jari dalam setahun. Itu pun bukan ayam atau ikan dalam bentuk yang kita faham. Mungkin lebih tepat disebut lebihan ayam atau ikan yang tidak mahu dibeli ramai orang.
Justeru ada yang berhujah, keluarga ini belum cukup berusaha. Sepatutnya mereka berusaha lebih seperti Tan Sri Mokhtar Bukhari yang berjaya bangkit daripada kemiskinan hingga menjadi billionair! Iyalah, mungkin ada benarnya. Soalnya, masa mana lagi yang boleh mereka manfaatkan untuk 'berusaha' apabila kebun getah yang diambil upah menoreh hanya mampu memberikan pulangan kurang daripada RM5 setiap hari? Segala yang boleh dijual seperti botol plastik, surat khabar dan segala macam sisa-sisa barangan telah pun diusahakan. Bagi yang pernah menjual barangan kitar semula, pasti maklum tawaran harga beli yang amat rendah. Bukan seperti emas dan minyak yang direbut-rebut, tidak juga berharga tinggi seperti bauksit di Kuantan.
Keluarga susah ini dan cerita susah mereka bukan satu-satunya di Malaysia. Air mata dan putus asa terhadap kehidupan bukan suatu fatamorgana yang mampu direka-reka. Malah ratusan ribu lagi rakyat di kampung-kampung yang masih bercatu makanan dan berkorban segalanya demi kelangsungan hidup. AMANAH pasti tidak akan mampu berperanan untuk semua. Cuma setakat yang ada, Pemuda AMANAH berjanji bahawa keluarga di Kg. Baru Seri Dacing ini akan dibantu. Serius dan kami tidak bermain-main dengan janji itu.
Rumah Peduli Rakyat mengajar AMANAH untuk terus belajar dan berjuang membela rakyat di bandar dan luar bandar. Polisi-polisi alternatif yang bersifat 'pelampung penyelamat' negara di Dewan Rakyat, gelandangan bandar yang dibantu saban malam, bantahan kenaikan tol yang membebankan warga bandar, bantuan barangan asas yang diberikan ke rumah-rumah yang tidak berkemampuan setiap hari Jumaat, dialog dan 'JV programme' bersama profesional muda, pembangunan kepimpinan negara di peringkat mahasiswa, ini merupakan rantaian panjang langkah parti yang sedaya upaya mahu rapat di hati mustad'afin.
Doakan AMANAH serius dan konsisten melunas amanah. Usah benarkan kami untuk duduk selesa walau satu hari. Marahi kami ketika kami terlena atau dibuai mimpi. Kami tidak ingin sekadar dilihat parti yang hanya mahu mendominasi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri semata-mata. Lebih jauh, kami mahu diingati sebagai parti kepercayaan rakyat. Dikenang atas bakti membina rakyat dan negara.
*Penulis merupakan Naib Ketua (Politik) Pemuda AMANAH Nasional. Gemar 'berkicau' di laman sosial twitter @shazni_munir
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan