Oleh A Shukur Harun
Seluruh ahli dan penyokong PKR, DAP dan Amanah perlu mengambil perhatian kenyataan Presiden
Parti Amanah Mohamad Sabu, hanya Pakatan Harapan yang akan berdepan
dengan Umno/BN dalam pilihan raya akan datang."Bukan yang lain,"
katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Amanah Negeri
Selangor di Shah Alam, Jumaat lalu.
"Walaupun pakatan
pembangkang ini baru ditubuhkan, Pakatan Harapan terpaksa membuat
persediaan yang cukup dengan memperkukuh organisasi untuk berdepan
dengan Umno/BN,” katanya.
Bagi pendukung Amanah, kata Mat
Sabu mestilah bekerja kuat untuk memperbanyak ahli di semua peringkat
dengan mendekati masyarakat pelbagai kaum dan agama di desa dan di
kota.
"Jangan sehari pun berehat, melainkan bekerja keras
memperkukuh Amanah, yang sudah dianggap umum sebagai parti yang paling
cepat berkembang," katanya.
Memang benar ia berkembang pesat di Kelantan, Johor, Perak, Kedah, Selangor dan negeri lain.
Malam itu, Mat Sabu kelihatan sangat ceria, tidak menggambarkan
keletihannya, walaupun menjelajah dari satu negeri ke satu negeri untuk
menghadiri pelbagai program di seluruh negara.
Beliau
menceritakan bagaimana beliau dan pimpinan Amanah yang lain menghadapi
fitnah berterusan pelbagai pihak, terutama mereka yang meniupkan
perkauman dan anti DAP.
Namun, katanya, pimpinan Amanah dan
pendukungnya terus komited untuk membela rakyat merentasi batas kaum
dan agama. Lebih-lebih lagi kini dalam keadaan negara menghadapi
kemelut ekonomi, ramai rakyat miskin tidak mampu membeli barangan
makanan kerana harganya yang mahal dan duit Malaysia semakin merosot
nilainya.
Majlis pada malam itu turut dihadiri Speaker DUN
Selangor Hannah Yeoh, pemimpin DAP yang lain serta pemimpin PKR.
Penubuhan Amanah peringkat negeri Selangor mempunyai makna tersendiri,
terutama memandangkan Selangor negeri muli-racial yang unik, terkaya di
Malaysia dan politiknya dalam keadaan yang penuh tanda tanya justeru
masih ada yang berkhayal “Pakatan Rakyat” masih hidup. Sedangkan yang
wujud sekarang ialah Pakatan Harapan.
Maka di sinilah Amanah,
khususnya di Selangor pimpinan Izham Hashim dituntut kebijaksanaan dan
ketabahan mereka untuk menghadapi hal ini.
Saya kira, Izham,
Shaari Sungib dan pimpinan Amanah Selangor yang baru dipilih secara
rasmi – dengan pengalaman dan kematangan mereka mengenai politik negeri
Selangor berkemampuan mendepani politik Selangor ini. Rakyat Selangor
sedang memerhatikan pergolakan ini. Maka tentulah mereka akan menilai
kemampuan Pakatan Harapan dalam menghadapi PRU akan datang.
Sementara itu, Izham dalam ucapannya berikrar 10 ahli PBT daripada
Amanah Selangor akan bekerja keras untuk membela rakyat semua kaum.
"Petugas Amanah, di mana-mana pun, sangat peduli rakyat, maka
kebajikan rakyat agenda utama. Tidak sehari pun pendukung Amanah
melupakan rakyat," katanya.
Sementara itu dalam suasana yang
sangat menekan di mana elemen perkauman sentiasa ditiupkan golongan
tertentu untuk kepentingan politik mereka, maka saya kira Amanah perlu
melipatgandakan usahanya untuk memberi penerangan kepada semua rakyat,
khususnya di luar bandar, di mana elemen perkauman dilihat menjadi
tempat subur untuk ia berkembang.
Dalam masa yang sama,
sesetengah golongan generasi lama sendiri – walaupun ada yang menetap
di bandar masih ada terpengaruh dengan fahaman perkauman ini.
Program penerangan yang intensif daripada Amanah bersama komponen
Pakatan Harapan yang lain perlu dilaksanakan segera secara intensif
untuk tujuan memberi kefahaman perjuangan Amanah dan Pakatan Harapan.
Perlu diingat jika semakin berkurangan fahaman perkauman, maka semakin
tipis peluang Umno/BN untuk menang dalam PRU akan datang. Maka itu
diulangi – DAP, PKR dan Amanah yang duduk dalam Pakatan Harapan mesti
melakukan usaha bersama, combine effort untuk menentang perkauman.
Jika kita meneliti demografi pengundi dalam PRU lalu, terutama di
Selangor, maka jelas semua kawasan berdepan dengan pengundian
berdasarkan kaum. Inilah cabaran besar yang dihadapi Pakatan Harapan.
Oleh Abd Shukur Harun
Usaha memberi penerangan ini tentu tidak mudah, namun mestilah
dilakukan kerana ia survival
Pakatan Harapan itu sendiri. Amanah
Selangor, saya kira, sangat sedar hal ini. Kawasan Selangor sendiri,
walaupun majoritinya terletak di bandar atau semi bandar, namun kawasan
luar bandarnya seperti di utara dan selatan Selangor – kebanyakan
pengundinya masih dalam pemikiran konvensional dan mudah terpengaruh
dengan gejala perkauman.
Selepas perasmian Amanah Selangor ini,
maka usaha menggerakkannya di peringkat kawasan Parlimen dan cawangan
perlu digiatkan secara sungguh-sungguh. Khabarnya, Amanah peringkat
kawasan Parlimen sudah pun ditubuhkan, cuma menunggu dirasmikan
pendaftarannya.
Dengan itu dalam PRU akan datang, rakyat akan
melihat peranan Amanah dalam Pakatan Harapan, bagaimana ia memberi
sumbangan kepada pakatan baharu pembangkang itu untuk menghadapi
Umno/BN.
Setakat ini jangan terlalu sibuk memikirkan
pertandingan 2 atau 3penjuru, biarkanlah nanti pimpinan Pakatan Harapan
akan memutuskannya.
Cuma kita berharap, segala diputuskan
Pakatan Harapan yang akan ditentukan akhirnya Majlis Presiden
benar-benar dipatuhi semua pihak, tidak ada lagi tindakan bersendirian
mana-mana pihak. Pengalaman Pakatan Rakyat dulu sangat wajar menjadi
pengajaran supaya tidak lagi menemui kegagalan.
Tahniah kepada
Amanah Selangor atas perasmiannya. Di depan mereka terbentang
perjalanan jauh, penuh cabaran dan inilah manisnya perjuangan. Rakyat
sedang merindukan suatu suasana harmoni, tanpa perkauman, tegaknya
keadilan dan terbelanya rakyat
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan