Oleh Kanun
Beberapa hari lepas, sekelompok ahli dan penyokong Pas yang diketuai
oleh Ketua Pemuda Pas Malaysia sendiri iaitu Al-Ustaz Muhammad Khalil
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Al-Ustaz
Ahmad Fadhli Shaari telah mencetuskan aksi samseng dan provokasi dalam
usaha mereka untuk memacak bendera Pas di perkarangan bangunan Wisma Tok
Guru di Salor yang menjadi ibu pejabat Parti Amanah Negara, (AMANAH)
Negeri Kelantan.
Peristiwa itu telah mencetuskan ketegangan sehingga hampir
mencetuskan pergaduhan. Kini dikhabarkan pula bahawa pimpinan PAS
Kelantan akan mengadakan majlis solat hajat di perkarangan Wisma Tok
Guru yang menjadi pertikaian itu. Nampaknya, Pas semakin bermain dengan
nilai agama dalam percubaan untuk mengambil alih bangunan itu dan
mengabaikan proses perundangan.
Peristiwa itu berlaku rentetan apa yang didakwa oleh Pas bahawa
mereka kini adalah pemilik tanah tersebut yang telah membelinya daripada
balu Allahyarham Datuk Rosli, bekas Adun Salor.
Namun, bagi AMANAH Allahyarham DatukRosli adalah pemilik sebenar
tanah tersebut dan hanya meletakkan nama balunya di dalam geran tanah.
Namun, taktik licik pihak Pas yang dikatakan islamik itu telah memujuk
balu Allahyarham untuk menjualnya kepada salah seorang ahli Pas. Ahli
Pas itu dikatakan sebagai proksi kepada PAS itu sendiri. Selanjutnya,
pemilik baharu itu telah mengeluarkan notis pengosongan supaya premis
yang didirikan di atas tanah itu dikosongkan dalam tempoh 30 hari.
Isunya adalah perlukah AMANAH Negeri Kelantan mengosongkan premis itu
selepas tempoh notis itu tamat. Dalam hal ini perlulah dilihat sejauh
mana AMANAH Kelantan telah bergantung kepada galakan (encouragement)
yang diberikan oleh Allahyarham Datuk Rosli.
Antara prinsip undang-undang yang boleh digunakan adalah doktrin atau
prinsip ekuiti. Prinsip ekuiti ini berasal daripada undang-undang
Inggeris. Prinsip ekuiti adalah dibuat berdasarkan prinsip keadilan.
Dalam sesetengah keadaan, pemakaian common law adalah terlalu keras
sehingga tidak menampakkan keadilan menyebabkan Mahkamah akan
menggunakan budi bicaranya bagi menegakkan keadilan. Budi bicara itulah
yang menjadi intipati dalam prinsip ekuiti. Antara contoh prinsip ekuiti
yang sering digunakan adalah kuasa Mahkamah untuk membenarkan injunksi
atau perintah tegahan. Pada asalnya common law tidak mengiktiraf
pemakaian injunksi.
Namun, oleh kerana jika tiada injunksi boleh menyebabkan seseorang
litigan itu akan kehilangan haknya meskipun telah memenangi sesuatu kes
maka mahkamah mula membenarkan permohonan injunksi.
Ini kerana pihak yang bertikai itu mungkin akan melupuskan harta itu
dan di akhir perbicaraan kelak harta yang dipertikaikan itu telah
dilupuskan sepenuhnya. Maka, dalam hal ini adalah mustahak bagi mahkamah
untuk membenarkan suatu perintah injunksi yang bertujuan untuk
mengekalkan status quo hartanah itu sehingga ianya diputuskan oleh
Mahkamah.
Ini bermakna harta itu tidak boleh dijual beli sehingga kes berakhir
dan Mahkamah telah pun mengeluarkan suatu perintah yang muktamad.
Dalam suatu pertikaian berkaitan hartanah, antara prinsip ekuiti yang
sering digunakan adalah prinsip ‘equitable estoppel’ dan
‘tenancy/licencee coupled with estoppel’. Apakah yang dimaksudkan dengan
‘equitable estoppel’? Mungkin ramai yang tidak mengetahui mengenai
pemakaian prinsip ini.
Malah, ramai juga pelajar undang-undang terkeliru
dengan konsep ini khasnya apabila ianya dipakai dalam undang-undang
tanah sedangkan undang-undang tanah di Malaysia ini menggunakan sistem
Torrens.
Mengikut sistem Torrens, pendaftaran adalah segala-galanya. Maknanya,
apabila seseorang itu didaftarkan sebagai pemilik tanah maka
undang-undang menganggap bahawa dia adalah pemiliknya sehinggalah
pendaftaran namanya dibatalkan. Namun, prinsip ekuiti ini di dalam
sesetengah keadaan akan mengatasi kesulitan yang ditimbulkan dalam
sistem Torrens ini.
Dalam kes Bongsor Bina Sdn Bhd lwn Malaysian Building Society Berhad,
Rayuan Sivil No. W-02-1229-06/2012 ada menjelaskan secara terperinci
berkaitan maksud ‘estoppel’ ini. Antara lain, Mahkamah Rayuan merujuk
kepada buku, Spencer Bower and Turner: Law Relating to Estoppel by
Representation 3rd ed (1977), para 15 yang menyatakan bahawa doktrin
estoppel ini bermaksud apabila seseorang itu telah membuat suatu
representasi kepada seorang yang lain sama ada dalam bentuk perkataan,
perbuatan atau perlakuan, atau diam atau tidak berbuat apa-apa dengan
niat (sama ada benar-benar berniat atau dibuat andaian) dan telah
menyebabkan orang itu telah percaya terhadap representasi itu maka orang
yang membuat representasi itu tidak boleh lagi kembali kepada keadaan
sebelum representasi itu dibuat.
Dalam kes Boustead Trading Sdn. Bhd. v Arabian Malaysian Merchant
Bank Bhd. [1995] 3 MLJ 331, Mahkamah Persekutuan telah menerima bahawa
doktrin estopel ini sangat luas pemakaiannya dan hendaklah dirujuk bagi
mencapai keadilan.
Justeru, dalam kes isu Wisma Tok Guru ini, nyata sekali bahawa
doktrin estopel ini akan terpakai jika AMANAH dapat membuktikan bahawa
wujud galakan yang dibuat oleh pemilik tanah untuk AMANAH menggunakan
Wisma Tok Guru ini sebagai tempat aktiviti parti.
Oleh itu, mana-mana pembeli tanah itu sepatutnya tahu bahawa wujud
estopel di atas tanah itu dan seharusnya memasukkan klausa berkaitan
penyerahan milikan kosong di dalam perjanjian jual beli. Pembeli tidak
sepatutnya menggunakan kekerasan terhadap mana-mana pihak yang menghuni
tanah tersebut apatah lagi wujud ‘estopel’ yang nyata.
Jika pembeli meneruskan dengan tindakan kekerasan ke atas penghuni
Wisma Tok Guru, penghuni Wisma Tok Guru boleh mengambil tindakan
undang-undang pencerobohan ke atas sesiapa yang menceroboh masuk.
Dalam hal ini, sepatutnya Pas menghormati proses perundangan
berkaitan hartanah ini baharulah Pas boleh dianggap sejahtera dan
matang. Semua pihak haruslah bersabar dan menunggu proses mahkamah itu
berakhir. Tindakan membuat provokasi melampau ke atas tanah tersebut
menyerlahkan sikap sesetengah pihak sama ada mereka benar-benar matang
dan sejahtera untuk memerintah sesebuah negeri
Pemakaian prinsip ekuiti dalam kes Wisma Tok Guru
Written By Wadah Baru on Khamis, 2 November 2017 | 1:33 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
suruh nasarudin daud buat ceramah tajuk 'husam curi wisma tok guru'
BalasPadambegitulah dangkalnya parti agama dlm memahami reality kehidupan semasa.
seolah2nya mereka rasa boleh baiki kereta sendiri dengan hanya menghafal beberapa potong ayat Quran dan Hadis..sudah cukup mencakupi semua bidang kehidupan. ini fahaman sempit pas sekarang ini.
pas undur ke belakang setelah ketiadaan TGNA... oleh tgn2 pemimpin mereka sendiri masakini.
what to do... pemimpin mereka dh dapat syurga dunia.
Ambo pom nk gi dgr kalu sudin buat ceramah tajuk husam curi wisma tok guru.....
BalasPadam