Home » » Apa taktik PAS kekang ahlinya sertai Amanah?

Apa taktik PAS kekang ahlinya sertai Amanah?

Written By Wadah Baru on Sabtu, 4 November 2017 | 11:29 PG

Oleh

KENDURI Abdul Razak Ibrahim di Kampung Pengadang Baru, Marang, Terengganu pada hujung minggu lalu meriah sebagaimana kenduri kahwin yang lain, namun yang kurangnya ialah tidak ada pemimpin PAS yang hadir walaupun mereka dijemput.

Bukan setakat pemimpin kecil di peringkat cawangan dan kawasan, pemimpin peringkat negeri yang selama ini amat rapat dengan beliau pun tidak hadir.

Padahal Abdul Razak sangat rapat dengan mereka selama ini. Bahkan beliau adalah salah seorang ahli jawatankuasa masjid yang dikuasai oleh PAS di Terengganu dan terlibat dengan banyak projek pembangunan masjid itu kerana beliau juga seorang jurutera awam bertauliah.

"Akhirnya, setelah berbincang dengan saudara mara dan rakan-rakan barulah saya perasan, rupanya majlis kenduri saya itu diboikot oleh PAS kerana saya menyokong Amanah," kata Abdul Razak
Ini bukan sahaja berlaku di Terengganu, negeri kubu PAS, bahkan juga di kebanyakan tempat terutama di kawasan-kawasan yang kuat PAS hatta di Selangor.

Mereka yang didapati menyertai atau menyokong Amanah, parti pecahan dari PAS, akan diboikot.
Kenduri mereka tidak disertai bahkan mereka tidak akan ditegur sapa dan mungkin akan dipulaukan. Bahkan ahli yang lari menyertai Amanah ini dilabel pengkhianat.

Bagi Abdul Razak, beliau tidak kesah dengan apa yang dihadapinya tetapi sedih dengan masa depan parti itu.

"Bagi saya ia bertentangan dengan konsep dakwah yang turut menjadi salah satu tujuan PAS ditubuhkan, bahkan ia memberikan contoh yang tidak baik kepada masyarakat.

"Dengan cara ini PAS mungkin berjaya dalam jangka pendek, mengawal dan menakut-nakutkan ahlinya daripada menyertai Amanah tetapi untuk jangka panjang ia sangat negatif kepada parti itu," kata Abdul Razak yang tidak menyesal meninggalkan PAS.

Kafir mengkafir

Bagi pengkaji politik, fenomena ini mengulangi apa yang berlaku pada tahun 1980-an ketika PAS mula bangkit selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum 1978.

Ketika Presiden PAS Abdul Hadi Awang mula naik dahulu, isu kafir mengkafir berlaku dan lahirnya juga “Amanat Haji Hadi” hasil ucapannya di Kampung Banggol Peradong pada 1981.

"Fenomena ini biasa di Terengganu. Ia mempunyai sejarah yang panjang sejak 1980-an lagi apabila bermulanya isu kafir mengkafir.
Dr Mazlan Ali, pensyarah kanan di Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia berpendapat yang Amanah tidak perlu risau dengan ahlinya yang sedikit kerana banyak kes parti boleh sahaja menang walaupun keanggotaan partinya sedikit seperti DAP Cheras. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 November, 2017.
"Ketika itu ahli Umno akan menjadi sasaran tetapi sekarang Amanah pula," kata Dr Mazlan Ali, pensyarah kanan di Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Ekoran tindakan kawalan yang dibuat oleh PAS, sehingga kini Amanah hanya mampu mendaftarkan kira-kira 80,000 ahli sahaja selepas dua tahun penubuhannya.
Ia tersasar dari apa yang dijangka oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang mahukan mendaftarkan 100,000 ahli Amanah menjelang tamat tahun 2016 lalu.
Ramai penyokong Amanah dikatakan kekal dalam PAS dan tidak berani keluar dari parti itu kerana bimbang menghadapi apa yang dialami oleh Abdul Razak.
Mereka inilah yang dilabelkan sebagai “harum manis”, hijau (warna PAS) di luar tetapi oren (warna Amanah) di dalam.

Sekurang-kurangnya tiga wakil rakyat PAS dilabelkan sebegini termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Di Kedah, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dan ADUN Kubang Rotan, Nasir Mustapha kekal dalam PAS walaupun sentiasa bersama di atas pentas Amanah dan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Bahrin Shah menjangkakan 30% penyokong Amanah kekal dalam PAS dan hanya 10 hingga 15% sahaja yang menyertai Amanah.

Sebagaimana Raja Bahrin, Abdul Razak menjangkakan hanya 10% ahli PAS di Terengganu yang menyertai Amanah manakala ramai penyokongnya akan kekal dalam parti itu dan mendiamkan diri.
Namun beliau yakin, pada hari pilihan raya nanti kesemua mereka akan memilih Amanah atau mana-mana parti dalam Pakatan Harapan, dan bukannya PAS.

"Kawan sekolah saya dulu turut datang ke majlis kenduri saya. Saya kenal dia sebagai penyokong Amanah tetapi dia tidak berani bercakap secara terbuka tentang PAS dan Amanah," katanya.

Dr Mazlan berpendapat, bilangan ahli Amanah yang tidak sampai 100,000 orang tidak perlu merisaukan parti itu kerana ia bukan satu-satunya faktor untuk menang pilihan raya.

"Tak perlu risau bilangan ahli ini. Politik zaman sekarang politik flat (mendatar), bukan politik dalam kotak.

"DAP di Cheras hanya ada beberapa ratus ahli sahaja, tetapi setiap kali pilihan raya parti itu akan menang puluhan ribu. MCA yang ada cawangan di setiap taman perumahan gulung tikar selalu," kata penganalisis politik itu.

DAP, dalam empat pilihan raya umum yang terakhir, menokok majoritinya dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya di kerusi Parlimen Cheras. Calonnya, Tan Kok Wai mengekalkan kerusi itu sejak lima penggal lepas, sejak 1995.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger