PERANG diayah oleh Umno dan kerajaan terhadap “Deklarasi Rakyat”, pendukung dan [Tandatangani Deklarasi Rakyat di sini]
penyokongnya dijangka menjadi lebih sengit.
Saya tidak menyalahkan mereka. Malah saya faham keterdesakan mereka.
Implikasi deklarasi itu ke atas psikologi rakyat jelata semakin positif
dan bertambah negatif terhadap Umno dan kerajaan.
Kita boleh membahagikan saluran perang saraf Umno dan kerajaan ini kepada beberapa kategori orang dan pihak.
Antara mereka adalah:
1. Penjawat awam. Mereka yang tugas asasinya mempertahankan kerajaan.
Mereka ini akan mempertahankan kerajaan dan, sekali gus Perdana Menteri
(Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib
Abdul Razak, kerana tugas. Setuju atau tidak mereka terpaksa akur.
2. Kelompok politik, iaitu mereka yang naik atau kekal dalam jawatan kerana Mohd Najib.
3. Golongan perniagaan yang mendapat projek kerana rapat dengan Perdana
Menteri dan usahawan bona fide yang mendapat kontrak rasmi daripada
kerajaan.
4. Media massa arus perdana yang dimiliki kerajaan, parti-parti BN dan
individu yang mendapat habuan (rasmi dan tidak rasmi) daripada Mohd
Najib.
5. Laskar siber upahan Umno, BN dan individu yang mendapat habuan (rasmi dan tidak rasmi) daripada Mohd Najib.
Ada kalangan penerima dedak yang secara terbuka mengaku mereka menerima
wang tunai hingga berjuta-juta ringgit daripada Mohd Najib dalam usaha
mereka memberi kredibiliti kepada dakwaan bahawa “derma” RM2.6 bilion
dalam akaun peribadi beliau adalah untuk kegunaan parti.
Tidak Ada Pilihan
Mereka mengutuk dan memesongkan fakta mengenai “Deklarasi Rakyat”
kerana itu tugas dan kewajipan mereka. Saya tahu ada kalangan mereka
yang faham dan bersimpati dengan ikrar itu tetapi tangan mereka diikat
dan mulut mereka disumbat.
Tetapi ada juga yang memang tidak faham. Otak mereka mendidih dan
hampir meledak melihat musuh lama seperti Dr Mahathir dan Lim Kit Siang
duduk bersama. Otak mereka tidak boleh menerima apa yang mereka lihat
itu.
Misalnya, seorang wartawan kanan menulis dalam Utusan Malaysia pada 10
Mac mengatakan deklarasi itu “tidak dapat diterima akal”.
Dalam mukadimahnya, wartawan itu berkata: “BIAR dilihat dari sudut mana
sekalipun, kempen dikenali sebagai ‘Deklarasi Rakyat’, atau lebih tepat
jika disebut ‘Deklarasi Mahathir’, pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak
daripada jawatan Perdana Menteri, tidak dapat diterima akal.”
Saya hantar pesanan ringkas (SMS) berikut kepada beliau: “Baca tulisan
Tok. Setuju. Memang tak masuk akal bagi sesetengah orang. Ia langkah
luar biasa dan revolusioner. Ia hanya masuk akal bagi orang (yang) anjal
dan dalam pemikirannya.”
Pemikiran mereka terlalu sempit dan partisan sehingga apa saja di luar
daripada norma harian dan melepasi garis politik parti adalah tidak
dapat diterima akal. Ini adalah kerana akal mereka tertutup dan
dipagari kuat oleh ideologi politik serta pertimbangan peribadi.
Saya tidak harian dengan hujah jalanan watak-watak seperti Jamal Mohd
Yunos, Ahmad Maslan, Abdul Rahman Dahlan, Annuar Musa, Salleh Said,
Tengku (dulunya Teuku) Adnan Mansor dan “The Boss” Mohamed Nazri Abdul
Aziz.
Tapi apabila seorang yang dianggap cendekiawan seperti Rais Yatim juga
turut mengeluarkan hujah yang lebih kurang serupa, saya hairan,
lebih-lebih lagi apabila beliau memberikan gambaran yang bertentangan
apabila berjumpa saya.
Rais adalah antara pemimpin Umno yang tidak kembali menyertai Umno
selepas krisis 1987/88 sebaliknya menyertai parti serpihan Semangat 46.
Bukan itu sahaja. Beliau bersumpah bakar jambatan (burning the bridge).
Tetapi apabila S46 dibubarkan dan Dr Mahathir mencampakkan pelampung
keselamatan, Rais menerimanya dan dilantik semula menjadi menteri.
Saya pernah bertanya Dr Mahathir ketika beliau masih Perdana Menteri
mengapa beliau membawa balik ke dalam Kabinet orang yang menentang
beliau seperti (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan Rais.
Beliau menjawab: “Saya tidak bawa mereka balik. Umno yang mahukan
mereka. Sebagai Presiden Umno, saya kena hormat kehendak parti.”
Bagi Dr Mahathir, kehendak parti lebih penting daripada perasaan Presiden.
Sekarang Dr Mahathir tidak ada kuasa lagi dan yang menjadi talian hayat
kepada orang macam Rais ialah Mohd Najib. Mungkin Rais tidak ada agenda
lain selain pangkat dan kedudukan dan boleh jadi juga ketika beliau
“membakar jambatan”, beliau lupa bahawa jambatan yang dibakarnya tidak
dimakan api.
Padah Jenayah
Saya tahu yang mereka tahu, iaitu jika Mohd Najib jatuh ramai daripada mereka akan hilang kerja atau silap-silap masuk penjara.
Justeru itu, mereka akan berusaha bermati-matian mengekalkan beliau
kerana padah kehilangan beliau dan kekalahan Barisan Nasional adalah
amat menggerunkan.
Hatta jika BN terus berkuasa sekali pun, sesiapa saja yang menggantikan
Mohd Najib tidak boleh dan, saya yakin tidak akan mengulangi perbuatan
beliau.
Masalahnya, tidak ramai pemimpin Umno/BN yang boleh diharapkan untuk
keluar daripada acuan yang Mohd Najib tinggalkan. Mereka terlibat
bersubahat dan bersekongkol dengan beliau.
Jawapan jangka panjang kepada kemelut Malaysia terletak di tangan
pengundi. Itu pun kalau sistem dan amalan pilihan raya diubah untuk
menjadikannya lebih bebas, adil dan telus.
Tetapi yang bersalah bersekongkol dan bersubahat dengan Mohd Najib akan menanggung padahnya.
Mereka ini termasuklah anggota Kabinet, ahli Majlis Tertinggi Umno,
ketua-ketua bahagian Umno dan kakitangan awam pangkat tinggi macam
Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Gabenor
Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan
dan ahli lembaga pengarah eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
dan Tabung Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang terlibat dengan
1MDB, “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib dan kebocoran
RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Secara perseorangan atau berkumpulan mereka akan disiasat dan jika ada
bukti akan dituduh di mahkamah. Yang akan menerima padah paling buruk
adalah kakitangan awam dan eksekutif GLC dan (GLIC).
Seperti pernah saya katakan, apabila ahli politik berbohong ia adalah
tipu helah tetapi apabila kakitangan awam berbohong ia adalah jenayah.
Mereka menuduh Dr Mahathir gila kuasa, nyanyuk, mahu kembali menjadi
Perdana Menteri semula, lebih teruk daripada Mohd Najib dan pelbagai
lagi.
Dua perkara telah berlaku kepada operasi perang siber mereka.
Pertama, mereka dibelasah teruk oleh pembahas yang tidak setuju dengan Mohd Najib dan mahukan beliau berhenti.
Kedua, laskar siber ini berperang sesama sendiri kerana mendakwa mereka lebih setia dan berjasa kepada Mohd Najib.
Maki hamun sesama mereka sama teruknya dengan maki hamun mereka terhadap Dr Mahathir dan peserta “Deklarasi Rakyat”.
Dengan kegagalan mereka mengatur dan menguasai agenda perang siber,
kemungkinan kerajaan mengenakan sekatan yang lebih luas ke atas media
bebas atas talian tidak boleh diketepikan.
Mereka juga mungkin menggunakan kaedah teknologi seperti mengurangkan
kelajuan Internet dan tidak memperbaiki kerosakan talian dengan pantas.
Di kawasan luar bandar ada laporan mengatakan ia mengambil masa hingga
seminggu antara tempoh waktu membuat aduan dan pemulihan talian.
Wallahuaklam.
http://kadirjasin.blogspot.my/
0 ulasan:
Catat Ulasan