Home » , » Tangguh RUU 355 muslihat Najib

Tangguh RUU 355 muslihat Najib

Written By Wadah Baru on Selasa, 11 April 2017 | 4:19 PTG

Penangguhan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 berkait rapat dengan muslihat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mahu kekal berkuasa, tegas Rafizi Ramli (PKR-Pandan).

Menurutnya, Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai kuasa untuk membenarkan sebarang usul atau akta serta dibincang, dibahas dan diluluskan.

"Seperti yang selalu saya sebut, saya bimbang dengan muslihat Pekan. Ini soal keikhlasan dan muslihat Yang Amat Berhormat Pekan kerana kita semua tahu dia mahu kekal berkuasa dalam keadaan dia adalah Perdana Menteri yang paling tidak popular dalam sejarah negara kita.

"Muslihatnya mengumpan RUU 355 supaya teralih pandangan kita daripada skandal. Muslihat Pekan itu semakin kelihatan kerana kuasa itu ada pada Pekan," ujarnya pada Sidang Parlimen Rakyat Edisi Khas Pakatan Harapan malam tadi.

Turut disiar secara langsung melalui Facebook Invoke mulai pukul 8.30 malam, Naib Presiden PKR itu berkata, Najib juga sejak dahulu lagi berpeluang untuk melakukan pindaan Akta 355.

"Perkara-perkara menaik taraf Mahkamah Syariah ditolak ke tepi sedangkan ini di bawah bidang kuasa Pekan. Malah sebenarnya kalau Yang Berhormat Pekan betul-betul mahu berkehendakkan kepada memperkasakan syariah, ia boleh bawa 10 tahun lepas.

"Dua tahun lepas dia boleh bawa (usul). Tidak perlu ada satu RUU yang terpaksa melalui lengkung jauh kemudian menarik rakyat dua tahun berturut-turut tapi sekarang lulusnya tidak, bahasnya pun tidak," tegas Rafizi lagi pada sidang Parlimen Khas yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pakatan Harapan berbilang kaum itu.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan alasan mempunyai kuasa penuh bertindak menangguhkan sesi perbahasan usul persendirian Abdul Hadi pada pukul 4 petang, 6 April lalu.

Walhal, Abdul Hadi telah menangguhkan pembentangan usul berkenaan sebanyak dua kali pada sidang Dewan Rakyat sepanjang 2016.

Kali pertama pada 26 Mei iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diikuti 24 November 2016.

Tindakan Umno dan Pas menangguhkan pindaan Akta 355 sekaligus menyebabkan polemik RUU tersebut dibiarkan berlarutan pada ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin hampir.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger