Home » , » Nik Aziz, ulama unik keluarkan PAS dari tempurung

Nik Aziz, ulama unik keluarkan PAS dari tempurung

Written By Wadah Baru on Selasa, 11 April 2017 | 4:53 PTG

Oleh Liew Chin Tong
 
Sebagai anak muda yang menjadi petugas DAP pada 2000, saya pernah membawa 2 rombongan pengundi bukan Melayu dari kawasan Seputeh melawat Kelantan dan Terengganu yang ketika itu di bawah pentadbiran PAS. Kami gembira kerana Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sudi menerima kehadiran kami. Sudah tentu keadaan politik pada masa itu amat berbeza daripada sekarang.

Pada pilihan raya umum 1999, DAP kalah teruk sehinggakan Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas kerusi Parlimen yang mereka tandingi di Pulau Pinang. Sebaliknya PAS menang besar di 27 kerusi Parlimen, serta mendapat majoriti besar di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu.

Apabila saya sekali lagi ke Kelantan, ia merupakan tugas saya sebagai seorang akademik. Saya bersama Wong Chin Huat mewawancara Tok Guru pada 2005. Temuramah itu disusun oleh Hu Pang Chaw.
Bagi saya yang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan bandar, walaupun bukan daripada keluarga kaya, apabila saya menziarahi rumah Tok Guru yang amat sederhana di Pulau Melaka yang di sebelahnya ada sebuah masjid dan sekolah agama, ia adalah satu pelajaran baru untuk saya.

Tok Guru tidak tinggal di kediaman rasmi JKR 10 di Kota Bharu, sebaliknya memilih untuk menetap bersama masyarakat setempat di mana beliau merupakan tokoh utamanya.

Untuk wawancara itu, sebenarnya saya dan Chin Huat terlebih dahulu tiba di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada waktu pagi setelah lebih 10 jam menaiki keretapi dari Kuala Lumpur.

Oleh kerana Tok Guru sibuk pagi itu, kami berjumpa di Pulau Melaka selepas tengah hari.
Apa yang menarik perhatian kami adalah kata-kata seorang kakitangan di Pejabat Menteri Besar.

Menurutnya, pada Selasa itu, exco sedang mengadakan mesyuarat “pre-council” sebagai persediaan untuk mesyuarat rasmi exco pada Rabu esoknya. Oleh kerana wakil lantikan istana (Setiausaha Kerajaan Negeri dan Bendahari Negeri) dan kerajaan pusat (Penasihat Undang-Undang Negeri) turut menjadi ahli rasmi mesyuarat exco, maka exco PAS perlu mengadakan “pre-council” terlebih dahulu sebelum mesyuarat rasmi. Ini kebijaksanaan Tok Guru dalam keadaan yang bukan mudah.

Ulama yang unik

Hari ini PAS merupakan rakan de facto Umno. Oleh itu, adalah penting untuk kita tidak melupakan bagaimana Kerajaan Nik Aziz berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan daripada kerajaan pusat dan istana. Dalam keadaan sedemikian, kerajaan Kelantan bersatu hati dan berjaya mengatasi pelbagai tekanan selama lebih 2 dekad.

Apa rahsia kejayaan ini? Sumbangan besarnya datang daripada rasa hormat rakyat Kelantan terhadap kepimpinan moral Nik Aziz di samping pragmatisme dan kemampuannya menangani keadaan yang sukar.

Sememangnya Nik Aziz adalah seorang ulama yang unik.

Sewaktu zaman mudanya sekitar dekad 1950-an, Allahyarham menuntut di Darul Uloom Deoband di Uttar Pradesh, India, dan di Al-Azhar, Mesir. Selain belajar bahasa Arab, beliau juga fasih berbahasa Urdu. Di Mesir, beliau adalah antara kalangan pemimpin muda di sana, dan yang turut dikenalinya adalah Anwar Sadat yang kemudiannya menjadi presiden Mesir.

Walaupun Nik Aziz seorang Islamis, beliau banyak membaca buku tentang pelbagai mazhab dalam Islam, nasionalisme, liberalisme dan Marxisme, demi untuk “mengetahui apa orang lain kata tentang dunia ini”. Apatah lagi apabila nasionalisme sangat popular di dunia Arab dan Mesir sekitar dekad 1950-an.

Satu lagi perkara penting tentang dekad 1950-an dan 1960-an adalah, selain Pakistan, hampir tiada parti Islamis yang memegang kuasa pada masa itu.

Ikhwanul Muslimin ditindas teruk di Mesir pada waktu itu. Pemimpinnya Sayyid Qutb digantung mati pada 1966. Hanya PAS mencatatkan rekod di kalangan Islamis apabila menjadi kerajaan negeri pada 1959.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah: Nik Aziz sudah pun melihat dan memahami dunia sebelum kembali ke Kelantan untuk menjadi guru agama.

Legasi

Dalam banyak hal, Tok Guru memainkan peranan besar dalam sejarah PAS dan Malaysia, walaupun bukan sebagai peneraju utama. Namun apabila sejarah memanggilnya, beliau bingkas bangun untuk menjadi pembimbing jalan yang tepat, dan pelindung generasi progresif.

Pendekatan berhemah Tok Guru membawa kepada kejayaan PAS memenangi kembali Kelantan pada 1990, selepas kalah teruk pada PRU 1986 kerana kempen yang berteraskan radikalisme agama.

Kerana terlampau yakin pada 1986, ia meletakkan 90 calon Parlimen – yang paling besar dalam sejarah PAS – tetapi hanya menang satu kerusi di Pengkalan Chepa, iaitu kerusi yang dipegang oleh Nik Aziz sejak 1967 tetapi diserahkan kepada Nik Abdullah Arshad untuk PRU 1986.

Tok Guru kemudian memilih untuk bekerjasama dengan bekas musuh politiknya Tengku Razaleigh Hamzah dan Semangat 46 bagi menghadapi PRU 1990. Di peringkat nasional, PAS menjadi rakan junior tetapi di Kelantan, ia adalah rakan senior.

Strategi PAS berjaya. Semangat 46 gagal membuat kejutan di peringkat nasional tetapi PAS kembali berkuasa di Kelantan.

Di tampuk kuasa, Nik Aziz mendidik generasi pemimpin progresif. Kerusi Parlimen di Kelantan dibuka kepada pemimpin kebangsaan PAS yang bukan anak negeri. Di samping itu, teknokrat dan warga kota yang selama ini menjauhi parti telah tertarik dengan gaya Tok Guru yang jujur dan amanah; di saat politik wang mula menjalar dalam Umno.

Slogan PAS “Membangun Bersama Islam” sesuai dengan pendekatan Nik Aziz terhadap Islam dan pemerintahan yang cuba menggabungkan idea “pembangunan” dengan Islam. Cara itu tidak menolak pembangunan fizikal seperti yang dilakukan oleh golongan yang lebih radikal di dalam parti.

Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan pada 2 September 1998, sahabatnya yang juga presiden PAS ketika itu, Datuk Fadzil Noor membawa PAS untuk membantu kempen membebaskan Anwar yang turut dipenjarakan.

Pada mulanya ramai pemimpin PAS membantah tindakan itu kerana bagi mereka Anwar adalah saingan utama PAS, iaitu Anwar merupakan wajah Islam untuk Umno sepanjang era 1982-1998.

Nik Aziz berpihak kepada Fadzil. Sekali lagi keputusan bijak Tok Guru mendatangkan hasil, apabila PAS mencapai kejayaan besar dalam PRU 1999. Ia bukan sekadar kejayaan memperolehi kerusi dan undi. Ia lebih daripada itu.
PAS ke wilayah baru

Sebelum PRU 1999, PAS hanya berpengaruh di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Tetapi kebangkitan pengundi Melayu akibat krisis Anwar membawa PAS ke wilayah baru, iaitu negeri Pantai Barat Semenanjung. Malah, PAS mendapat sambutan daripada golongan muda dan profesional.

Jurutera bagi mengarusperdanakan parti adalah Allahyarham Fadzil yang mahu menjadikan PAS sebagai parti yang diterima oleh semua rakyat Malaysia, termasuk warga bukan Islam. Ia juga berhasrat mempersiapkan diri sebagai rakan komponen untuk kerajaan baru.

Dalam hal ini, peranan Nik Aziz adalah pelindung dan pembimbing generasi muda yang menyertai parti, di samping sebagai penyokong utama cita-cita Fadzil. Sayangnya, Fadzil terlebih dahulu meninggalkan kita pada Jun 2002.

Sebaliknya, PAS di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil peranan radikal dengan membawa agenda Negara Islam pada 2003, dan ini mengakibatkan kekalahan teruk PAS pada PRU 2004. Ia hanya menang 6 kerusi Parlimen, berbanding 27 yang dimenanginya pada PRU 1999.
 Malah, ia gagal mempertahankan Terengganu yang dirampas kembali dengan mudah oleh Umno.

Kekalahan itu membuka peluang kepada kumpulan arus perdana dalam parti untuk memperkenalkan agenda progresif, dan membawa parti kembali bekerjasama dengan pembangkang lain termasuk DAP, melalui gerakan Bersih.

Keputusan pilihan raya 8 Mac 2008 mengejutkan banyak pihak. Mengimbas kembali, hasil demokrasi Malaysia turut terselamat pada 8 Mac 2008.

Pertama, kesanggupan perdana menteri pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi menerima keputusan pilihan raya, dan kedua, ketegasan Nik Aziz menolak cadangan “Kerajaan Perpaduan” di antara PAS dan Umno.

Beberapa hari selepas PRU 2008, ada anasir dalam kedua-dua parti yang menggoda PAS supaya bergabung dengan Umno untuk merampas kuasa di Selangor dan Perak. Tok Guru tegas menentang saranan itu.

Tidak salah rasanya jika saya katakan bahawa tanpa ketegasan Nik Aziz, hasil demokrasi 2008 itu sudah lama dirampas pemimpin korup. Rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi patut berterima kasih kepada Nik Aziz kerana mempimpin PAS di jalan yang tepat sewaktu keadaan tidak menentu pasca PRU 2008.
Imbasan tentang Islam politikal
Kehidupan Tok Guru selari dengan perkembangan Islam politikal (political Islam) di seluruh dunia dan di Malaysia sejak separuh abad yang lalu. Mengimbas kehidupan Allahyarham dapat membantu kita memahami masa depan dengan lebih baik.

Tahun 2017 adalah tahun ke-50 Nik Aziz memasuki arena politik. Sudah 50 tahun bermula kebangkitan Islam selepas kekecewaan akibat kekalahan Arab dalam Perang 6 Hari pada tahun 1967, dan disemarakkan lagi pada 1979 apabila meletusnya Revolusi Iran.

Kebangkitan Islam menjadi popular di kampus-kampus Malaysia pada 1970-an, dan akhirnya membawa Anwar menyertai Umno seminggu sebelum PRU 1982.

Kemudian ia mencetuskan kebangkitan ulama muda dalam PAS pada Oktober 1982 yang melahirkan PAS yang kita kenali hari ini. Kini sudah 35 tahun berlalu, dan kita perlu mengemudi masa depan yang lebih baik untuk negara ini.

Sepanjang dekad 1980-an, Anwar memperkenalkan elemen dalam dasar kerajaan seperti perbankan Islam, kewangan Islam, dan sebagainya. Untuk melawan simbol Islamisme Anwar, PAS menjadi lebih radikal.

Parti satu isu

Satu produk yang membezakan di antara PAS dan Umno adalah hudud. Maka bermulalah perbalahan mengenai hudud yang tidak menjadi agenda politik sebelum 1980-an.

Dengan itu, PAS menjadi parti yang memperjuangkan satu isu. Namun dengan kepimpinan Nik Aziz di Kelantan, PAS dapat keluar daripada tempurung satu isu untuk menarik penyertaan golongan profesional, dan membawa pelbagai isu, dan bukan lagi sekadar hudud.
Reformasi Anwar, penyertaan profesional dan ahli dari Pantai Barat, serta usaha mengarusperdanakan parti sebagai persediaan menjadi komponen kerajaan baru telah meluaskan daya tarikan parti.
Peranan Mohamad Sabu dalam perhimpunan Bersih yang pertama pada tahun 2007, dan agenda “Negara Berkebajikan” adalah contoh penting usaha PAS untuk meluaskan pengaruh di peringkat nasional.
Hari ini, masyarakat Melayu-Islam semakin canggih. Pada era 1980-an dan 1990-an, ramai yang gembira dengan kehadiran perbankan dan kewangan Islam sebagai pilihan.

Tetapi hari ini, saya yakin ramai orang Islam akan menolak jika ada sukuk dikeluarkan untuk menyelamatkan 1MDB. Begitu juga, tidak ramai umat Islam akan menyokong jika hudud mahu dijadikan bahan tukar ganti untuk menyelamatkan pemerintah kleptokrat 1MDB.

Apa yang berlaku di Parlimen beberapa hari lalu adalah langkah ke belakang dalam sejarah, iaitu PAS kembali menjadi parti satu isu.

PAS kini kembali menjadi sahabat Umno walaupun ia pernah ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada 1977; seperti peribahasa Melayu, PAS menjadi “habis madu sepah dibuang”. Sedangkan Tok Guru tidak pernah bersetuju dengan usaha bersekongkol dengan Umno.

Orang Melayu lebih canggih

Bagi saya, masyarakat Melayu-Islam di Malaysia jauh lebih canggih dan bijak daripada apa yang disangkakan oleh kebanyakan ahli politik. Ramai kalangan pemimpin politik, khususnya pemimpin Melayu sendiri, menganggap orang Melayu sebagai jumud pemikiran, takut berubah, dan tidak mampu berfikir sendiri. Saya tidak setuju dengan pandangan negatif ini.

Saya yakin orang Melayu bersama majoriti rakyat Malaysia dapat menghidu serta melihat isu perkauman dan hal agama beragenda politik yang cuba dikitar semula. Mereka tidak mudah tergoda dengan permainan politik lama.
Yang menjadi masalah hari ini adalah ahli politik sendiri. Sepatutnya ahli politik berani memimpin rakyat dengan idea-idea baru yang bernas. Idea ini bukan cakap kosong; ia mesti mampu dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Ia adalah isu-isu ekonomi, kewangan keluarga, kos sara hidup dan reformasi institusi.

Bagi masyarakat Melayu-Islam, idea ini adalah penting untuk membuktikan bahawa Islam bukan hanya label, tetapi idea yang dapat dipraktikkan, dan memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira agama, kaum, gender dan wilayah.

Isu hudud yang dihidupkan kembali sejak 3 tahun lalu banyak membuang masa kita. Sebaliknya ia memberi masa yang diperlukan untuk UMNO yang dilanda skandal dan korupsi untuk bernafas semula.

Dengan sokongan pucuk pimpinan PAS hari ini, Umno berjaya mengalih pandangan rakyat daripada pelbagai skandal dan krisis ekonomi.

Kita perlu kembali kepada perjuangan asal, sekurang-kurangnya kepada asas Dasar Bersama tahun 2009, di mana Tok Guru bersama pucuk pimpinan parti pembangkang memainkan peranan yang besar untuk menyatupadukan pandangan yang berbeza.

Dengan mengimbas kembali legasi Tok Guru Nik Aziz, adalah penting untuk kita menerima hakikat bahawa pengaruh Allahyarham amat luas sehingga berjaya meyakinkan golongan bukan-Islam, terutamanya selepas PRU 2008, tentang Islam yang progresif lagi inklusif.

Kepimpinan Nik Aziz memang sukar dicari ganti. Kejayaan Allahyarham menggabungkan amalan politik sederhana, progresif dan pragmatik tanpa mencairkan prinsip Islam yang dipegangnya menjadikan beliau seorang tokoh yang unik.

Liew Chin Tong ialah pengarah Biro Pendidikan DAP. Kertas ini disampaikan pada Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat anjuran Amanah di Kuala Lumpur 9 April, 2017.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger