Oleh Abd Shukur Harun
Makna
 umum progresif di sini ialah ingin maju, memandang jauh ke depan, bukan
 saja cintakan ilmu, tetapi juga bersikap terbuka yang bersedia untuk 
mendengar dan berbincang akan sesuatu perkara, termasuk  agama.
Tetapi tidak bermakna berkompromi dengan asas agama.
Kerana itu saya melihat Resolusi Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah 2015 
(NUNJI15) yang bersidang di Shah Alam, Selangor pertengahan Ogos lalu 
adalah cerminan dinamika pemikiran para agamawan progresif  yang 
dipancarkan sepanjang persidangan  sehari suntuk itu.
     
     
     
Seramai 500 perwakilan dan peserta dari dalam dan luar negara berkongsi
 keilmuan mereka memperakui keperluan mematangkan dan membumikan risalah
 Rahmatan Lil Alamin memerlukan usaha berterusan bersama dengan semua 
pihak dalam satu pendekatan inklusif.
 Nadwah ini  adalah usaha awal yang penting dari Gerakan Harapan Baru 
(GHB) untuk memulakan wahana mengenai pembentukan fiqh Malaysia yang 
mengambil kira situasi masyarakat majmuk di negara ini tanpa merobah 
hukum asas yang dipancarkan dalam nas al-Quran dan sirah Nabi.
Di sini saya perturunkan dulu ketetapan resolusi NUNJI15 itu:
Meyakini betapa besarnya amanah Islam dalam memenuhi kehendak perubahan
 politik semasa, dan kegagalan kerangka politik penindasan, dan 
kegagalan pentadbiran kerajaan yang telus dan bertanggungjawab, maka 
NUNJI’15 mengusulkan beberapa ketetapan resolusi untuk diambil ketetapan
 selanjutnya;
1. Meningkatkan tahap keberkesanan politik Islam melalui proses 
demokrasi dan pendemokrasian dalam kerangka kedaulatan undang-undang 
negara dan Perlembagaan negara.
2. Memantapkan dan memperkukuhkan usaha secara berterusan dan gigih 
untuk menggali dan memunggah semula khazanah siasah syariah sebagai 
panduan berpolitik dan bernegara, dengan mengambil kira suasana / 
kondisi dan keperluan setempat bagi menelurkan fiqh siasah acuan 
Malaysia.
3. Memperkukuh dan memperjuangkan konsep Muwathonah berpandukan kepada 
memenuhi hak, dan membela sebarang pencabulan hak, sebagaimana termaktub
 dalam Perlembagaan negara berpandukan kepada ketetapan siasah syariah.
4. Memperjuangkan syariat Islam perlu dipersembahkan dalam mafhum 
menyeluruh mengikut kebijaksanaan pendekatan dan tidak terhad kepada 
menyamakan syariat dengan hanya hudud semata-mata.
5. Menetapkan dan memperjuangkan yang satu dasar Islam yang memantulkan
 penghayatan makna Rahmatan Lil Alamin diterjemahkan melalui wujudnya 
sebuah negara madani melalui dasar keterangkuman dan kepimpinan yang 
beramanah kepada rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
6. Meyakini dan menghayati kepelbagaian jemaah tidak boleh dijadikan 
alasan untuk menimbulkan budaya permusuhan dan budaya takfiri tetapi 
hendaklah diurus melalui adab perbezaan yang ditetapkan.
7. Meyakini dasar Islam Rahmatan Lil Alamin hendaklah diterjemahkan 
dalam amalan politik permuafakatan dengan semua pihak yang berkongsi 
cita-cita yang sama dan beriltizam dengan persetujuan yang dibuat 
bersama.
8. Bersetuju sebulat suara untuk mengasaskan sebuah parti politik 
baharu berpandukan kepada maqasid dan siasah syariah sebagai salah satu 
cara bagi mencapai ketetapan-ketetapan di atas.
Bagi mencapai matlamat resolusi yang dipersetujui, NUNJI’15 menyeru 
semua pihak untuk meneruskan usaha Islah pemikiran dan Islah organisasi 
dan kemudian menggembleng tenaga bersama untuk menjayakan ketetapan yang
 dibuat.
Dalam ucapannya yang sangat menarik, cendekiawan tersohor, Dr Siddiq 
Fadhil mengusulkan fiqh perlu peka kaum. Mungkin sesuatu adalah halal 
bagi satu kaum tetapi haram bagi kaum yang lain seperti wujudnya 
madrasah ahli ra’yi dan ahli hadis.
Beliau juga menekankan fiqh berubah mengikut masa dan keadaan serta 
tempat. Lain padang, lain belalang, katanya. Maka dalam konteks 
Malaysia, fiqh mesti disesuaikan dengan suasana dan keadaan negara ini.
Fiqh sejati, katanya, adalah sesuatu yang dinamik dan kontekstual. Ia 
tidak boleh membeku sehingga tidak mampu menjawab persoalan am dan 
persekitarannya.
Menurutnya, kegagalan memberikan jawapan yang tuntas, realistik dan 
meyakinkan akan menyebabkan orang lari untuk mencari jawapan yang lebih 
baik di tempat lain.
Di samping itu, kata Dr Siddiq Fadhil lagi, untuk menghindari kegagalan
 yang menimpa sebahagian gerakan Islam kontemporari akibat kegagalan 
memahami dan menangani tempat operasinya, gerakan Islam di Malaysia 
perlu mampu mengakar kuat pada fiqh al-nass cabang fiqh lainnya.
Di tengah realiti iklim politik dan sosio-budaya yang berbeza-beza, 
katanya, gerakan Islam di sesebuah negara tidak boleh menjadi sekadar 
replika daripada gerakan Islam lain.
Yang lebih tahu tentang waqii sesuatu tempat, tidak lain adalah 
penduduknya sendiri. Justeru katanya, warga Mekah sendirilah yang lebih 
mengetahui segala lurah dan lembahnya.
Di sinilah seorang peserta bertanya kepadanya, mengapa sesetengah 
gerakan Islam menggelunsur laju menjadi golongan ekstremis yang 
menakutkan. Lalu Dr Siddiq menjawab hal ini terjadi akibat pendukung 
gerakan Islam itu bertambah semangatnya tetapi tidak bertambah ilmu. 
Maka tidak seimbang, katanya.
Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim mengusulkan perlunya memudahkan 
fiqh taisir al-fiqh untuk menghadapi konteks masyarakat multikultural, 
bukan memberatkan mahupun meringankan.
Dr Maszlee Malik pula menekankan mengenai beberapa hadis yang 
menunjukkan Nabi SAW mengiktiraf sebarang “khair” (kebaikan) walau 
daripada pihak manapun datangnya. Justeru, kebaikan itu  bersifat 
universal.
Tokoh ini memberikan pelbagai contoh bagaimana Nabi SAW sentiasa  
menggalakkan usaha kebaikan. Antaranya, peristiwa Hilful Fadhul di mana 
baginda sangat setuju usaha pemimpin Quraish di Makkah membentuk sebuah 
jawatankuasa keselamatan untuk mengatasi kejadian rompakan yang 
berleluasa di Mekah waktu itu.
Ketika itu, Nabi SAW berumur 37 tahun, belum menjadi rasul. Lalu 
beberapa lama kemudian ketika di Madinah, baginda menceritakan peristiwa
 ini dengan berkata, “Kalau aku dipanggil waktu itu untuk menyertai 
kerja baik kaum Quraish itu, aku akan bersetuju.”
Ini gambaran politik bijaksana dan pandangan jauh Nabi SAW, demikian juga beberapa contoh lain.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 ulasan:
Catat Ulasan