Oleh Mohammad Tazli Azizan
Baru-baru ini saya diajukan soalan oleh beberapa orang junior saya di
UK, apakah yang
menyebabkan saya berubah pandangan dan menyertai
AMANAH.
Saya berpeluang menyambung pelajaran di United Kingdom 3
kali. Semasa ijazah sarjana muda di University of Sheffield (1 tahun di
UMIST, Manchester), graduasi pada 2003, ijazah sarjana di University of
Newcastle upon Tyne, graduasi pada 2005, dan seterusnya saya melanjutkan
pengajian PhD saya di Imperial College dari tahun 2009 - 2013.
Sejak
dari zaman undergraduate, saya telah bergiat aktif di dalam jemaah
al-Hizbul Islami (HIZBI), dan pernah memegang jawatan di peringkat pusat
ketika di tahun akhir pengajian. Ketika itu juga, Dato Seri Noh Omar
mengumumkan bahawa Hizbi ini gerakan haram, dan sejurus selepas itu,
kami semua bergerak 'bawah tanah'.
Setiap kali saya ke UK untuk
menyambung pengajian, saya akan mencari rakan-rakan sejemaah untuk
memudahkan urusan saya, apatah lagi untuk meneruskan kesinambungan gerak
kerja dakwah semasa di sana.
Banyak kenangan manis, Alhamdulillah, yang
membentuk diri saya. Daripada situ, saya mengenal dakwah dan tarbiah.
Daripada situ, saya mengenali PAS. Daripada situ, saya mengenali isteri
saya Putri Nurizatulshira.
Sekitar zaman saya sebagai seorang pelajar undergraduate, kami sungguh
beruntung kerana, pimpinan-pimpinan PAS pada masa itu, seperti Almarhum
Ustaz Fadzil Noor, Almarhumah Dr Lo'Lo' Ghazali, Dato Mahfuz Omar, Dr
Siti Mariah, Dato Husam Musa, Hanipa Maidin, dan ramai lagi pimpinan
datang ke program kami setiap kali kami mengadakan perhimpunan berkala
(winter gathering, spring gathering, summer gathering dsbnya). Dengan
berbekalkan wang elaun kurang daripada 400 pounds sebulan, banyaknya
kami belanjakan untuk mengikuti program-program sebegini, untuk
memantapkan fikrah kami.
Melihat pimpinan-pimpinan yang
pragmatik inilah menjadikan hati saya tertarik untuk bersama PAS.
Mengetahui gerak kerja mereka yang professional, dan meliputi segenap
lapisan masyarakat, saya sungguh teruja. Saya sendiri kemudiannya
menjadi ajen perkaderan yang menarik adik-adik junior menyertai Hizbi,
dan kemudiannya menjadi ahli yang komited dalam PAS.
Pada ketika
itu, kami menyedari akan kewujudan pelbagai jemaah lain di UK, seperti
MSM (Majlis Syura Muslimun) dinaungi JIM, yang sekarang ini ialah IKRAM,
yang dahulunya adalah IRC. Kami menyedari kewujudan jemaah seperti
HALUAN, ABIM, Hizbut Tahrir dan sebagainya. Namun hati sungguh kuat
tetap bersama dengan PAS, dan adakalanya lisan ini mengeluarkan kata
nista kepada jemaah lain, kerana sedar atau tak sedar, rasa ta'sub
kepada jemaah PAS menguasai diri saya sendiri.
Menolak mentah-mentah dan
tidak mengiktiraf jemaah lain. Kelemahan jemaah lain (contohnya IKRAM
yang tak menyertai politik, Haluan yang merupakan serpihan ABIM, Hizbut
Tahrir adalah serpihan Ikhwanul Muslimin), merupakan modal saya untuk
menarik adik-adik menyertai jemaah ini.
Walau bagaimanapun, saya
membina jambatan dengan jemaah lain, apabila saya kembali ke universiti
di tempat kerja saya, yang mempunyai ramai sahabat daripada jemaah
lain, terutamanya IKRAM. Sedikit demi sedikit, saya membina rasa hormat
kepada mereka, atas professionalisme mereka, dan akhlak mereka.
Kemampuan mereka memegang jawatan yang tinggi di peringkat universiti
atas usaha mereka, namun masih berpegang kuat dengan akhlak Islam,
mewujudkan tandatanya kepada saya, bagaimanakah bentuk pentarbiyahan
yang mereka lalui. Namun jauh di sudut hati, saya masih menidakkan
mereka, kerana mereka tak ambil 'port' tentang siasah/politik, itu hujah
saya.
Saya masih teringat, sekitar tahun 2009 hingga ke awal
tahun 2012, saya adalah seorang yang sangat vokal apabila saya kembali
pulang ke kota London untuk PhD saya. Saya tidak bersetuju dengan banyak
perkara, dan masih terikat dengan sikap konservatif dalam PAS.
Meskipun begitu, saya tidak lagi memadamkan hubungan saya dengan sahabat
daripada jemaah lain. Saya bersahabat baik dengan rakan-rakan dari
IKRAM dan HALUAN di London. Adakalanya kami berkongsi pendapat agar
dapat saling tegur menegur.
Dalam pada masa yang sama, saya juga
melayan pimpinan-pimpinan PAS yang datang ke UK, hatta saya bawa ke
rumah saya sendiri, kerana rumah saya dekat dengan Heathrow Airport.
Namun begitu, semakin lama saya meneliti, semakin saya cuba menilai dan
mengkaji pemikiran dan cara mereka, saya mula merasakan satu kepelikan
terutamanya di kalangan ustaz-ustaz yang datang ke UK. Cara kerja
mereka, cara fikir mereka, cara perbualan mereka, ia sudah tidak dirasai
sama dengan zaman undergraduate saya dahulu. Saya merasakan ada
perubahan ketara dalam cara pemikiran PAS sendiri. Sejak daripada situ,
saya sudah mengesan sindrom printscreen dan sindrom label - melabel,
namun saya diamkan.
Berbekalkan ilmu mengkaji yang diperolehi
semasa PhD ini, saya cuba menyelidik sedikit demi sedikit apa yang
berlaku di tanahair, namun masih meletakkan 'reservation' agar saya
dapat melihat dengan mata kepala sendiri bila pulang ke tanahair kelak.
Pada bulan oktober 2012, peristiwa kebakaran makmal saya, yang
menyebabkan pengajian PhD saya tertangguh, menjadi satu titik permulaan
muhasabah dalam diri saya. Saya tahu, Allah mahu memberitahukan sesuatu
kepada saya. Saya mula sedar, sebelum ini saya mahukan semuanya di dalam
kawalan saya, sedangkan sebenarnya, banyak perkara yang kita tidak
dapat kawal, dan menunjukkan betapa manusia itu lemah. Saya mula
muhasabah diri, atas sikap-sikap merendahkan orang lain dan jemaah lain,
dan mulai sedar bahawa untuk ke syurga Allah Taala, adalah bergantung
kepada diri kita sendiri. Setiap amalan kita, pilihan kita, niat kita
itulah yang menentukan pengakhiran kita bagaimana. Samada kita berada
dalam jemaah atau tidak, jaminan syurga Allah SWT adalah kekuatan aqidah
dan akhlak kita. Berapa ramai yang matinya husnul khatimah, sedangkan
mereka bukanpun ahli jemaah mana-mana jemaah?
Apabila saya
pulang ke tanahair, saya menjadi kurang aktif atas beberapa sebab
peribadi (berjauhan dengan isteri buat sementara waktu dan menjaga
anak-anak kecil), namun tidak terlepas untuk menyertai muktamar di
peringkat kawasan, dan menyertai kumpulan whatsapp mereka. Apabila
melihat dengan mata kepala sendiri, gaya pemikiran dan label-melabel
yang mereka lakukan, saya sedar, yang saya perlu berangkat pergi. PAS
yang saya kenali, tidak sama dengan PAS yang ada sekarang. Saya gunakan
kudrat yang ada untuk menegur, namun akhirnya saya yang terpaksa
berundur.
Kemuncaknya apabila AMANAH tertubuh, saya tidak tunggu
lama untuk menyertainya. Alhamdulillah, kini sahabat-sahabat daripada
wadah lain turut serta bersama kami dalam menggerakkan AMANAH.
Kepada sahabat-sahabat yang saya pernah sakiti hatinya, saya mohon maaf.
Ia adalah kelemahan diri saya sendiri, yang pernah menjadi taksub
dengan jemaah yang saya ikuti. Kini kami berdua menyertai AMANAH dengan
full conscious mind, bahawa sekiranya parti ini juga melencong haluan,
kami akan perbetulkan supaya ia kembali kepada haluan yang asal, selagi
mana ia adalah di bawah kudrat kami.
Saya memohon keampunan dari Allah SWT atas segala kelemahan diri saya.
Tidak ada satu parti politik pun yang sempurna. Masing-masing ada
kelemahannya yang tersendiri, apatah lagi AMANAH sebagai parti baru yang
baru nak bertatih tetapi perlu dipercepatkan perjalanannya.
Namun begitu, parti itu akan diterima ramai sekiranya ia mengamalkan
keterbukaan dan dinamik untuk berubah, selagi mana tidak melanggar batas
syariat. Parti yang merendah-rendahkan orang lain, dan parti lain, dan
hanya merasakan parti ini yang terhebat, terbaik, terawal, tertua, dan
hanya parti ini parti yang halal, perlu sedar bahawa, tidak semua orang
akan menerima indoktrinisasi yang kita lakukan. Parti yang banyak
membuat musuh, dan menjatuhkan orang lain dengan label yang pelbagai,
hanya merendahkan akhlak parti kita sendiri.
Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada PAS.
Terima kasih atas segala pengalaman yang diperolehi sepanjang saya berada di medium dakwah dan tarbiah PAS
Dan mudah-mudahan, Insha Allah pada masa-masa akan datang, jambatan ini
akan bercantum semula, antara AMANAH dan PAS, untuk Islam yang
tercinta, rahmatan lil 'alamin.
Mengapa saya tinggalkan PAS dan sertai AMANAH ?
Written By Wadah Baru on Selasa, 20 Oktober 2015 | 3:30 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan