Home » , » Kenyataan Hadi wujud persepsi negatif terhadap Amanah

Kenyataan Hadi wujud persepsi negatif terhadap Amanah

Written By Wadah Baru on Khamis, 22 Oktober 2015 | 2:43 PTG

Oleh  Adeysham Nor

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Jasin sudah pun menonton video Presiden PAS Datuk Seri Abdul hadi Awang yang menceritakan tentang haramnya hukum menubuhkan parti Islam baharu di Malaysia yang disandarkan kepada Yusuf Al Qaradhawi.

Kami melihat kenyataan presiden PAS itu bercanggah dengan pendapat Yusuf sebelum ini kerana terdapat banyak kitab beliau yang menceritakan mengenai keharusan hukum menubuhkan parti Islam yang lain.

Malah, beliau juga menganggap kepelbagaian parti ini seperti kepelbagaian mazhab dalam fiqah.

Tulisan dan hujah ini boleh dirujuk dalam kitab beliau seperti kitab Fiqah Ikhtilaf, Fiqah Daulah serta artikel yang lain.

Kami berpendapat, kenyataan oleh presiden PAS itu boleh mendatangkan persepsi yang buruk kepada rakyat Malaysia terhadap Amanah kerana ia melibatkan soal halal haram dan sebagaimana yang kita sedia maklum, perkara haram ini hukumnya berdosa dan boleh mendatangkan implikasi yang besar kepada amalan umat Islam.

Justeru itu, kami memohon kepada presiden PAS supaya menunjukkan surat penjelasan yang dihantar kepada Yusuf supaya umat Islam di negara ini amnya dan Ilmuwan Islam khususnya dapat menilai setiap penjelasan yang telah diberikan itu.

Kami juga memohon agar catatan setiausaha Yusuf juga dapat ditunjukkan bersama supaya pihak kami dapat mengetahui dalil & sebab haramnya penubuhan parti Islam Amanah.

Pemuda Amanah Jasin dengan ini mengambil pendirian untuk tidak membalas sebarang komen mengenai kenyataan presiden PAS itu sehingga beliau mendedahkan dokumen tersebut. –
* Adeysham Nor ialah pengarah komunikasi, Pemuda Amanah Melaka

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger