Home » , » Pemuda, Wanita DHPP Selangor umum keluar PAS, sertai Amanah

Pemuda, Wanita DHPP Selangor umum keluar PAS, sertai Amanah

Written By Wadah Baru on Khamis, 3 September 2015 | 2:21 PTG

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor Rajkumar Batumalai, bersama Ketua Wanita DHPP Selangor Pushpa Nagiah Vengdesa mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) bersama anggota jawatankuasa mereka.

Turut bersama-sama mereka adalah 24 ahli jawatankuasa Pemuda dan Wanita DHPP di Selangor termasuk ahli daripada beberapa kawasan seperti Kuala Selangor, Kuala Langat, Kota Raja, Subang, Shah Alam, dan Kapar.

"Kami memilih untuk bersama parti baharu ini atas pilihan kami sendiri tanpa paksaan atau pujukan mana-mana pihak.


"Kami percaya parti baharu ini lebih sesuai dan mesra dengan jiwa kami kerana pendekatannya yang jauh lebih inklusif, progresif, dan adil, bersesuaian dengan konsep rahmat untuk semua," kata Rajkumar pada sidang medianya di Shah Alam hari ini. Antara yang turut bersama mereka adalah seramai 500 ahli dari kawasan Kuala Selangor, 425 daripada Kota Raja, Subang (300), Shah Alam (300), Kapar (100), Hulu Selangor (300), Kuala Langat (100), dan Klang seramai 30 ahli.
Selain itu, 16 kawasan daripada 21 kawasan DHPP juga sudah dibubarkan.

"Lebih ramai ahli-ahli DHPP dari kawasan-kawasan lain akan mengikut langkah kami ini secara berperingkat memandangkan parti baharu ini memberikan keahlian penuh kepada kami," kata Rajkumar.

Sebelum ini beberapa kepimpinan PAS peringkat cawangan mengambil keputusan meninggalkan parti Islam itu dengan menyertai Amanah.

Antara yang turut mengambil tindakan sama adalah mantan ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat bersama barisan kepimpinan PAS Pulai, Johor mengumumkan penyertaan mereka terhadap parti berkenaan.

Beliau sebelum ini tewas dalam pemilihan merebut jawatan ketua Pemuda kepada Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz awal Jun lalu.

Turut menerima nasib sama tewas dalam pemilihan itu adalah pemimpin daripada kumpulan progresif PAS manakala pemimpin daripada kalangan konservatif yang pro kumpulan ulama menguasai PAS.

Mereka kemudiannya menubuhkan Gerakan Harapan Baru dan akan menjadi wadah baharu dalam arena politik dan bekerjasama dengan parti pembangkang seperti DAP dan PKR.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger