Home » , » Najib takkan jatuh walaupun Mat Sabu lempar mikrofon

Najib takkan jatuh walaupun Mat Sabu lempar mikrofon

Written By Wadah Baru on Ahad, 14 Februari 2016 | 2:46 PTG

Kedudukan Perdana Menteri bukan ditentukan oleh pengundi sebaliknya bergantung kepada
keputusan parti pemerintah, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Keadaan tersebut, ujarnya, berkait rapat dengan sistem Parlimen Westminster yang antara lain mempraktikkan pemilihan seorang ketua eksekutif atau ketua kerajaan adalah daripada parti terbesar dalam Parlimen.

“(Rakyat) Malaysia sibuk dengan Najib tapi (Najib) tak jatuh-jatuh juga sampai Abang Mat (Mohamad Sabu) baling mic. Kenapa? Kita kembali pada diskusi akademik, kita amal sistem Parlimen Westminster.

“Maksudnya di sini kedudukan PM (Perdana Menteri) tidak ditentukan oleh kita sebagai pengundi tetapi ditentukan oleh parti pemerintah.

“Siapa yang memiliki autoriti untuk menukar Najib? Partinya (Barisan Nasional). Sama juga isu Menteri Besar Kedah baru-baru ini. Rakyat lantik Mukhriz sebagai wakil rakyat bukan lantik dia sebagai MB (Menteri Besar),” jelasnya dalam Kuliah dan Dialog Lepas Isyak bertajuk “Fiqh Politik dan Aplikasinya” anjuran Amanah Lembah Pantai, baru ini

Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar itu, budaya politik di Malaysia berbeza daripada segi darjah demokratik berbanding negara lain seperti Amerika Syarikat.

“Suasana politik kita sungguh tinggi kuasa kepartiannya. Di Amerika, Presiden dilantik oleh rakyat. Dari segi keperwakilan, itu lebih demokratik (kerana) rakyat pilih sekaligus boleh menggantikannya,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, Islam sudah mengamalkan praktik fiqh politik yang lebih demokratik jauh lebih awal sebelum dunia Barat mengenali sistem Republik.

“Naratif Barat mengasingkan soal keagamaan dengan hal dunia tetapi bila Islam tiba, kedua-duanya – ukhrawi dan duniawi tidak dipisahkan.

“Apa buktinya dapat dilihat pada falsafah keadilan. Islam menyuruh umatnya menjadi penegak keadilan. Jangan berpaling daripada keadilan hanya kerana orang itu bukan dari (kumpulan) kamu. Nak berlaku adil, itu dunia, takwa itu ukhrawi.

“Allah beri ganjaran pahala kepada amal kebaikan di dunia. Minta bantuan Allah untuk bantu urusan kita di dunia. Menjaga agama supaya dapat menegakkan keadilan di dunia,” jelasnya.

Orang politik tak cakap hal kecil-kecil

Berkenaan peranan politik dalam masyarakat, beliau berkata, Nabi Muhammad s.a.w. telah menunjukan tauladan terbaik dengan menegakkan keadilan serta menyatukan kaum Aus dan Khazraj di Madinah.
“Politik dalam makna lebih besar adalah menyatukan umatnya. Orang politik tak cakap hal kecil-kecil. Mereka bertanggungjawab berusaha untuk mengukuh dan menyatukan masyarakatnya.
“Nabi Muhammad juga ‘rebranding’ (menjenamakan semula) nama Yathrib kepada Madinah al-Munawwarah atau kota bercahaya. Baginda ubah kerangka pemikiran untuk melihat perpaduan umat manusia merentas semua kaum dan agama.

“Justeru, politik besar itu bagi kita menyatukan. Saya melihat itu yang perlu dilakukan terlebih dahulu apabila berkuasa,” ujarnya

Mengulas sikap sesetengah individu yang bersikap pukul rata dengan memberi tanggapan negatif terhadap politik, Dr Mujahid berkata, keadaan tersebut berlaku kerana gagal memahami pengaruh dan kesan politik dalam setiap urusan kehidupan.

“Bila dia bercakap harga barangan di pasar mahal, sebenarnya dia terkesan dengan dasar-dasar kerajaan. Jadi, dia kena terlibat dalam politik untuk bersuara tidak semestinya masuk parti,” tambahnya lagi yang juga Pengarah Sumber Manusia Amanah Nasional.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger