Oleh Dzulkefly Ahmad
Genap
3 purnama, selepas “roadshow” pertama di Bakri, Muar, Johor, pada
tanggal 16 Jun 2015, negara bakal menyaksikan pelancaran rasmi atau
“official launching” sebuah parti politik Islam, pada tanggal keramat 16
September, 2015 ini.
Pada 31 Ogos, 2015 lalu, tarikh bersejarah dalam naratif sejarah
negara-bangsa ini, sebuah NGO, Gerakan Harapan Baru (GHB) mengakhiri
satu penantian umat dan rakyat. Ya, memilih membuat satu pemakluman
bersamaan hari Merdeka dan selepas Bersih 4.0, yang hebat itu, bukan
satu pilihan mudah. Takut tenggelam.
Namun, diukur di segi liputan akhbar cetak penguasa politik, serta
lebih nyata lagi di media sosial milik rakyat, pimpinan GHB boleh
menarik lafaz lega dan bersujud syukur.
Kegiatan melatari pemakluman
Memendekkan cerita, GHB mendahului usaha-usaha penubuhan parti ini,
dengan memohon pendaftaran sebuah parti Islam baharu yang diberi nama
Parti Progresif Islam (PPI).
Segala ikhtiar dibuat dalam rangka hak yang diperuntukkan dalam
Perlembagaan Persekutuan. Memahami akan kesukaran untuk mendapatkan
kelulusan sebuah parti baharu melalui pengalaman di dalam negara ini,
maka kami memanfaatkan wadah politik sedia ada.
Allah permudahkan segala usaha awal ini dengan membuka hati-hati
beberapa aktivis sebuah parti yang sudah agak lama dorman. Maka pada 31
Ogos lalu, GHB secara rasminya mengumumkan kami pun memutuskan untuk
muncul melalui sebuah parti politik golongan pekerja dengan nama
Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia atau “Parti Pekerja Malaysia”
(Workers’ Party Malaysia).
Ada pun pindaan penggunaan nama dan logo Parti Amanah Negara dengan
singkatan Amanah, akan kami kemukakan selepas ini kepada pihak Pendaftar
Persatuan (RoS) selepas semua hal “meregularsasikan” parti ini kami
lakukan. Dengan permulaan ini, ia sekali gus menampilkan sebuah lagi
parti politik Islam di tanah air kita ini.
Latar belakang kelahiran parti politik Islam
Kelahiran wadah politik baru ini adalah tindak balas kami kepada
pelbagai dimensi keresahan dan desakan rakyat akibat kemelut dan krisis
yang menyelubungi negara.
Ketempangan tadbir-urus ekonomi serta kebejatan pengurusan kewangan
negara terserlah dengan lambang kebobrokan pelbagai skandal besar
1Malaysia Development Berhad (1MDB). Terkini adalah bagaimana Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi penerima “donations” paling mega
dalam dunia.
Kegagalan mengurus khazanah kekayaan secara baik dan mapan meletakkan
negara berhutang besar, hilang daya-saing serta susut nilai mata wang
negara secara mendadak serentak menjadikan negara tidak lagi merupakan
destinasi pilihan pelabur.
Rakyat pula terus dicekik dengan sistem cukai barangan dan perkhidmatan
(GST) yang regresif dan lebih ganas membebankan golongan berpendapatan
rendah dan rakyat teramai. Jurang kaya-miskin terus melebar.
Perbalahan dan api perkauman serta sensitiviti antara agama terus
dibakar. Wadah-wadah politik dan NGO yang tidak memahami erti mengurus
kepelbagaian serta nilai hakiki perpaduan, kedamaian dan kesejahteraan
rakyat seperti dianjurkan syariat Islam merintangi erti dan tuntutan
“mengongsi negara ini” atau ‘sharing the nation’.
Institusi-institusi kritikal negara gagal “menyemak-imbang” kuasa
eksekutif yang terus-terusan dimandulkan cabang judisiari dan
legislative. Episod-episod keangkuhan pihak eksekutif amat ketara
mutakhir ini. Ia tidak lagi perlu huraian.
Meneliti konstruk politik mutakhir
Peranan pembangkang dalam menyemak-imbang penguasa ditanggapi umum
sebagai “berjaya dan berkesan”. Hakikat ini lebih ketara lagi apabila
muncul sebuah ‘konstruk politik’ pasca pilihan raya umum ke-12 dan
ke-13, yang bolehlah disebutkan sebagai sebuah pola “sistem 2-parti”.
Komitmen serta gandingan ketiga-tiga komponen parti pembangkang; Parti
Islam SeMalaysia (PAS), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) mampu menampilkan satu alternatif kerajaan dalam penantian
atau ‘the government in waiting’.
Di peringkat negeri Pakatan Rakyat (PR) pernah memerintah 5 buah negeri
pasca pilihan raya umum ke-12. Mengecap sokongan popular ke paras 52%
seluruh persekutuan adalah bukti meyakinkan.
Gerakan dan politik Islam berhajatkan penerusan muafakat politik
Kini malangnya, PR sudah berakhir. Meskipun menjalankan beberapa
tadbir-urus dalam negeri-negeri yang masih diperintah, hakikatnya PR
sebuah koalisi politik sudah terkubur. Koalisi politik ditakrif dengan
pemeteraian dasar-dasar bersama yang didukungi keyakinan dan komitmen
serta iltizam oleh kesemua parti komponen koalisi.
Rentetan perbalahan yang panjang dan berliku-liku, memperlihatkan
tahaaluf siyasi tidak dapat diteruskan. Berlatarbelakangkan ketempangan
kepimpinan negara yang tersebut di atas dan dengan dinamik ‘kebrentakan’
yang berlaku dalaman Pakatan Rakyat, usaha untuk ‘mentajidkan’ atau
menghidupkan koalisi atau tahaaluf, adalah antara ‘winning formula’ yang
sangat penting dalam waqi’ atau realiti demografi politik negara ini.
Misi Islam yang syumul serta bertindak secara inklusif
Berteraskan seluruh dinamik ini, maka penampilan wadah baru ini yang
menawarkan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam akan lebih dirasai
umat dan rakyat seluruhnya.
Islam yang syumul serta bertindak secara inklusif dengan tidak
mengasing dan meminggirkan mana-mana segmen rakyat adalah penting. Ia
membezakan perjuangan yang ditanggapi tertumpu kepada perjuangan
melindungi serta memenangkan kepentingan umat Melayu Islam dalam konteks
politik di negara ini.
Ia berbeza dengan ideologi nasionalisme Muslim atau ‘Muslim
Nationalism’, yang mungkin dalam konteks negara-bangsa ini punya naratif
perjuangan yang terwarna dan terangkum dalam erti dan penonjolan
doktrin supremasi Melayu Islam atau ‘Melayu Muslim supremacist
doctrine’. Sangat rumit dan bahaya buat kejelasan Politik Islam.
Keperluan kejelasan untuk mewujudkan perbezaan atau ‘tamayyuz’
(distinction) adalah wajar dan mendesak. ‘
Di segi tawaran politik kepada semua, Islam mesti ditampilkan sebagai
sistem untuk memberikan keadilan dan kesejahteraan merentasi semua kaum,
agama dan budaya, dan diangkat kembali dalam satu konstruk politik
baharu ini. Ia terangkum secara jelas dalam tuntutan Firman Allah
(Al-Maidah:6)..’…Jangan kebencian kamu terhadap mana-mana kaum atau
pihak, menjadikan kamu tidak berlaku ‘Adil’. Sebaliknya Berlaku Adil
kerana ia lebih hampir dengan ketakwaan.’
Islam yang menampilkan naungan syariatnya secara menyeluruh dengan
prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan
ketelusan, mesti terus diperjuangkan oleh sebuah parti yang komited
untuk menawarkan rahmat Ilahi.
Parti ini tidak mahu ditanggapi umum sebagai dari kelompok tertentu,
sebaliknya punya daya tarikan dan takungan tenaga kepimpinan “seasoned”
yang rentas seluruh kepimpinan umat dan masyarakat sivil yang terdiri
NGO Islam bahkan bukan Islam, individu pemimpin masyarakat berserta
tenaga anak-muda termasuk kepimpinan mahasiswa.
Parti ini adalah penggemblengan seluruh tenaga aktivis rakyat untuk
mengangkat sebuah negara dan masyarakat Madani yang mendukung kedaulatan
undang-undang atau as-Siyadah al-Qanuniyah dengan perhitungan maqasid
syariah yang sentiasa akan mencorak dan mencerna dasar-dasar umumnya.
Tawaran penyelesaiannya kepada kemelut rakyat melingkungi aspek
tadbir-urus ekonomi kewangan, sosial dan pendidikan, perhubungan kaum
dan agama, alam sekitar dan pembangunan, seperti juga ia menekankan
aspek pembangunan wanita dan anak-muda serta ihsan belas kepada golongan
tua dan kurang upaya.
Amanah melangsungkan cita-cita politik Islam
Wadah politik Amanah yang didukung GHB ini adalah komited untuk
meneruskan legasi perjuangan politik Islam yang ditunjukkan Almarhum
Yusuf Rawa, Almarhum Fadhil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam
menerokai ruang politik Islam yang amanah, progresif dan peduli.
Sejurus proses pengambilalihan wadah politik ini sempurna, maka akan
kami usahakan bersama momentum perubahan politik atas dasar tahaluf yang
jujur dan komited dalam perkara yang disepakati bersama rakan-rakan
parti politik –DAP dan PKR, dengan penubuhan kembali Pakatan Rakyat 2.0
Komited dengan pembudayaan politik baharu, maka wadah politik ini akan
terus berpaksi kepada politik yang berteraskan prinsip, ilmu pengetahuan
dan akhlak. Amanah bersedia mewujudkan budaya mampu mengurus perbezaan
dalam perlaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan seperti
dianjurkan oleh Islam dan syariatnya bagi melahirkan sebuah masyarakat
dan negara madani.
Parti Amanah Rakyat tampil garap desakan dan harapan rakyat
Written By Wadah Baru on Khamis, 3 September 2015 | 2:27 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan