Home » , » Terima kasih suruh bertaubat, harap terima teguran, Rafizi jawab Hadi

Terima kasih suruh bertaubat, harap terima teguran, Rafizi jawab Hadi

Written By Wadah Baru on Rabu, 12 April 2017 | 11:40 PG

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berterima kasih kepada presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas ingatan agar beliau bertaubat namun turut mengingatkan Hadi agar bersikap terbuka terhadap sebarang teguran.

"Seperti mana ingatan Datuk Seri Hadi minta saya bertaubat, saya juga harap Hadi menerima dengan terbuka ingatan saya mengenai dana 1MDB yang mengalir dari akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan Pas," katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Hadi yang menyifatkan tuduhannya bahawa Pas menerima dana daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai pembohongan besar dan tidak berasas dan meminta beliau bertaubat.

Rafizi membuat pendedahan itu pada hari terakhir persidangan parlimen, 6 April lalu selepas Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan usul rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang dibentangkan Hadi.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, budaya ingat mengingatkan itu sewajarnya disuburkan dalam masyarakat.

"Atas kesedaran saya tidak lari dari dosa juga, saya sangat peka kepada amanah saya sebagai wakil rakyat kerana saya lebih takut kepada Allah.

"Sebab itu saya tidak kisah apa pun panggilan asalkan saya sudah buat amanah saya," katanya.
Oleh itu, katanya besar harapannya, agar Hadi bersikap terbuka dengan bukti yang bakal beliau bentangkan kerana belum terlambat untuk mengelakkan Pas semakin terjerat dengan muslihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, bekas naib presiden Pas Salahuddin Ayub memberitahu beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai penerimaan dana 1MDB ketika menjadi pemimpin kanan parti Islam itu.

Katanya, isu penerimaan dana itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Pas, sebelum beliau keluar parti dan menyertai Amanah pada 2015.

“Yang pasti saya tidak terima apa-apa dan saya tidak dimaklumkan tentang perkara itu,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara semalam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger