Home » , » Pas terus bangkitkan dosa Mahathir

Pas terus bangkitkan dosa Mahathir

Written By Wadah Baru on Sabtu, 21 Oktober 2017 | 4:47 PTG

Pas terus mengungkit dosa-dosa lalu Tun Dr Mahathir Mohamad dan berikrar tidak akan bersama Pakatan Harapan dalam Pilihan raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.

Dalam kenyataan terbaru Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata,  di bawah Mahathir Umno dilihat sebagai perompak dan penyamun.

“Malah, di zaman Tun, Umno sudahpun menjadi perompak dan penyamun, cuma Tun tidak sedar.
“Sesiapa yang mempertikaikannya perlu berdepan dengan senjata yang bernama ISA yang sedia digunakan,” katanya.

Dalam menghadapi pilihan raya umum ke 14 beliau berkata Pas akan tetap menentang Umno tetapi tidak akan bersama Pakatan Harapan.

“Pas akan terus melawan Umno di PRU14 seperti pilihanraya-pilihanraya yang lalu.

Suka hatilah siapa yang ingin masuk gelanggang di kerusi-kerusi tradisi Pas untuk menjadikan ia peperangan tiga penjuru, itu hak demokrasi masing-masing,” katanya.

Ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri katanya, pembangkanglah paling hebat ditekan, ditindas sehingga pelbagai tragedi berlaku.

“Royalti minyak Kelantan tidak diberi, malah royalti minyak Terengganu dijadikan wang ehsan sejurus PAS mengalahkan Umno di Terengganu,” katanya.

Menurutnya di zaman Dr Mahathir, semua timbalannya  beliau dipecat dengan pelbagai tuduhan.

“Sebahagian mereka kerana menentang rasuah, salahguna kuasa dan kronisme yang berlaku di waktu itu.

“Kini istilah itu bertukar kepada kleptokrasi.

“Gunalah apa istilah sekalipun hakikatnya penyelewengan terus berleluasa.

“Ia menjadi budaya di dalam Umno yang kekal sehingga hari ini sehinggalah Tun sendiri pun terasa meluat melihatnya,” katanya.

Di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak katanya, Umno-BN hampir tumbang di PRU13.

“Rakyat mempunyai peluang keemasan untuk menumbangkan BN bersama Pakatan Rakyat di PRU13, tapi ketika itu Tun memilih bersama Umno melalui Perkasa untuk mengekalkan kekuasaan perdana menteri dan juga BN.

“BN kekal berkuasa sehingga hari ini adalah disebabkan Tun dan juga sistem yang berat sebelah yang dikekalkan oleh Tun.

“Umno yang ada hari ini adalah hasil didikan Tun,” katanya.

 Beliau membangkitkan sudah berdekad-dekad lamanya sejak merdeka, Pas melawan Umno.
“Di zaman Tun, kamilah yang lawan Tun. Ketika Tun memilih Tun Abdullah Badawi sebagai PM, kami tetap melawan Umno dan terus melawan Umno meskipun kami hampir kehilangan segalanya.

“Ketika Tun memilih Najib menjadi PM, kami membantah dan terus melawan Umno sehingga hari ini.

“Malah susah dinafikan bahawa Pas adalah pembangkang utama kepada Umno sejak sebelum Merdeka sehingga kini.

“Pas merupakan parti yang terus berkembang dengan keahlian hampir sejuta, dengan hampir 8,000 cawangan dan 195 kawasan seluruh negara,” katanya.

Beliau memerlukan  Dr Mahathir  yang kini baru dua tahun menjadi pembangkang,
“Tun baru terasa peritnya menjadi pembangkang.

“Hari ini, Tun mahu menurunkan Najib sebagai PM setelah menyedari kerosakan yang ada.
“Malah, Tun bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi PM ke 8.

“Alangkah baiknya kalau Tun sedar 20 tahun lebih awal, bukankah Anwar kini sudah menjadi PM,
“Najib tidak menjadi PM, keluarga Datuk Seri Anwar tidak perlu melalui keperitan yang berlanjutan sehingga hari ini dan rakyat tidak perlu bersusah-payah bergelut hari ini di bawah kerosakan yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN pilihan Tun,” soalnya.

Bagi Pas katanya, menurunkan Najib sahaja tidak cukup.

“Selama ini, kami menentang agar rakyat bangkit menukarkan Umno-BN dan menggantikannya dengan parti yang akan menukar sistem yang korup dan rasuah dengan dasar Islam yang diturunkan Allah untuk keselamatan negara dan rakyat yang berbilang kaum ini,” katanya.

1 ulasan:

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger