Home » » Barisan Nasional (BN) Penentang Sebenar Hudud

Barisan Nasional (BN) Penentang Sebenar Hudud

Written By Wadah Baru on Khamis, 22 Oktober 2015 | 2:58 PTG

OLEH MUHAMMAD ZAKI BIN SUKERY

1) Membaca dan meneliti tulisan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, saya kira ada beberapa pencerahan yang perlu dicermati agar seluruh rakyat Malaysia mendapat gambaran komprehensif tentang apa sedang berlaku dan tidak prejudis kepada mana-mana pihak tanpa asas pertimbangan rapi.

2)    Ini selari dengan firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Maa’idah, ayat 8, “Dan janganlah kebencian kamu kepada satu-satu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlakulah adil kerana ia lebih mendekatkan kamu kepada ketaqwaan”.

3)    Secara peribadi, saya kira di luar sana masih banyak isu yang perlu diulas. Isu 1MDB, isu kejatuhan nilai matawang, isu liberalisasi ekonomi dek TPPA, isu keselamatan LPT 2 dan sebagainya. Namun tidak adil kiranya jika dibiarkan apa yang telah diviralkan menjadi ratiban harian tanpa informasi yang tepat dan tuntas.

4)    Penghakiman kes tiga (3) individu (“Pemohon-Pemohon”) dalam mencabar Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 (popular disebut sebagai “Hudud” walaupun lebih harmoni disebut sebagai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah memandangkan peruntukan Qisas dan Ta’zir turut tersenarai dalam Enakmen) masih belum menyentuh apa-apa isu merit.

5) Kes ini hakikatnya ditolak seawal pada peringkat Pemohon-Pemohon gagal membuktikan bahawa mereka akan terkesan secara langsung jika Hudud tergunapakai. Ia jelas dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zaharah Ibrahim dalam menolak permohonan mereka untuk memulakan petisyen mencabar Hudud apabila menyatakan bahawa tidak ada satu pun dalam Afidavit Pemohon-Pemohon mengatakan bahawa mereka terkesan atau akan terkesan kepada hak tertentu mereka. Oleh sebab itu, beberapa ketika selepas Penghakiman disampaikan, Pemohon-Pemohon melalui Peguamnya menyebut akan kembali mencabar kes ini. Bezanya kali ini, dengan menjadikan sesiapa dari kalangan orang Islam secara total sebagai Pemohon-Pemohon.

6)    Oleh yang demikian, hujah DAP yang mengatakan bahawa Hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia adalah jelas masih tidak berjawab. Dalam sebuah negara yang mengamalkan konsep Federalisme, dakwaan ini malangnya berasas. Kesalahan jenayah terutamanya berkaitan 'kesalahan dan hukuman' Hudud yang dicadangkan lazimnya dibicarakan di bawah Kanun Keseksaan. Dari itu,hujah Hudud bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan sebenarnya masih tidak berjawab dengan Penghakiman kes yang diputuskan pada Selasa lepas atas sebab ia masih tidak diputuskan pada merit kes.

7) Mengambil kira soal sedemikian, sikap berterusan menuding jari kepada DAP dalam isu Hudud jelas tidak berpijak atas semangat disiplin ilmu dan praktikal perundangan.

8)    Lebih menarik, setakat hari ini, sebenarnya parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) yang mengambil tindakan undang-undang dalam isu Hudud. Ia bermula pada Tahun 2002 apabila Dato’ Zaid Ibrahim (Pimpinan UMNO ketika itu) memulakan tindakan undang-undang ke atas Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan [turut diheret sama pada ketika itu ialah Kerajaan Terengganu berkaitan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas)]. Seterusnya pada Tahun 2015 ini apabila tiga (3) individu yang dikaitkan secara langsung dengan Gerakan menyaman Kerajaan Kelantan.

9)    Hal ini diburukkan lagi dengan kemungkiran janji UMNO untuk membantu PAS melaksanakan Hudud di Kelantan apabila ia tidak dibawa ke Dewan Rakyat oleh mereka yang bertanggungjawab. Keadaan ini memaksa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) membawanya sendiri melalui Private Member’s Bill (PMB) iaitu berkenaan pindaan bidangkuasa yang terdapat dalam Akta 355 supaya mengikut Hukum Syara’. Sesuatu yang lazim berlaku, PMB biasanya tidak berpeluang dibentang di Dewan Rakyat atas alasan ‘kekangan masa’ walaupun hakikatnya ‘tiada kehendak politik’. Ironinya, ia sudah terbukti pada dua (2) sidang Dewan Rakyat sebelum sesi terkini.

10)     Mengambil kira soal sedemikian, dakwaan ada orang Islam yang menjadi penyokong kepada ‘dakyah berkenaan’ iaitu menyokong DAP menolak Hudud adalah jelas dakwaan yang tertolak, pra-matang dan terpesong.

11)     Dalam masa sama, jika benar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Mahkamah tiada kuasa menghalang mana-mana Ahli Parlimen (dalam isu ini, Presiden PAS) daripada mengusulkan PMB dalam isu permohonan injunksi menghalang TGHH oleh empat (4) orang Islam tersebut, maka dimanakah pula letak duduk PMB tersebut dalam Aturan Mesyuarat pada sidang Dewan Rakyat kali ini?

12)     Mengaitkan isu yang berlaku dengan kes Transgender juga sangat aneh. Hakikatnya, Transgender tersebut tidak mempertikai kuasa Mahkamah Syariah untuk menghukum mana-mana lelaki yang berpakaian perempuan. Mahkamah Persekutuan juga tidak membuat apa jua keputusan mengatakan bahawa Mahkamah Syariah berbidangkuasa mengadili kes berkenaan.

13) Dalam kes tersebut, setelah meneliti hujah pihak-pihak, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa tindakan Transgender tersebut adalah mempersoal kuasa legislatif (DUN) dalam meluluskan undang-undang berkaitan dengan ‘matters of Islamic Law’ (dalam kes ini, Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan) mengambil kira kuasa tersebut sebenarnya dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana peruntukan Artikel 74 dibaca bersama Senarai II dalam Jadual Kesembilan. Menolak hujah peguam Transgender yang menegaskan bahawa kelulusan undang-undang tersebut di atas mesti selari dengan peruntukan hak asasi dalam Artikel 5(1), 8(2), 9(2) dan 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah mengatakan dalam isu sedemikian, hujahan peguam Transgender secara tidak langsung mempersoal kuasa legislatif (DUN) tersebut lantas tindakan yang harus diambil dalam isu sebegini ialah dengan mengikut prosedur sebagaimana yang dinyatakan dalam Artikel 4
Perlembagaan Persekutuan,iaitu terus ke Mahkamah Persekutuan bukan memulakan tindakan di Mahkamah Tinggi.

14) Sebagai kesimpulan ringkas,Pro Guam berharap supaya mana-mana pihak cermat dan teliti terutamanya dalam kes perundangan sensitif sebegini agar apa yang diulas tidak memangsakan semborono pihak-pihak yang disasarkan, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lebih malang, jika ia terpesong terus dari intipati sebenar kes perundangan, disiplin ilmu dan praktikal perundangan.

15) Dalam masa sama,Pro Guam komited dalam meletakkan hukum-hakam Syariah di tempat tertinggi dalam struktur perundangan negara namun mestilah mengikut lunas undang-undang. Ini dibuktikan dengan keterlibatan tanda sokongan dalam isu terbaru saman terhadap Kerajaan Kelantan di Mahkamah Persekutuan. Lunas undang-undang itu termasuk mengakui kita bukan lagi berada pada zaman Kesultanan Melayu Melaka namun mewarisi sebuah negara tinggalan British yang  meninggalkan konsep Federalisme dan fungsi kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang telah diterima oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai methodologi perundangan agar kita tidak dilihat gopoh dan tergesa-gesa.

MUHAMMAD ZAKI BIN SUKERY,
KOORDINATOR KOMUNIKASI PRO GUAM
9 MUHARRAM 1437/22 OKTOBER 2015.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger