Home » , » Bajet 2018: Anak kecewa insentif bantu warga Felda tak menyeluruh

Bajet 2018: Anak kecewa insentif bantu warga Felda tak menyeluruh

Written By Wadah Baru on Ahad, 29 Oktober 2017 | 3:37 PTG

PETALING JAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) kecewa kerana insentif dan peruntukan bagi peneroka-peneroka Felda dalam Bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam tidak menyeluruh.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, walaupum beberapa peruntukan yang berkaitan Felda diumumkan, ia gagal merungkai situasi kritikal yang melanda Felda kebelakangan ini.

Beliau juga mempersoalkan mengenai status terkini Projek Perumahan Generasi Baru Felda (FGBF) yang diumumkam pada 2012.

“Sebanyak 20,000 unit dengan kos RM1.4 bilion diumumkan pada tahun 2012. Dimaklumkan oleh Pengerusi Felda ketika itu (2012), Tan Sri Isa Samad, sebanyak 8,570 unit akan mula dibina dan dijangka siap dalam masa 5 tahun.

“Yang pasti, perumahan Generasi Baru ini terbengkalai sehingga kini, dan tidak dapat dipastikan bila mahu dipulihkan,” kata beliau menerusi kenyataan.

Mazlan menambah Anak juga menggesa kerajaan menjelaskan sama ada 5,000 unit rumah Generasi Baru Felda dengan kos RM164 juta diumumkan semalam itu untuk projek yang baharu atau lama.

Beliau juga menyatakan kebimbangan wang bayaran bantuan tanam semula (SES) dimanipulasi di Dewan Rakyat.

Katanya, Anak masih ingat ketika kempen Pilihan Raya Kecil Kerdau pada 2011, perdana menteri berjanji mahu membantu 7,800 peneroka getah di 28 Felda seluruh negara.

“Kini, komitmen kerajaan memulangkan wang SES ini kepada 8,925 peneroka dengan peruntukan RM43 juta. Realitinya para peneroka getah ini sudah terlalu letih berulang alik ke pejabat Risda bagi menuntut hak mereka.

“Jika pun mereka dapat, adakah RISDA membayarnya terus kepada peneroka, atau melalui Felda yang penuh karenah birokrasi,” soal beliau.

Mazlan berkata seharusnya, pembentangan Bajet 2018 dimanfaatkan bagi menerangkan secara terperinci Plan Pemulihan Felda.

Semasa pembentangan Bajet 2018 semalam, Najib mengumumkan lebih 112,000 peneroka Felda menerima ‘durian runtuh’ melalui 6 insentif utama.

Najib, yang juga menteri kewangan berkata, insentif tersebut termasuk bayaran insentif khas peneroka bernilai RM5,000 yang diumumkan pada 23 Julai lepas dan pengembalian wang SES oleh peneroka getah yang membuat tanaman semula kelapa sawit dari tahun 2010 hingga 2016.

Katanya, insentif tersebut akan diperoleh 8,925 peneroka Felda dengan peruntukan RM43 juta.

Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) atau biasanya disebut tabung wang SES telah ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) 1952.

Kutipan SES pada kadar 9.92 sen sekilogram getah yang dieksport dimasukkan ke dalam tabung wang SES dan digunakan bagi membiayai program tanam semula bagi sektor pekebun kecil, pemulangan wang SES kepada sektor estet dan kegunaan lain yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM164 juta bagi membina 5,000 unit Rumah Generasi Kedua Felda dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger