Home » , » Pemuda Amanah Perak sokong MB tegas banteras ketagihan dadah

Pemuda Amanah Perak sokong MB tegas banteras ketagihan dadah

Written By Wadah Baru on Jumaat, 19 Ogos 2016 | 11:34 PG

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak memandang serius gejala penagihan dadah yang sangat berleluasa di semua peringkat sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Pengarah Komunikasinya, Muhammad Faeez Azahar berkata perkembangan ini sangat membimbangkan dan mampu meruntuhkan moral serta akhlak masyarakat khususnya golongan muda.

Sehubungan itu, pihaknya menyokong penuh ketegasan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi membanteras gejala penagihan dadah di negeri ini yang semakin membimbangkan.

Bagaimanapun Faeez menggesa usaha bersepadu dan konsisten dilakukan kerajaan melalui semua pihak dan agensi.

"Apa yang disuarakan oleh Zambry itu menzahirkan gejala ini semakin berleluasa dan gagal dibasmi dengan berkesan. Masyarakat secara tidak langsung berasa bimbang dan khuatir dengan gejala ini yang akan memberi kesan kepada generasi yang akan datang.
"Ketegasan Zambry terhadap ketua kampung baru-baru ini disambut baik namun tanggung jawab tersebut tidak sewajarnya diletakkan di bahu mereka semata-semata sebaliknya perlu melihat dari konteks menyeluruh.
"Ketua kampung tidak mempunyai kuasa dan kemampuan untuk menanganinya," ujar beliau.
Oleh itu Pemuda Amanah negeri menyarankan agar nasihat dan amaran melalui papan tanda, iklan, kain rentang dan sebagainya diteruskan melalui kaedah yang lebih 'segar'.

"Pembasmian ini perlulah menyeluruh, sewajarnya ia dibasmi di peringkat awal lagi.

"Apabila dadah ini mudah untuk menyusup masuk ke semua peringkat termasuklah ke kampung-kampung, maka gejala ini semakin rancak bermaharajalela dan sukar untuk dikawal," ujarnya.
Faeez juga berharap pihak berwajib dapat memikirkan kaedah lebih berkesan bagi membanteras penyalahgunaan dadah sekaligus menyelamatkan masyarakat khususnya golongan muda belia daripada terjebak.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger