Oleh DATO’ MAHFUZ OMAR
Hari
ini Malaysia digemparkan dengan rombakan kabinet yang menyaksikan
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin dan beberapa orang lagi
Menteri digugurkan. Selain itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani
Patail juga telah ditamatkan perkhidmatannya pada hari ini atas alasan
kesihatan. Saya akan mengulas berkaitan rombakan kabinet ini pada
kesempatan yang lain.
Sebagaimana yang kita maklum,
pengguguran atau pelantikan mana-mana Menteri adalah bidang kuasa
prerogatif seorang Perdana Menteri sebagaimana yang digariskan di dalam
Perlembagaan Persekutuan.
2. Bagi saya, peristiwa pemecatan
Gani Patail sebagai Peguam Negara adalah lebih serius dan memerlukan
perhatian daripada seluruh rakyat Malaysia memandangkan ianya dibuat
secara tergesa-gesa dan terbukti melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, jawatan Peguam
Negara adalah setaraf kedudukannya dengan Hakim Mahkamah Persekutuan.
Seorang Peguam Negara, walaupun memegang jawatan atas perkenan Yang
Dipertuan Agong, hanya boleh diberhentikan dengan menggunakan cara yang
sama untuk menamatkan perkhidmatan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.
Hal ini jelas dinyatakan di dalam Perkara 145(6) Perlembagaan
Persekutuan.
3. Seorang Hakim Mahkamah Persekutuan hanya boleh
diberhentikan atas alasan-alasan yang dinyatakan di dalam Perkara 125
Perlembagaan Persekutuan iaitu atas sebab salah laku, hilang upaya
melakukan tugas sama ada atas sebab kelemahan tubuh badan atau akal
fikiran atau atas apa-apa sebab lain yang menyebabkan dia gagal
menjalankan tugasnya.
Namun dalam keadaan wujudnya
alasan-alasan untuk memecat seorang Hakim Mahkamah Persekutuan atau
Peguam Negara, Perdana Menteri atau Yang Dipertuan Agong tidak boleh
membuat pemecatan begitu sahaja. Tetapi hendaklah ditubuhkan suatu
tribunal dan hanya atas saranan dari tribunal tersebut barulah Yang
Dipertuan Agong boleh memecat Hakim Mahkamah Persekutuan atau Peguam
Negara.
4. Malangnya di dalam kes Gani Patail ini, tiada
sebarang tribunal ditubuhkan bagi memberi rekomendasi kepada Yang
Dipertuan Agong sebelum Gani Patail ditamatkan perkhidmatannya sebagai
Peguam Negara. Dalam keadaan berlaku perlanggaran Perlembagaan secara
terang-terangan ini yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan
Malaysia, ianya seolah-olah bakal mengheret negara ini ke dalam suatu
Krisis Perlembagaan sekali lagi mengulangi peristiwa pemecatan secara
tidak sah yang dilakukan oleh Kerajaan ke atas bekas Ketua Hakim
Negara, Tun Salleh Abas pada tahun 1988.
Saya juga melihat
penamatan jawatan Gani Patail dengan hanya melalui kenyataan akhbar
yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara tanpa sebarang makluman
rasmi kepada beliau bukan sahaja melanggar Perlembagaan dan
undang-undang bahkan ianya kelihatan sangat biadap dan tidak
menghormati institusi Peguam Negara itusendiri.
5. Timbul
persoalan sekarang, kenapakah Peguam Negara ditamatkan perkhidmatan
secara tiba-tiba atas nasihat Perdana Menteri di dalam keadaan Perdana
Menteri sedang disiasat atas kes 1MDB dan penyaluran wang berjumlah
RM2.67 bilion ke dalam akaun peribadi yang dikatakan milik Perdana
Menteri?
Alasan faktor kesihatan langsung tidak masuk akal
kerana Tan Sri Ghani terus kekal sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman
dan Perundangan sehingga tempoh bersara wajib beliau pada 6 Oktober
2015.
Apakah kerana penyiasatan yang dijalankan terarah kepada
bukti-bukti yang akan memalitkan diri Perdana Menteri dan mendedahkan
Perdana Menteri kepada suatu pendakwaan jenayah?
Apakah penamatan Gani
Patail adalah suatu "pre-emptive strike" untuk menghalang pendakwaan
dijalankan ke atas orang-orang tertentu memandangkan hanya Peguam Negara
sahaja yang berkuasa untuk menjalankan pendakwaan jenayah di Mahkamah?
Saya menuntut agar Perdana Menteri segera menjawab persoalan ini.
6. Dalam suasana ketidaktentuan ekonomi dan politik yang berlaku dalam
negara ini yang borpotensi untuk menjerumuskan Malaysia ke dalam
jurang yang sangat merbahaya, saya juga menyeru supaya Ketua
Pembangkang Parlimen Malaysia segera bertindak mengumpulkan kesemua
Ahli-ahli Parlimen yang progresif dan bersatu hati di dalam
menghentikan kebobrokan yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO/Barisan
Nasional bagi menggerakkan suatu inisiatif untuk menyelamatkan
Malaysia.
"Selamatkan Rakyat Dan Negara Yang Kita Cintai!"
DATO’ MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
28 Julai 2015/12 Syawal 1436H
Home »
artikel
,
Penulis Tamu
» Adakah Ianya Berkaitan Dengan Siasatan Kes 1MDB Dan Akaun Misteri Perdana Menteri
Adakah Ianya Berkaitan Dengan Siasatan Kes 1MDB Dan Akaun Misteri Perdana Menteri
Written By Wadah Baru on Selasa, 28 Julai 2015 | 11:19 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan