Melihatkan barisan kepimpinannya, ramai menyifatkan Harapan Baru sekadar parti serpihan Pas yang tidak akan bertahan lama.
Namun, tidak kurang ramai juga yang mengalu-alukan penubuhannya dan
berharap ia mampu membawa pembaharuan dalam landskap politik tanah air.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Siti Nursyahidah Abu Bakar, Sinar
Online, Nizam Zain, jurufoto, Rosli Talib dan juruvideo, Fauzi Mohamed
bersama Setiausaha Harapan Baru, DR DZULKEFLY AHMAD bagi mendapatkan
gambaran lanjut mengenai perjuangan entiti ini.
Kemunculan Harapan Baru dalam dunia politik tanah air agak
mengejutkan. Lebih-lebih lagi ia ditubuhkan selepas Muktamar Pas ke-61.
Barisan kepimpinannya pula terdiri daripada bekas pemimpin Pas. Ada tak
penglibatan bekas pemimpin dari parti lain seperti DAP, PKR, atau Umno?
Terus terang saya sebutkan Harapan Baru merupakan satu inisiatif
daripada sekumpulan bekas pimpinan Pas dan pertemuan pada 16 Jun lalu di
Muar, Johor merupakan gerak pertama kami. Alhamdulillah, kami dapat
sokongan dan maklum balas yang lantas mencetuskan satu gelombang mahukan
kami terus membina dan menampilkan satu wadah politik baharu.
Memang betul, pengasas dan nukleusnya itu bekas pimpinan Pas. Tetapi
nyata bahawa usaha kali ini akan menggembleng seluruh aktivis pimpinan
NGO Islam dan bukan Islam, termasuklah Non Govermental Individual (NGI).
Sama ada mereka golongan profesional, ahli akademik dan sebagainya.
Pendekatan kami adalah inklusif iaitu menggembleng seluruh tenaga umat
dan rakyat, merentasi kaum, agama dan budaya. Jadi hasil akhirnya
menyaksikan Islam yang sifatnya inklusif itu dapat kami terjemahkan
dalam wadah politik ini dan bukan hanya apa yang dikatakan sebagai
kelompok yang kecewa. Inilah kelainannya wadah politik yang baru ini.
Siapakah yang memberi idea penubuhan Harapan Baru?
Sejujurnya, pada awal kekalahan kami memang berpandangan tidak akan
menubuhkan satu wadah baharu. Saya sendiri dalam muktamar sebutkan kami
sangat sayangkan Pas. Tetapi ketika kami membuat sesi brain storming dan
wacana selepas itu, semuanya tanpa berkecuali, apabila menilai laluan
Pas ketika ini, kami tanpa pertikaian, merumuskan bukan kami tetapi
rakyat dan umat memerlukan penampilan sebuah wadah politik baharu
berteraskan Islam dan melahirkan masyarakat madani dengan pendekatan
syariah kontemporari.
Kami sepakat mengatakan tiada pilihan lain, untuk menunggu perubahan
dalam Pas itu mungkin tidak. Sebab apa? Yang ada hari ini akan terus
perkukuhkan kedudukan mereka bukan perjuangan membela rakyat.
Secara ringkas, Harapan Baru ialah parti pemimpin yang tewas pada pemilihan lalu?
Saya tidak mahu menggunakan istilah itu kerana kita tidak membangunkan
wadah ini kerana tewas.
Kami sudah tewas banyak kali. Mengapa setiap kali kami kalah tidak berlaku seperti ini? Mengapa kali ini? Jawapannya ada pada yang benar-benar memantau kami. Kami tidak mahu menyebutkannya kembali kerana setiap kali menyebutkan kenapa kami perlu wujud, ia menggores hati dan jiwa kami dan kami tidak senang untuk menyebutkannya acap kali. Cukuplah sekali dua.
Kami sudah tewas banyak kali. Mengapa setiap kali kami kalah tidak berlaku seperti ini? Mengapa kali ini? Jawapannya ada pada yang benar-benar memantau kami. Kami tidak mahu menyebutkannya kembali kerana setiap kali menyebutkan kenapa kami perlu wujud, ia menggores hati dan jiwa kami dan kami tidak senang untuk menyebutkannya acap kali. Cukuplah sekali dua.
Tetapi bagi kami sangat jelas, mereka juga sebut kalau tak suka boleh
keluar dan buat parti baharu.
Saya berpegang kepada ayat ALLAH. Beramallah kepada ALLAH... ALLAH, rasul dan orang beriman akan saksikan. Jadi hujah ini untuk semua. Ya, kami sayang Pas, tapi kami juga sayang perjuangan Islam dan tidak mahu ia melalui proses pereputan.
Saya berpegang kepada ayat ALLAH. Beramallah kepada ALLAH... ALLAH, rasul dan orang beriman akan saksikan. Jadi hujah ini untuk semua. Ya, kami sayang Pas, tapi kami juga sayang perjuangan Islam dan tidak mahu ia melalui proses pereputan.
Kami minta maaf, kami mahu teruskan perjuangan ini dan kami yakin
formula ini ditunggu gerakan Islam di seluruh dunia. Ini sumbangan kami
kepada perjuangan politik Islam jadi kamu dianggap begitu. Bukan sebagai
bekas ahli Pas atau serpihan Pas ataupun pemimpin yang kecewa kerana
kalah.
Ramai menyamakan Harapan Baru dengan parti serpihan yang wujud
atas kekecewaan sebelum ini. Bagaimana Dr melihat masa depan Harapan
Baru untuk terus relevan?
Serpihan Pas suatu ketika dahulu seperti Hamim, Berjasa dan Islah,
jika kita perhatikan laluannya berakhir dengan mereka masih duduk di
bawah naungan BN. Di situlah pendeknya usia parti-parti ini kerana tidak
punya kekuatan dari segi sumber bakat, idea, kreativiti dan bergantung
harap kepada perlindungan BN. Tetapi kami merentasi kaum, agama, status
dan usia.
Anak-anak muda bersama dengan kami, begitu juga agamawan dan asatizah
yang beri kelainan kepada Harapan Baru. Kami bukan parti serpihan Pas
walaupun sebahagian besar kami daripada Pas. Tetapi lebih besar itu
ialah kelompok lain yang tidak kurang penting dan beri sisi pandang
berbeza dan boleh memperkayakan persiapan kami. Tunggu saja mereka
membantu kami menjayakan wadah ini. Silap dan tidak selari kalau
membandingkan kami dengan parti serpihan Pas lain kerana kami mempunyai
laluan berbeza.
Boleh jelaskan perjuangan Harapan Baru?
Dari sudut dasar kami mendukung Islam syumul, menyeluruh dan sempurna,
tetapi dalam masa sama kami tidak membawa pendekatan yang menyempitkan
Islam itu. Bahkan sifat kami pada Islam yang inklusif bukan hanya
melindungi orang Islam dan Melayu, tetapi Islam sifatnya bersifat rahmat
kepada seluruh alam dan menaungi semua kaum dan agama.
Kelainan dengan parti lama kami ialah penekanan kepada mengambil
pendekatan Islam dari sudut disiplin maqasid syariah. Yang maksudnya
sentiasa meletakkan apa juga yang bersabit dengan permasalahan rakyat
mesti dikembalikan kepada tujuan dan matlamat Islam.
Kalau kita perhatikan, kebijakan dasar parti lama kami juga adalah
hasil pendekatan inklusif kelompok ini (penggerak Harapan Baru) seperti
Pas for All, dan negara berkebajikan yang suatu ketika dulu agak asing
dalam Pas. Mungkin mereka akan kembali kepada negara Islam dan itu kami
tidak mahu masuk campur. Tetapi kami akan meneruskan dasar ini dan yang
penting bagaimana Islam itu mampu dan berjaya mengangkat kemakmuran
negara dengan menyejahterakan rakyat melalui polisi Islam.
0 ulasan:
Catat Ulasan