OLEH KC NAZARI
PAS
yang membuat keputusan tidak menyertai gabungan baharu pembangkang
terus diserang DAP malam tadi pada majlis makan malam mengutip dana bagi
parti serpihan mereka, Parti Amanah Negara (Amanah).
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, PAS sebenarnya sudah mula
tidak mempamerkan prestasi yang baik di kubu kuat mereka Kelantan sejak
kematian bekas mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Justeru katanya, gabungan baharu pembangkang yang kini dikenali sebagai
Pakatan Harapan akan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan
datang tanpa PAS sekalipun.
"Jadi tanpa PAS adakah kita akan mampu menang? Biar saya beritahu anda,
kita boleh. Ia tidak mudah ataupun percuma tetapi kita boleh.
"PAS semakin hilang kawalan di Kelantan. Kekurangan kerajaan negeri
Kelantan tidak begitu jelas semasa Nik Aziz ada tetapi sekarang orang
Kelantan tidak perlu lagi menaruh kepercayaan mereka terhadap kerajaan
negeri," katanya di Kuala Lumpur malam tadi.
Menurutnya, perkara itu jelas kelihatan sewaktu bencana banjir besar di
Kelantan hujung tahun lalu yang menyaksikan seolah-olah kerajaan negeri
"langsung tidak ada".
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu merujuk kepada kontroversi
bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan hujung tahun lalu apabila
kerajaan negeri dan persekutuan dilihat sama-sama lambat menghulurkan
bantuan.
Malah, DAP sendiri mengusahakan projek pembinaan semula rumah di negeri itu yang dikenali sebagai Impian Kelantan.
Hubungan DAP dan PAS putus secara rasmi apabila muktamar PAS yang lalu
meluluskan usul memutuskan hubungan dengan parti itu selepas Presiden
PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikritik bertali arus.
Hadi dikritik atas dakwaan culas menghadiri mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat (PR).
Beliau juga sering menggunakan kuasa vetonya dalam parti dengan
membangkang keputusan yang dibuat timbalannya pada masa itu, Mohamad
Sabu dalam mesyuarat majlis presiden PR.
Bercakap dalam majlis makan malam meraih dana Amanah semalam, Pua turut
mengungkit bangkangan Hadi terhadap keputusan persetujuan DAP dan PKR
mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri
besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurutnya, jika PAS menyertai gabungan baharu pembangkang sekalipun,
mereka tidak akan mempercayai parti itu yang semakin merosot
pentadbirannya.
"Jika bersama kita sekali pun, belum tentu prestasi mereka baik," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata partinya tidak
akan memutuskan hubungan dengan PAS walau apa cara sekali pun.
"Kita tak boleh bakar jambatan dengan mereka, kita tetap perlu bercakap
dengan mereka. Jika tidak, kita akan bertanding dalam suasana pilihan
raya yang sama-sama merugikan semua pihak.
"Ia mungkin OK buat DAP dan PAS (tidak bertegur sapa) tetapi kami perlu
mengemudi ruangan ini dan menjadi jambatan di antara mereka," katanya
sewaktu berada sepentas dengan Pua sewaktu sesi soal jawab selepas makan
malam.
DAP: Tanpa PAS sekalipun, Pakatan Harapan tetap menang PRU14
Written By Wadah Baru on Khamis, 8 Oktober 2015 | 2:56 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan