Home » , » Operasi PAS lumpuh di Johor - ILHAM Centre

Operasi PAS lumpuh di Johor - ILHAM Centre

Written By Wadah Baru on Khamis, 8 Oktober 2015 | 2:59 PTG

Oleh Hilal Azmi

KUALA LUMPUR: Penubuhan Parti Amanah, terutamanya di Johor, menyebabkan pergerakan parti PAS lumpuh. Kajian Ilham Centre mendapati pemimpin pengganti PAS di Johor tiada pengalaman untuk menerajui parti berkenaan.

"Kedudukan PAS goyah biarpun mereka mendakwa tidak terkesan (dengan penubuhan Amanah) kerana semua perjawatan diganti dengan individu lain.

"Menyedari hakikat itu, individu yang jadi pengganti tiada pengalaman, tidak pernah berorganisasi malah tidak pernah menggerakkan PAS di peringkat negeri mahupun cawangan," kata Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Rabu.

Tambah beliau, PAS dilihat tidak mampu beroperasi secara formal sepertimana pilihan raya sebelum ini memandangkan tokoh yang menggerakkan parti itu kini sudah tiada.

Hasil daripada kelemahan yang ada pada pembangkang ketika ini, UMNO dianggap mempunyai peluang baik untuk mengukukuhkan kedudukan di selatan Semenanjung.

"Biarpun wujud parti baharu dengan jenama baharu dan pola pengundian orang Melayu yang sukar berubah, keadaan ini memberi kelebihan pada UMNO walaupun UMNO sendiri kini dibebani pelbagai isu," katanya.

Malah, pemikir strategi UMNO dinasihat agar terus berusaha untuk memenangi hati rakyat.

"Kalau UMNO gagal yakini pengundi, mungkin berlaku undi protes yang menjadi bonus buat pembangkang. "Dari situ, kejayaan parti pembangkang bukanlah hasil kekuatan mereka, tetapi akibat kegagalan UMNO untuk mengurus krisis dan juga apa yang berlaku pada parti pemerintah sekarang," tambahnya.~astroawani.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger