Home » , » PAS tidak sokong undi tolak Bajet 2016, kata Hadi

PAS tidak sokong undi tolak Bajet 2016, kata Hadi

Written By Wadah Baru on Ahad, 1 November 2015 | 3:39 PTG

PAS akan mengambil tindakan berkecuali dan ahli Parlimennya sebulat suara tidak akan menyokong usul menolak Bajet 2016, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sinar Harian melaporkan presiden PAS itu berkata, parti itu tidak akan menolak Bajet 2016 kerana dasar parti Islam itu ialah menyokong perkara positif untuk rakyat.

“Dalam soal tolak usul bajet, kita berkecuali dan tidak akan undi bagi membangkang secara mutlak kerana dasar parti kita akan sokong perkara-perkara positif untuk rakyat dan akan membantah perkara-perkara negatif.


“Ada benda yang kita tidak setuju tetapi tidak mungkin kita akan sertai saranan untuk bantah usul Belanjawan (Bajet) 2016,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai program dialog rakyat bersama PAS di Hotel Tanjung Vista, di Terengganu, semalam.

Sebelum ini, ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyarankan agar kesemua ahli Parlimen pembangkang menolak usul Bajet 2016 sebagai salah satu protes menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hadi turut dilaporkan berkata, PAS juga bersedia menjadi penasihat kepada Umno sekiranya parti Melayu itu merubah dasar perjuangan mereka.


“PAS sedia menjadi penasihat dan pembantu sekiranya Umno ubah dasar pemerintahan. Kita bukan gilakan kuasa atau mahu menguasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita akan ambil pendekatan lain iaitu ‘ambil alih’ pemerintahan.

“Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikut kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan perdana menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa,” katanya.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa kaedah lain bagi menjatuhkan perdana menteri sama ada melalui pilihan raya atau undi tidak percaya.

“Hari ini, daripada 222 kerusi yang ada, 89 adalah milik pembangkang. Persoalannya, adakah dengan jumlah itu ia bolehkah menjatuhkan beliau (Najib) dengan undi tidak percaya? Kecualilah, jika orang-orang Umno undi bersama,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

“Setuju dengan Umno bukan bermaksud kita akan jalankan kerjasama politik dengan mereka kerana PAS lebih selesa duduk di luar Barisan Nasional (BN), bukan di dalam BN malah kita tidak akan bergabung dengan Umno,” katanya.

PAS juga bersedia menghantar pasukan mereka bagi berbincang degan Umno berkenaan beberapa isu yang membelenggu pentadbiran kerajaan hari ini.

“Sebagai langkah untuk memperbetulkan kerajaan, PAS bersedia menghantar pasukan untuk berbincang dengan Umno baik mengenai isu berbangkit seperti GST, perumahan, kejatuhan nilai ringgit dan sebagainya,” katanya, merujuk kepada cukai barang dan perkhidmatan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger