Home » , » Amanah inklusif hindari 'perang saraf' pecah belah ahli

Amanah inklusif hindari 'perang saraf' pecah belah ahli

Written By Wadah Baru on Selasa, 8 Disember 2015 | 1:54 PTG

Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) menyeru semua ahli tidak termakan dengan cubaan jahat untuk memecah-belahkan Parti Amanah Negara (Amanah) daripada mana-mana pihak yang tidak senang dengan kewujudan parti baharu yang bersifat inklusif ini.

Ketuanya Dr Siti Mariah Mahmud menegaskan, Awan menyokong sesiapa sahaja yang memimpin Amanah asalkan memenuhi ciri-ciri pemimpin Islam iaitu amanah, berintegriti, berakhlak mulia dan dapat menyatukan semua ahli.

Bagi beliau, kepelbagaian pemikiran dan pendekatan dalam Amanah membayangkan kekuatan parti baru itu dan bukannya punca kelemahan sesuai dengan sifat dan pendekatan inklusifnya.

“Ahli Amanah tidak boleh termakan dengan perang saraf pihak tertentu yang tidak senang dengan kehadiran Amanah yang semakin dirasai masyarakat.

“Awan akan memberi sokongan padu kepada semua pimpinan yang ada. Mereka mempunyai kekuatan yang berbeza dan saling menampung antara satu sama lain,” katanya

Terdapat dakwaan mengatakan Amanah terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan presidennya Mohamad Sabu, timbalan presiden Salahuddin Ayub dan naib presiden Hasanuddin Mohm Yunus.
Penyokong Mohamad dikatakan terdiri daripada ahli Syiah di Malaysia dan bekas aktivis PAS.

Salahuddin pula dikatakan membawa penyokong daripada bekas aktivis PAS dan bekas ahli Umno Johor manakala Hasanuddin dikatakan membawa ahli Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan bekas aktivis PAS.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali pula menyifatkan Mohamad sebagai jurucakap DAP.

Bagi Dr Mariah, semua membawa kekuatan masing-masing untuk menjadikan Amanah parti yang kuat dan disertai oleh semua pihak sesuai dengan ciri-ciri inklusifnya yang ditetapkan dari hari pertama penubuhannya yang menghimpunkan semua pihak.

Dr Siti Mariah yang juga ahli Parlimen Kota Raja turut berkata, Amanah telah memilih pemimpin yang muttaqin dan membawa mesej Islam Rahmatan Lil Alamin (rahmat untuk semua).

“Kita tidak asabiyyah kepada mana-mana bangsa atau mana-mana pertubuhan asal mereka kerana semua mereka memperjuangkan Islam,” katanya lagi yang merujuk kepada pelbagai kumpulan Islam dalam masyarakat yang menyertai Amanah bagi menjayakan cita-cita besarnya.

Justeru beliau mahu semua ahli tidak termakan dengan pelbagai tuduhan terhadap Amanah sebaliknya memberi fokus kepada usaha memperkenalkan parti itu kepada masyarakat.
“Saya minta ahli Amanah tidak menyibukkan diri dengan provokasi tetapi fokus kepada kerja masing-masing untuk memperkenalkan Amanah kepada rakyat,” katanya.~Malaysia Dateline.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger