Home » , » "Kami Bukan Parti Minta-Minta" - Amanah

"Kami Bukan Parti Minta-Minta" - Amanah

Written By Wadah Baru on Rabu, 20 Januari 2016 | 6:59 PTG

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan bahawa ia bukan badan politik
yang 'meminta-minta kerusi' untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti.

 Presidennya, Mohamad Sabu berkata, pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) belum dibincang, sehubungan itu masih belum ada keputusan mengenainya.

"Kami belum bincang lagi hal kerusi, di peringkat negeri akan bincang dan diikuti keputusan mutakhirnya Majlis Presiden.

"Saya sendiri pun tidak tahu lagi nak bertanding atau tidak, ertinya kita tak bincang sebarang perkara dalam bentuk 'kerusi'," katanya pada sidang media di Wisma Amanah di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian DAP Selangor yang tidak berhasrat memberikan kerusi di kawasan majoriti pengundi Cina yang dimenangi parti itu pada PRU lalu kepada Amanah seperti dicadangkan PKR baru-baru ini.

Terbaharu, Setiausaha Publisiti DAP negeri itu Ng Suee Lim menyifatkan cadangan PKR yang disampaikan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Chang Lih Kang itu adalah pandangannya semata-mata dan ia tidak pernah dibincangkan di peringkat kepimpinan DAP Selangor.
Mat Sabu menegaskan apa yang pasti Amanah akan bertanding di atas nama Pakatan Harapan menentang Barisan Nasional (BN).

"Kami dalam Pakatan Harapan tak akan bertanding sesama sendiri.

"Kami akan lawan BN dan konco-konco BN. Konco BN itu sesiapa sahaja yang cuba nak jadi konco BN kita akan bertanding atas nama Pakatan Harapan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, parti itu tidak mahu dilihat sebagai parti yang suka menagih kerusi sedangkan belum ada sebarang rundingan dibuat mengenainya.

"Kita pun bukan parti yang meminta-minta, ini bukan soal kita minta-minta, kita runding bersama.

"Kita ada kekuatan, akan bantu DAP dan PKR dalam kerusi yang dia bertanding seperti yang diputuskan bersama, manakala DAP ada kekuatan dan akan bantu di kerusi yang Amanah dan PKR bertanding, juga mengikut keputusan bersama. Tak ada mana-mana kerusi yang dah dicop milik PKR, DAP atau Amanah," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger