PARTI Amanah Negara (Amanah) yang ditahnikkan pada 16 September 2015 di Shah Alam, adalah sebuah parti yang lahir daripada rahim tajdid.
Untuk memahami susur galur dan nasab Amanah, kita perlu memahami latar belakang kelahirannya.
Majoriti rakyat Malaysia (mencapai 52% pengundi Malaysia dalam Pilahan Raya Umum Ke 13) bersepakat untuk menolak model berpolitik yang dibawa Barisan Nasional (BN), mereka menyokong satu gabungan yang mengandungi kepelbagaian ; pemikiran, ideologi, cara urus organisasi, sistem perkaderan dan matlamat akhir, namun gabungan Pakatan Rakyat (PR) pada waktu itu sudah bersatu untuk membina sebuah Malaysia yang lebih aman dan sejahtera bagi didiami warganya tanpa mengira warna kulit dan akidah anutan mereka.
PR pada waktu itu sudah melangkah dengan bergaya, 'buku jingga' sudah mempersatukan pelbagai “kepala” yang ada untuk perjuangan selamatkan negara dan zuriat warganya. Itulah polisi dan rancangan bersama. Sudah barang tentu masih ada “ruang” perbezaan yang banyak antara anggota PR kerana mereka sememangnya “pelbagai”!.
Pasca PRU13, salah satu ahli PR mula berkecamuk, PAS “berpecah dua” daripada sudut fikrah - terutamanya dalam soal hubungan dengan sesama rakan yang non Muslim.
Sudah ada ahli bahkan pimpinan PAS yang mula ragu dan ingin kembali ke era 80 an; era di mana PAS bersendirian bahkan “bermusuhan” dan “dimusuhi” pelbagai penjuru.
Ada pula yang merasa rugi kerana PR, PAS tak mampu laksana hudud yang merupakan “nyawa PAS”, bahkan ada yang lebih ekstrim mahu supaya Melayu Islam diselamatkan (entah daripada apa nak diselamatkan?) dengan berbaik dengan Umno yang merupakan “pemecah” Melayu dan “penconteng arang” ke wajah mulus Islam.
Itulah suasana yang melatari kelahiran Amanah. Sebahagian ahli PAS tak boleh terima idea “kembalikan PAS ke era 80an”, lalu mereka dipinggirkan, bahkan dihukum mandatori sebagai munafik haraki, tak jelas fikrah, jual perjuangan kepada kafir dan bermacam lagi matan kreatif yang keluar daripada mulut para pendokong ulama (?) dalam PAS.
Setelah terpinggir, “bekas” pemimpin ini - dan didokong pula sebahagian ahli gerakan Islam yang cintakan Islam - menubuhkan Amanah sebagai usaha reform atau tajdid.
Apa yang ingin ditajdid?
Yang ingin ditajdid adalah gerakan politik Islam, perubahan daripada ala Timur Tengah kepada gerakan politik Islam yang kontemporari, rahmatik, Malaysia - manhaj Malizi - dan benar merakyat. Itulah tajdid atau reformasi yang ingin dibawa Amanah.
Tajdid bukanlah kerja mudah, sudah barang tentu Amanah perlu mengambil sedikit masa untuk memahamkan massa tentang keperluan tajdid itu. InsyaAllah dua tahun ini adalah masa yang memadai untuk Amanah dikenali sebagai sebuah parti “reformasi” politik Islam di Malaysia.
Anda bertanya tentang polisi dan dasar Amanah?
Anda akan temui jawapannya apabila anda memahami tajdid yang kami perjuangkan.
* Ridzwan Abu Bakar ialah pengarah komunikasi Kedah Parti Amanah Negara (Amanah).
0 ulasan:
Catat Ulasan