Home » » Ruang bagi Najib adakan PRU14 tahun ini semakin tertutup

Ruang bagi Najib adakan PRU14 tahun ini semakin tertutup

Written By Wadah Baru on Rabu, 19 Julai 2017 | 11:03 PG

Oleh LIM KIT SIANG

 Keadaan panik di kem pemimpin, penyokong dan laskar siber Umno/BN sejak tiga hari lalu.
Mereka tidak percaya bahawa pemimpin Pakatan Harapan mampu menyelesaikan perbezaan mereka dan untuk majlis presiden Pakatan Harapan menyimpulkan perbincangan mereka pada malam Khamis dengan begitu produktif.

Sejurus selepas tengah malam satu sidang media diadakan bagi mengumumkan struktur baru Pakatan Harapan dengan logo baru serta senarai barisan kepimpinan.

Pemimpin, penyokong dan laskar siber Umno/BN langsung tidak mempercayai bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu bersatu dan bekerjasama.

Atas sebab itu, dalam keadaan panik, pemimpin dan penyokong Umno/BN terlupa dengan kempen penipuan dan berita palsu yang menggambarkan DAP sebagai kuasa jahat yang mendalangi Pakatan Harapan,

Saya pula dilabel sebagai "diktator segala diktator" yang menjadikan pemimpin PKR, Amanah dan BERSATU seperti Mohamad Sabu, Datuk Seri Azmin Ali, Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mahathir sebagai macai dan boneka. Mereka ini didakwa patuh kepada setiap arahan dan keinginan saya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak cukup terkejut besar apabila beliau segera membuat kenyataan menuntut penjelasan kerana ketiadaan pemimpin DAP dalam tiga jawatan tertinggi Pakatan Harapan dan menyoal sama ada DAP telah diketepikan.

Bagaimana DAP boleh diketepikan apabila, menurut kempen propaganda "ops hitam" pemimpin, penyokong dan laskar siber Umno/BN sejak beberapa tahun kebelakangan, bahawa DAP adalah dalang setiap tindakan dan langkah yang diambil oleh parti pembangkang - termasuk setiap tindakan yang diambil oleh pemimpin PAS apabila parti itu bersama Pakatan Rakyat sebelum presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkebumikan Pakatan Rakyat pada Muktamar PAS Jun 2015?

Ia langsung tidak terlintas kepada pemimpin Umno/BN bahawa Pakatan Harapan adalah berbeza daripada Barisan Nasional, kerana ia gabungan parti yang tulen berdasarkan kesepakatan di antara mereka manakala BN pula adalah gabungan palsu, dengan Umno menikmati hegemoni politik dan membuat keputusan satu pihak mengenai dasar dan hala tuju BN.

Struktur, logo dan kepimpinan Pakatan Harapan yang baru menyebabkan ada pemimpin Umno/BN menjadi tidak waras dan tidak kurang pula yang mengalami histeria.

Sebagai contoh, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) menimbulkan spektra tentang kemungkinan seorang bukan Melayu dari DAP bakal menjadi perdana menteri, dengan kata-kata seperti berikut:

"Akhirnya kita Melayu akan berpecah kepada tiga. Kalau ini berlaku dan mereka membentuk kerajaan, DAP yang akan mempunyai kerusi terbanyak serta berdasarkan Perlembagaan tadi, berhak menentukan bakal perdana menteri.

"Kalau Lim Guan Eng hendak jadi perdana menteri, beliaulah yang akan jadi perdana menteri. Kalau mereka tidak berani letak Guan Eng, boleh letak orang Melayu tapi jadilah orang Melayu seperti beberapa menteri besar Selangor yang tidak boleh membuat keputusan kerana semua dikuasai Teresa Kok dan Hannah Yeoh dan sebagainya," katanya.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pula memberi amaran kepada penyokong BN bahawa mereka berdepan balas dendam jika pembangkang membentuk kerajaan akan datang.

Cuba untuk menyelamatkan keadaan, pemimpin Pemuda Umno dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mencipta propaganda "ops hitam" baru dengan mendakwa bahawa DAP, sebagai "parti yang memegang kerusi parlimen paling banyak di Dewan Rakyat, akan memutuskan dasar dan manifesto Pakatan Harapan."

Biar saya memberi jaminan kepada mereka bahawa DAP tidak diketepikan dalam Pakatan Harapan.

Tidak ada satu parti politik yang boleh memutuskan dan menetapkan dasar dan manifesto HARAPAN, serta tidak akan ada membalas dendam oleh HARAPAN apabila ia membentuk kerajaan persekutuan di Putrajaya.

Reaksi atau kejutan awal Umno/BN semakin lesu dan kini kita dapat melihat satu strategi propaganda baru yang dibuat dengan cermat - untuk mengagalkan perdamaian Mahathir-Anwar dan meramalkan bahawa Pakatan Harapan akan gagal - sedangkan sebenarnya ia cabaran terbesar rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan persekutuan baru di Putrajaya untuk menetapkan semula dasar dan hala tuju negara.



LIM KIT SIANG adalah ahli parlimen Gelang Patah dan pemimpin veteran DAP.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger