Home » » Parti baharu harus mula dengan orang Islam sahaja

Parti baharu harus mula dengan orang Islam sahaja

Written By Wadah Baru on Ahad, 28 Jun 2015 | 9:13 PTG

Susulan heboh diperkatakan sebuah parti politik baharu mungkin dibentuk oleh pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mempertimbangkan isu itu, mengatakan parti tersebut mesti "hanya untuk orang Islam sahaja" pada peringkat awalnya.
Ini kerana, kata bekas menteri Umno itu, ia akan menjadi satu-satunya peluang untuk parti baharu berkenaan mencabar PAS.

"Ketika ini pun mereka tidak berserban dan berkopiah dalam pakaian harian mereka; ini akan mencacatkan mereka; jadi, jika hendak dibawa orang bukan Islam menyertai parti baru itu, ia hanya akan menambah masalah," tulisnya di blognya hari ini.


"Ia akan menjadi satu lagi PKR dan satu bencana kepada Mat Sabu dan rakan-rakannya," katanya merujuk kepada bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu.

Ketika ini, spekulasi meluas yang pemimpin progresif dalam PAS - digelar G18 - yang kalah pada pemilihan parti Islam itu awal bulan ini, mungkin menubuhkan sebuah parti baharu selepas Hari Raya ini, bersama parti serpihan, Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa).

PasMa sendiri sebelum itu mengisytiharkan ia akan membentuk sebuah parti baharu dengan G18 bagi menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) yang kini tidak berfungsi lagi.

Perkara itu semakin mendapat perhatian apabila sebahagian daripada pemimpin G18 itu berbuka puasa dengan pemimpin PKR dan DAP awal minggu ini.

PR diisytiharkan berakhir selepas PAS meluluskan resolusi memutuskan hubungan dengan DAP dalam muktamarnya yang menyaksikan jawatan tertinggi parti disapu bersih golongan konservatif.
Parti Islam itu bagaimanapun menegaskan, ia akan kekal bersama PR, walaupun DAP dan PKR mengisytiharkan pakatan mereka itu kini tidak lagi berfungsi secara rasmi.

Zaid berkata, parti baharu itu akan menjadi parti masa depan jika ia boleh menjadi wajah "intelektual Islam", bukan seperti versi sekarang yang membawa pendekatan "holier-than-thou" (merasakan diri lebih baik dari orang lain).

Ia juga harus berupaya memperjuangkan keadilan untuk semua dan boleh menawarkan kepada orang Melayu, Islam politik yang menolak rasuah dan salah guna kuasa.

"Ini bagaimanapun, bukan mudah untuk dicapai, kerana kita tidak mempunyai tradisi intelektual, dan umat Islam di sini hanya tahu Islam sebagai yang halal dan yang haram. Semuanya mengenai hukuman. Sebab itulah ulama mendesak mahukan hudud dan undang-undang jenayah yang lain.

"Kumpulan baru itu mesti, sebaliknya, cuba menonjolkan kepada umum idea yang berbeza mengenai Islam, yang bersifat baik dan memaafkan," katanya.

Pada masa sama, Zaid berkata, parti baharu itu perlu bersedia menghadapi tuduhan yang ia tidak lebih sekadar sayap DAP, menyatakan ia perkara yang serius dan ia akan bermasalah mendapatkan sokongan masyarakat Melayu jika ia dilihat seperti anak tumpang DAP.

Beliau juga berkata, parti itu mesti berdikari dari segi kewangan dan intelektual, serta mempunyai ideologi yang kuat.

Ia memerlukan satu pelan ekonomi yang menyokong golongan miskin dan memperjuangkan hak mereka di kelas bawahan, kerana itulah yang dikehendaki Islam, kata Zaid.

"Objektif ini tidak sukar dicapai kerana parti baharu itu akan mempunyai beberapa pemimpin Melayu-Islam terbaik yang ada hari ini, ramai antaranya ahli politik yang tahan lasak dan mempunyai kekuatan yang unik," katanya, yang menamakan pemimpin progresif PAS sebagai contoh.

"Bersama, mereka boleh memberi Umno dan ulama PAS saingan dan tentangan yang kuat pada bila-bila masa," katanya.

Lebih penting lagi, beliau berkata, parti itu akan menjadi ujian dan peluang kepada orang Melayu untuk menentukan bentuk masa depan yang mereka mahu untuk diri mereka sendiri dan negara.
Katanya, jika mereka memilih Umno, mereka akan terpaksa hidup dalam keadaan tadbir urus yang lemah, salah guna kuasa dan skandal kewangan yang tidak berkesudahan.

Sebaliknya, jika orang Melayu memilih PAS, ia mungkin akan mewujudkan lebih ramai mereka yang ingin menjadi pejuang Taliban, kata Zaid, sambil menambah ia bukan sahaja akan digambarkan melalui pakaian mereka, tetapi juga cara mereka berfikir.

Mereka ini, katanya, akan bercakap mengenai Tuhan setiap hari, tetapi tidak akan berbuat apa-apa yang berbentuk ketuhanan dalam tindakan dan perbuatan mereka- M/Inisder

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger