Oleh Hayar Hassan
 Mengikut sejarahnya, PAS ditubuhkan dan 
diperjuangkan oleh golongan pembaharuan atau reformis Islam di Tanah 
Melayu seperti  Syed Sheikh Al Hadi, Sheikh  Tahir Jalaluddin dan Haji 
Abas Mohd Taha. Nama-nama tersebut mungkin agak asing bagi anak-anak 
muda generasi baru kita. Menurut Wikipedia, PAS mempunyai idealogi 
Islamisme, Demokrasi dan Fundamentalisme Islam. Perjuangan PAS adalah 
 untuk memperkenalkan dan mengamalkan cara hidup Islam berdasarkan Al 
Quran dan Sunnah melalui proses demokrasi dan tetap menurut Perlembagaan
 Persekutuan Malaysia. Singkatnya, PAS turut sama berpolitik dalam 
sistem demokrasi Malaysia dan dalam waktu yang sama turut juga berdakwah
 memperkenalkan cara hidup Islam kepada seluruh masyarakat majmuk 
Malaysia. 
Awalnya
 PAS bergerak secara sendirian dengan idealisme keislamannya yang hanya 
tertumpu kepada orang Melayu yang secara kebetulannya beragama Islam. 
Kejayaan politik PAS pada waktu itu adalah amat terhad sekali, cuma 
dapat memerintah Kelantan dan memenangi banyak kerusi di Terengganu. 
Seiring berlalunya waktu, PAS  mula menerima idea untuk berpakat dan 
pada tahun 1972 telah menerima tawaran Kerajaan Perikatan dan seterusnya
 bergabung dalam BN mulai tahun 1973 hingga 1978. Kemudian PAS 
bersendirian lagi untuk 12 tahun . Selepas itu PAS bergabung dalam 
Angkatan Perpaduan Ummah @ APU mulai tahun 1990 hingga 1996. Keperluan 
untuk bergabung ini dilanjutkan dalam Barisan Alternatif @ BA (1999 - 
2004) dan akhirnya dalam Pakatan Rakyat @ PR (2008 - 2015). Prestasi 
terbaik PAS sepanjang berpolitik di Malaysia adalah semasa berada dalam 
Pakatan Rakyat, mempunyai begitu banyak kerusi Parlimen dan DUN selepas 
PRU ke 12. PAS yang telah berpolitik sebelum Malaysia mencapai 
kemerdekaan berjaya mempunyai 23 Ahli Parlimen . Sebelumnya Pas hanya 
mempunyai 7 orang Ahli Parlimen ! Peningkatan sebanyak 329 %. Di DUN 
pula PAS berjaya mempunyai 84 ADUN. DAP mempunyai 73 ADUN. PKR mempunyai
 40. 
Apabila
 Pakatan Rakyat berkubur pada 16 Jun 2015 , ramai ahli-ahli PAS dan 
penyokong PR terkejut, kecewa dan keliru apabila PAS  bertegas untuk 
bersendirian ! Apakah ini suatu pendekatan yang betul dan wajar? Ramai 
yang mengeleng kepala dan berkerut dahi ! Apakah PAS kini berada di 
landasan yang tepat dan betul ? Bukankah ini seperti kembali kepada awal
 tahun 60'an, berundur ke belakang ? Ramai orang berpendapat bahawa PAS 
telah masuk perangkap UMNO/BN dalam usaha BN memporakperandakan PR. 
Itulah yang amat dinanti-nantikan oleh BN. Usaha halus mereka selama ini
 telah membuahkan hasil. " Buah dugheyan udah gugur Yeop , beduit le 
kume ! ", kata orang Perak . Dasar Pecah Dan Belah UMNO/BN telah berjaya
 !
Ramai
 ahli-ahli PAS dan penyokong PR khususnya di Pulau Pinang terkejut besar
 apabila diberitahu bahawa lebih daripada 1,000 aktivis PAS terpaksa 
melepaskan jawatan-jawatan yang diperuntukkan kepada mereka oleh 
Kerajaan Negeri Pulau Pinang, walau pun PAS hanya mempunyai seorang ADUN
 dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ! YB Dato' Saleh Man , ADUN 
Permatang Pasir dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Pulau 
Pinang. Di samping itu Ustaz Afnan Hamimi Bin Dato Taib Azamuddin, 
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ustaz Rushidi Husin, Timbalan 
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam 
Pulau Pinang. 
Ramai
 daripada aktivis-aktivis PAS dilantik dalam JKKK Negeri dan 
agensi-agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Buat pertama kalinya, banyak
 daripada AJK Qaryah mesjid-mesjid di Pulau Pinang dikuasai oleh 
orang-orang PAS. Sebagai contoh, Haji Omar Hassan, YDP PAS Kawasan 
Permatang Pauh telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Seberang 
Perai. Di samping itu juga beliau dilantik sebagai Pengerusi Qaryah 
Masjid Jamek Seberang Jaya. Masjid ini amat terkenal kerana ianya sering
 disinggahi oleh orang-orang ramai yang menggunakan PLUS semasa 
bermusafir. Alhamdullilah, dibawah kepimpinan Haji Omar Hassan, masjid 
ini lebih terurus dari sudut kebersihan dan kelas-kelas pengajian.
Tenaga
 pengajar kuliah-kuliah pengajian di seluruh masjid-masjid Pulau Pinang 
adalah terdiri daripada Ustaz-Ustaz PAS daripada Pulau Pinang, Kedah dan
 Perak. Masjid-masjid telah diimarahkan dengan begitu baik. Anak-anak 
jemaah tidak perlu lagi keluar daripada qaryah untuk menimba ilmu agama 
Islam. Waktu zaman BN dahulu, hanya Masjid Batu, Permatang Pauh sahaja 
yang menampong pengajian ustaz-ustaz PAS. Dengan berada dalam Kerajaan 
PR di Pulau Pinang, banyak manafaat yang telah dinikmati oleh PAS. Di 
bandingkan dengan DAP Kelantan, cuma  3 orang aktivis DAP diperuntukkan 
jawatan oleh Kerajaan PAS Kelantan pimpinan Almarhum TGNA. DAP Kelantan 
tahu diri, mereka tidak riuh rendah menuduh Kerajaan Kelantan 
mengenepikan mereka. Melihat kepada realiti politik Pulau Pinang, 
keputusan PAS Pusat untuk membawa diri jauh daripada rakan-rakan dalam 
Pakatan Rakyat adalah suatu kesilapan besar. Dakwah Islam yang cuba 
dibawa oleh aktivis-aktivis PAS Pulau Pinang telah menemui jalan buntu. 
Orang Islam dan Agama Islam di Pulau Pinang memang banyak dirugikan. 
Sedih dan kecewa sekali apabila mengenangkan bahawa ianya terjadi kerana
 pimpinan PAS Pusat tidak bijaksana, terpedaya dan gagal dalam membaca 
tipu muslihat UMNO/BN.
Mungkin
 orang-orang Islam di luar Pulau Pinang tidak tahu bahawa masih banyak 
Sekolah-Sekolah Agama Islam Pulau Pinang masih mampu bertahan semenjak 
sebelum merdeka lagi. Kalau di negeri-negeri lain, banyak daripada 
sekolah-sekolah tersebut  sudah berkubur. Pondok Al Khairiah di Pokok 
Sena, Tasek Gelugor, Pondok Al Masriyah Bukit Mertajam, Pondok Manabil 
Ulum, Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pondok Padang Lalang, Bukit 
Mertajam, DMW Kepala Batas adalah antara sekolah-sekolah Agama Islam 
yang begitu masyhur awal tahun 60'an telah dinaikkan taraf menjadi 
sekolah-sekolah menengah pendidikan Islam moden. Akhir-akhir ini 
Pusat-Pusat Tahfiz telah banyak diwujudkan umpama suburnya cendawan 
selepas hujan. Di Kampong Pelet, sebuah kampong kecil di Kubang Semang 
Bukit Mertajam pada waktu ini telah mempunyai 3 buah Pusat Tahfiz! Ini 
adalah suatu rekod yang tidak banyak orang tahu. 
Fenomena
 ini adalah kerana kesedaran beragama masih kuat di Pulau Pinang di 
kalangan orang-orang Islam. Apatah lagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di 
bawah PR banyak menyalurkan bantuan-bantuan kewangan kepada 
sekolah-sekolah agama. Hatta para hufaz pun diberikan elaun . Tidak 
berlaku untuk negeri-negeri lain. Sayangnya pucuk pimpinan PAS Pusat 
pada waktu ini tidak menyedari perkara-perkara ini. Almarhum TGNA 
mungkin menyedari akan hal ini kerana beliau lebih kerap ke Pulau 
Pinang, jika dibandingkan dengan TGHH. Namun begitulah yang terjadi, 
pucuk Pimpinan Pas Pusat sekarang ini lebih memilih untuk mesra dengan 
UMNO/BN daripada rakan-rakan yang sama-sama susah dalam PR dahulu ! 
Dalam
 diam, banyak aktivis PAS Pulau Pinang merasakan kerugian atas tindakan 
pucuk pimpinan PAS keluar dari PR. Langkah PAS pusat keluar dari PR 
adalah suatu kesilapan, terburu-buru dan tidak mengambil kira realiti 
politik negeri-negeri di Pantai Barat Malaysia. Orang-orang PAS 
dirugikan. Lantaran itu, masyarakat sudah kecewa dengan PAS dan TGHH 
sendiri sudah tidak disegani lagi ! TGHH mungkin seorang ilmuan agama 
Islam yang tinggi ilmunya, tetapi bukan lah seorang politikus yang 
hebat, naif terhadap tipu muslihat musuh-musuh politik PAS dan PR. 
Sentuhan-sentuhan TGHH sering kali kurang tepat dan banyak menguntungkan
 UMNO/BN .
Dari
 sudut lain pula, PAS dilihat gagal dalam memberikan tarbiah akhlak 
mulia Islam kepada ahli-ahlinya. Masih ramai lagi ahli-ahli PAS dan juga
 segelintir pimpinan PAS yang tidak dapat meninggalkan tabiat merokok, 
walau pun merokok itu telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa 
Kebangsaan Malaysia. Dalam isu meninggalkan tabiat merokok ini jemaah 
Islam lain seperti ABIM, IKRAM, NGO-NGO Islam dan Jemaah Sunnah lebih 
berjaya dalam mentarbiah ahli-ahli mereka meninggalkan tabiat buruk ini.
 PAS juga dilihat gagal melahirkan pendakwah-pendakwah , 
penceramah-penceramah yang berakhlak mulia dan dihormati oleh 
masyarakat. Dalam dunia serba canggih ini, penuntut-penuntut ilmu 
 mahukan kuliah-kuliah agama yang berkualiti, berlandaskan nas-nas Al 
Quran dan Hadith-Hadith yang sohih, bukan saranan-saranan yang tidak 
berasas, berbau bid'ah dan tidak menepati ajaran-ajaran Rasulullah SAW 
dan amalan-amalan Salafussoleh. Dalam zaman serba canggih ini, dimana 
maklumat-maklumat boleh diperolehi hanya di hujung jari, orang ramai 
berkeupayaan menyemak semula apa-apa yang disampaikan oleh ustaz dan 
penceramah. 
Contoh
 penyampaian tazkirah  buruk yang telah disampaikan oleh seorang 
penceramah PAS baru-baru ini, adalah oleh Ustaz Shaharuddin Ibrahim, YDP
 PAS Kawasan Padang Serai Kedah. Tazkirah beliau yang tidak tepat telah 
mengundang bantahan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Isi tazkirah 
yang tidak benar dan berunsurkan fitnah telah menimbulkan masaalah 
kepada penceramah tersebut. Beliau hampir menghadapi tindakan mahkamah 
daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Akhirnya beliau terpaksa memohon 
maaf secara terbuka ! Begitu juga yang terjadi kepada Ustaz Abdullah 
Khairi, seorang penceramah PAS yang juga terpaksa memohon maaf kepada 
keluarga Presiden PAN, Haji Muhammad Sabu atas perkataan biadap nya 
sewaktu berceramah di PRK Kuala Kangsar baru-baru ini. 
Demikianlah
  kecelaruan-kecelaruan yang telah ditimbulkan oleh PAS dan ahli-ahlinya
 akhir-akhir ini. Masyarakat ternyata sudah kurang tertarik terhadap 
rentak politik yang dibawa oleh PAS. Ceramah dan aktiviti-aktiviti PAS 
sudah kurang menarik. Ianya hanya dihadiri oleh penyokong-penyokong 
tegar PAS sahaja. Pimpinan PAS perlu berlapang dada dan bermuhasabah 
diri , mencari kesilapan -kesilapan yang lalu. Masih tidak terlewat 
untuk PAS berubah supaya parti yang telah lama wujud ini masih tetap 
 relevan di pentas politik di tanah air tercinta ini. Ulamak besar Imam 
As Shafie juga ada berpesan di bahagian akhir kitabnya Al Umm, mafhumnya
 " Jika terdapat hadith-hadith yang sahih, maka lemparlah pendapatku ke 
dinding, jika engkau melihat hujah diletakkan di atas jalan , maka 
itulah pendapatku ". 
Hayar Hassan
 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 ulasan:
Catat Ulasan