OLEH ZULKIFLI SULONG
Selepas
sebulan berlalu muktamar tahunan PAS yang penuh pecah belah, harapan
untuk penyatuan semula atau rekonsilisasi antara puak progresif dan
ulama sudah terpadam, bahkan sudah menjadi perumpamaan 'berpatah arang,
berkerat rotan'.
Bukan sahaja pihak yang kalah, malah pihak yang menang juga, masing-masing kini membawa diri mengikut jalan sendiri.
"Dahulu ketika mula-mula perpecahan berlaku, saya menjangkakan
rekonsilisasi boleh berlaku antara yang menang dan yang kalah tetapi ia
tidak begitu.
"Masing-masing sudah mengambil jalan masing-masing," kata pengkaji
politik dari Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Redzuan Othman.
Menurut bekas pengarah Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti
Malaya (UMcedel) itu, sikap pihak yang menang dalam PAS sudah tidak
menampakkan usaha untuk membawa pihak yang tewas pulang semula, kerana
mereka dianggap 'sudah mati'.
Ekoran itu, katanya, pihak yang kalah tidak ada jalan lain melainkan
menubuhkan parti baru sebagai satu pilihan terbaik berbanding beberapa
pilihan lain, termasuk menyertai parti yang ada dalam Pakatan Rakyat
(PR) seperti PKR dan DAP.
"Mereka dianggap sudah mati oleh PAS. Takkan mereka (yang terpinggir)
nak jaga cucu sahaja selepas ini," kata beliau merujuk kepada sikap
pimpinan baharu PAS terhadap bekas pimpinan yang tewas.
Pada pemilihan parti awal Jun lalu, golongan ulama menyapu bersih semua
jawatan dalam jawatankuasa PAS Pusat, menumpaskan semua calon dari puak
progresif, dengan memenangi 22 daripada 23 jawatan yang
dipertandingkan.
Susulan itu, kumpulan yang tewas bersatu membentuk kumpulan yang kini
dikenali sebagai G18 dan pemimpinnya menonjolkan diri sebagai mempunyai
hubungan yang baik dengan DAP dan PKR.
Bagaimanapun, mulai semalam, kumpulan itu berkata ia kini mahu dikenali sebagai “Gerakan Harapan Baru”.
Sementara itu, salah seorang pelopor gerakan itu, Datuk Wan Abdul Rahim
Wan Abdullah berkata, kedua-dua pihak kini sudah pergi terlalu jauh
untuk berpatah balik kembali.
"Mereka terlalu sombong dan angkuh. Keadaan sekarang umpama berpatah
arang berkerat rotan. Hanya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti sahaja
yang akan menyedarkan mereka," kata bekas timbalan pengarah Jabatan
Pilihan Raya PAS Pusat itu.
Wan Rahim meramalkan, berdasarkan simulasi yang dibuat pihaknya, jika
10% sahaja sokongan lari dari parti itu, PAS akan kalah teruk, termasuk
kehilangan kerajaan negeri Kelantan dalam PRU14 kelak.
Wan Rahim yang memimpin PAS kawasan Kota Baru sejak sekian lama juga
meramalkan, nasib parti baharu yang bakal dibentuk mereka juga tidak
sebaik mana selepas berpisah dari PAS, namun mereka mempunyai kelebihan
berbanding parti lama mereka.
"Kelebihan kita adalah bersama dengan rakan lain dalam Pakatan Rakyat
2.0 yang sedang dibentuk. Jadi, saling tumpang menumpang ini memberikan
kelebihan kepada kita, terutama di pantai barat," katanya.
Harapan terbesar parti baru ini terletak pada kerusi campuran yang sebelum ini ditandingi PAS.
"Kerusi yang mempunyai komposisi Melayu tidak sampai 50% adalah tunggak
utama kita untuk menang, di samping kerusi yang mempunyai komposisi
bukan Melayu yang melebihi 20%," katanya.
- themalaysianinsider.com
Keadaan sekarang umpama berpatah arang berkerat rotan
Written By Wadah Baru on Selasa, 7 Julai 2015 | 10:34 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan