Home » , » Naratif Politik Melayu Islam

Naratif Politik Melayu Islam

Written By Wadah Baru on Rabu, 29 Julai 2015 | 4:03 PTG

Oleh Hasbie Muda

1. Persaingan politik antara PAS dan UMNO adalah latar utama dalam landskap politik Melayu Islam di negara kita. Kemunculan parti-parti lain sama ada Parti Negara, BERJASA, HAMIM, AKIM, IKATAN malahan juga Semangat 46 tidak banyak mengubah naratif ini.

2. Kemunculan PKN dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai PKR sedikit sebanyak berjaya mengubah warna-warni politik di negara ini. PKR berjaya kerana menggembleng sokongan pengundi bukan Melayu di samping undi Melayu dari segmen tertentu.

3. Dalam konteks masyarakat Melayu, PAS dan UMNO tetap dua parti utama dalam benak pemikiran mereka. Walaupun kepemimpinan PKR didominasi oleh orang Melayu manakala calon-calon PKR dalam PRU 13 juga adalah majoritinya Melayu tetapi parti tersebut tidak dilihat sebagai parti Melayu. Ia dianggap parti berbilang kaum.

4. UMNO berjaya menjadi parti yang berpengaruh di hampir semua negeri melainkan Sarawak. Di Sarawak, UMNO membiarkan PBB berkuasa. PAS pula dominan di Kelantan dan sekali-sekali memberikan saingan yang sengit kepada UMNO di Terengganu dan Kedah. Di negeri-negeri yang memiliki banyak kerusi campuran, pengaruh PAS kian merosot khususnya apabila Pakatan Rakyat tidak lagi berfungsi dengan baik.

5. Apabila GHB mengumumkan akan menubuhkan parti politik yang baru, timbul persoalan di manakah parti ini akan bertapak?

6. Kewujudan GHB berkait rapat dengan kegagalan tahaluf siyasi PAS bersama-sama DAP dan PKR.

Justeru GHB bercadang untuk mengisi vakum yang ditinggalkan oleh PAS. Walaubagaimana pun saya percaya bahawa GHB sukar untuk menggantikan PAS di kerusi-kerusi yang PAS mampu menang walaupun bertanding sendirian terutamanya Terengganu dan Kelantan.

7. Keterlaluan untuk mengatakan bahawa GHB tiada harapan langsung di Terengganu dan Kelantan. Harapan sentiasa wujud. Tetapi jika GHB memilih untuk bertanding di negeri-negeri ini, ia hanya akan mewujudkan pertembungan tiga penjuru yang akhirnya menguntungkan UMNO. Sekurang-kurangnya buat masa ini.

8. GHB memiliki harapan yang cerah di negeri-negeri selain dua negeri yang disebutkan tadi.

9. Kepemimpinan GHB dan Pakatan Rakyat 2.0 perlu bijak membentuk model politik baru pada masa yang akan datang. Adalah suatu yang kurang wajar jika Pakatan Rakyat 2.0 memilih untuk berkonfrontasi dengan PAS kerana dalam banyak aspek, mereka memiliki lebih banyak persamaan berbanding perbezaan. Kalaupun, PAS tidak lagi dilibatkan dalam Pakatan Rakyat 2.0, hubungan longgar sekurang-kurangnya perlu diwujudkan bagi mengelakkan pertembungan yang membazirkan masa dan banyak tenaga dengan sia-sia.

10. GHB tidak boleh menganggap PAS sebagai musuh. Kemunculan GHB bukanlah kerana perbezaan dasar tetapi hanya perbezaan pendekatan dalam PAS yang terbukti gagal walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mencari titik keseimbangan.

11. GHB tidak perlu mewujudkan suatu jemaah Islam yang baru. Biarlah GHB menjadi wadah politik yang bersedia menjadi platform inklusif untuk semua kader-kader dari semua jemaah Islam yang wujud di negara ini.

12. Dengan membudayakan politik baru yang lebih inklusif, matang dan berhikmah, saya percaya bahawa naratif politik Melayu Islam akan berubah dalam masa yang terdekat.

13. Semoganya.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger