Selaras dengan perkembangan zaman dan juga detik-detik menghampiri tahun
2020, di mana Malaysia mensasarkan untuk menjadi sebuah negara maju
yang berpendapatan tinggi, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru
seluruh warga Malaysia dari segenap bangsa, agama, pangkat dan latar
belakang untuk bersama-sama melakukan satu revolusi minda dalam
berinteraksi dengan pelbagai isu politik tanah air.
Paksi
berpolitik warga Malaysia perlulah diubah dari sekadar menjadi penyokong
taksub dan membuta tuli berdasarkan sentimen kumpulan dan kepentingan
peribadi sahaja kepada sokongan berasaskan pemikiran yang kritis,
kepentingan rakyat teramai dan kesejahteraan yang mapan untuk hidup
bersama bertunjangkan semangat ukhuwah insaniah (persaudaraan sejagat).
Sikap
'you are either with us, or against us' yang membelenggu jiwa rakyat
Malaysia dalam berpolitik, perlu dirungkaikan dan digantikan dengan
sikap yang lebih matang dengan melihat setiap ahli politik dan
parti-parti politik sebagai 'khadam' rakyat dan bukannya 'tuan' mereka.
Sindrom
untuk melihat dan mengangkat parti politik dan orang politik sebagai
'tuan' hanya akan menjadikan rakyat Malaysia berterusan dirundung minda
tertawan (captive mentality) yang akhirnya membawa kepada perhambaan
kepada sesama manusia dan budaya 'patronage' yang tiada kunjung padam.
Hal
ini amat tidak sihat bagi warga negara maju, Malaysia yang baru. Budaya
politik sedemikian hanya akan menjumudkan pemikiran rakyat dan akhirnya
membawa kepada sikap prejudis dan buruk sangka.
Sangat malang
pada hari ini di Malaysia masih berleluasa budaya politik kurang matang.
Apabila seseorang menyokong secara terbuka sesebuah parti politik
pilihannya maka orang itu dianggap telah bermusuh atau berkonfrontasi
dengan parti politik yang lain. Budaya ini tidak mencerminkan minda
kelas pertama, bahkan ia mempamerkan sikap primitif sebuah masyarakat
dunia ketiga.
Begitu juga halnya, apabila seseorang atau sesebuah
NGO memberi penghargaan terhadap satu kebaikan sesebuah parti politik,
masyarakat lantas menisbahkannya sebagai taksub dan membela parti
tersebut. Sebaliknya, jika sesiapa mengkritik sesuatu parti, maka dia
dengan segera dinisbahkan berada dengan parti lawan.
Masyarakat
sepatutnya dididik untuk menyedari bahawa mereka adalah 'king maker'
yang menentukan nasib parti dan ahli politik. Maka, mereka bebas untuk
memilih, memuji, berpihak, mengkritik dan membangkang mana-mana parti
politik ataupun pemimpin politik, berdasarkan hujah dan rasional.
Pertimbangan
bagi rakyat dalam memilih untuk menyokong atau membangkang sesuatu
parti politik pula sewajarnya berdasarkan polisi dan idea membangun
negara bangsa dan juga pencapaian (track record) parti atau ahli-ahli
politik tersebut.
IKRAM mengajak warga Malaysia menghayati
prinsip penegakan keadilan dan penunaian amanah sebagai paksi kepada
penglibatan mereka dalam politik selaras dengan tuntutan Surah
an-Nisaa', ayat ke-58:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا
الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ
تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ
اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak
menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia,
(Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan
(suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
IKRAM
juga menyeru agar semua warga Malaysia konsisten dalam meletakkan
kepentingan negara dan ummah sejagat berteraskan nilai-nilai Islam yang
universal mengatasi kesempitan sikap kepuakan dan asabiyah kepartian
dalam berpolitik.
Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus
Timbalan Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Revolusi minda berinteraksi dengan isu politik tanahair
Written By Wadah Baru on Sabtu, 4 Julai 2015 | 10:09 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan