Home » , » Umno intai peluang kerjasama dengan PAS

Umno intai peluang kerjasama dengan PAS

Written By Wadah Baru on Sabtu, 31 Oktober 2015 | 3:09 PTG

Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) dipelopori beberapa bekas pemimpin PAS secara tidak langsung  mewujudkan peluang kepada Umno mencari titik persefahaman dengan parti Islam itu, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menteri besar dan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah itu berkata, tindakan pemimpin PAS "melompat" ke Amanah merupakan peluang kepada menghidupkan semula usaha mencari titik persefahaman dengan parti Islam itu.


"Saya selalu sebut  antara Umno dengan PAS ini begitu banyak sekali persamaan berbanding dengan perbezaan, (tetapi) malangnya, biasalah manusia yang perbezaan itulah kita ungkit, tetapi persamaan yang begitu banyak itu kita tidak sebut," katanya kepada pemberita selepas melawat daerah Yan di Kedah hari ini. Peluang melihat kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu katanya, wujud selepas "unsur-unsur" tidak bersetuju terhadap permuafakatan antara Umno-PAS menyertai Amanah.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali semalam mencadangkan penubuhan Majlis Ukhuwah Islamiah Negara (Mui) dianggotai Umno dan PAS selain pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan Melayu dan agama Islam.

Mukhriz berkata, usaha mewujudkan kerjasama di antara Umno dan PAS berjalan sejak sekian lama, tetapi tergendala atas sebab-sebab tertentu.

"Jadi di pihak kami terbuka (terhadap cadangan Ibrahim)," katanya.

Berhubung kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini tentang 7 pemimpin parti sedang disiasat kerana membuat kenyataan secara terbuka, beliau berkata parti Melayu itu merupakan sebuah parti terbuka dalam menerima teguran.

Semua pihak katanya, perlu memahami teguran dan kritikan terhadap parti bertujuan memperkuatkannya dan bukan merupakan satu tindakan pengkhianatan terhadap Umno.

"Ia bukan satu unsur pengkhianatan terhadap parti, jadi ia amat penting untuk kita fahami. Kadang-kadang kita mengkritik atas niat untuk memperkukuhkan, hendak menguatkan parti," katanya. – Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger